Negara Kota Tarumanagara

Negara kota Tarumanagara atau kerajaan Tarumanagara ialah sebuah kerajaan bangsa Sunda yang berkebudayaan India purba. Ia terletak di Jawa Barat bermula dengan pemerintahan baginda raja Punawarman. Kerajaan ini disahkan dengan prasasti terawal yang diketahui di Jawa iaitu pada tarikh anggaran sekitar 358 masihi.

Sekurang-kurangnya sebanyak tujuh prasasti batu yang dikaitkan dengan kewujudan negara kota ini ditemui di Jawa Barat iaitu di Bogor dan Jakarta. Prasasti tersebut ditemui di kawasan seperti Ciaruteun, Kebon Kopi, Jambu, Pasir Awi dan Muara Cianten berdekatan dengan Bogor. Manakala prasasti Tugu ditemui berdekatan Cilincing di Jakarta Utara. Di samping itu, terdapat juga prasasti Cidanghiang di Kampung Lebak, daerah Munjul di Selatan Banten.

Tidak seperti kerajaan yang seterusnya, kerajaan Sunda yang masih lagi diingati dalam Pantun Sunda yang merupakan tradisi tempatan orang Sunda. Kerajaan Tarumanagara ini telah dilupakan langsung oleh orang tempatan di Jawa Barat.

Pada abad ke-19 masihi, ahli arkeologi dan sejarawan akhirnya berjaya menafsirkan prasasti yang ditemui berdekatan dengan Buitenzorg dan Batavia semasa pentadbiran Hindia Belanda. Penemuan dan penyelidikan prasasti Tarumanagara, khususnya yang dikeluarkan oleh raja Punawarman telah mendedahkan bahawa kerajaan ini adalah politi Hindu terawal di Jawa Barat. Tarumanagara bersama dengan Kutai dan Kalingga diingati sebagai negara kota perintis yang memulakan zaman bersejarah di rantau yang kini membentuk Republik Indonesia pada zaman moden.

Tarumanagara ini khususnya penting dalam identiti sejarah bagi kota seperti Bekasi dan kawasan sekitarnya kerana sejarawan tempatan percaya bahawa ibu kota Tarumanagara ini dikatakan terletak di dalam atau sekitar kota Bekasi pada zaman moden. Nama Chandrabhaga disebut juga dalam prasasti Tarumanagara dipercayai sebagai nama purba bagi kota Bekasi bermaksud Sungai Bulan. Kemudian, ia dikatakan diubah ke Bhagasasi dan akhirnya disebut salah sehingga menjadi bentuknya sekarang Bekasi.

Rujukan boleh dibaca dalam "Jadi Ibu Kota Kerajaan Tarumanegara, Simak Sejarah Bekasi dari Zaman Kerajaan hingga Penjajahan" diterbitkan pada 29 Januari 2020 dalam Pikiran Rakyat. Kerajaan Tarumanagara ini kemudian dijadikan nama Universiti Tarumanagara, sebuah universiti swasta di Jakarta yang diasaskan pada tahun 1959.