Pensejarahan Tarumanagara

Prasasti Ciaruteun ditemui di Sungai Tjiaroeteun berdekatan
Buitenzorg (Bogor). Gambar ini diambil sebelum tahun 1900.
 

Pensejarahan (historiografi) kerajaan Tarumanagara kebanyakannya masih lagi belum didedahkan, ditemui dan dibangunkan di atas dua sumber saja iaitu rekod awal daripada batu-batu bersurat yang ditemui di kawasan moden yang kini dikenali sebagai Bogor dan Jakarta atau dari babad Cina bertarikh dari zaman dinasti Sui serta dinasti Tang.

Prasasti Ciaruteun

Pada tahun 1863 iaitu zaman Syarikat Hindia Timur Belanda atau Dutch East Indies menyaksikan penemuan selonggok batu bersurat di Ciampea tidak jauh dari Buitenzorg atau Bogor pada masa kini. Batu bersurat itu ditemui di dasar Sungai Ciaruteun iaitu cawangan kepada Sungai Cisadane. Batu bersurat ini pun digelarlah sebagai Prasasti Ciaruteun bertarikh abad ke-5 masihi yang bertulisan dengan aksara Vengi yang digunakan oleh penduduk dinasti Pallava di benua India. Rekod dari buku karya Herwig Zahorka (2007) berjudul "The Sunda Kingdoms of West Java, From Tarumanagara to Pakuan Pajajaran with the Royal Center of Bogor" menyatakan bahawa prasasti ini dengan jelasnya menyebut nama kerajaan di situ sebagai "Tarumanagara" dan melaporkan mengenai raja yang terkenal di kerajaan itu. Ia berbunyi:

"vikkrāntasyāvanipateḥ śrīmataḥ pūrṇṇavarmmaṇaḥ tārūmanagarendrasya viṣṇoriva padadvayam"

Maksudnya, "raja yang gagah perkasa, Purnavarman (dari) Tarumanagara (kerajaan) yang terkenal yang telapak kakinya seperti telapak kaki Vishnu."

Dalam pasasti ini, telapak kaki ditafsirkan sebagai lambang kuasa raja di tempat prasasti itu ditemui. Perbandingan telapak kaki baginda raja Purnavarman dengan telapak kaki Vishnu mungkin menunjukkan bahawa dewa tersebut dipuja oleh baginda sebagai dewa utama dan perbandingan kuasa baginda dengan dewa Vishnu menunjukkan bahawa baginda melindungi serta memerintah rakyat seperti dewata. Selain itu, penggunaan telapak kaki pada masa itu berkemungkinan besar adalah sebagai tanda bahawa batu bersurat tersebut dimeterai oleh baginda seperti tandatangan orang pada zaman moden.

Prasasti Ciaruteun in dikarang menggunakan kaedah sloka bahasa Sanskrit dengan metrum anustubh empat baris. Pada penghujung teks tersebut, terdapat tekapan sepasang tapak kaki dan aksara cengkerang siput atau sankha-lipi dalam bahasa Sanskrit. 

Prasasti Kebon Kopi (Prasasti Telapak Gajah)

Prasasti ini ditemui di Desa Ciaruteun Ilir, Kecamatan Cibungbulang, Kabupaten Bogor, Jawa Barat. Ia ditemui pada awal abad ke-19 oleh N.W. Hoepermans. Bongkah andesit rata itu tertulis dalam bahasa Sanskrit dengan aksara Pallava. Selain itu, ia dikenali juga sebagai Prasasti Telapak Gajah kerana diapit oleh sepasang ukiran telapak kaki gajah. Pahatan pada prasasti ini tidak terlalu dalam seiring dengan lamanya masa menyebabkan pahatannya sulit untuk dibaca.

" ... jayavisalasya tarume(ndra)sya ha(st)ina? ... (-aira) vatabhasya vibhatidam padadvaya?"

Bermaksud, "di sini tampak sepasang tapak kaki ... yang seperti (tapak kaki) Airawata, gajah penguasa Taruma (yang) agung dalam ... dan (?) kejayaan".

Tarumanagara dalam Rekod China

Selain itu, batu bersurat ini semua bukan saja menjadi bukti kepada kewujudan raja Purnavarman dan kerajaan Tarumanagara. Pensejarahan kerajaan ini turut dicatitkan dalam sumber sejarah China memandangkan Tarumanagara mempunyai hubungan perdagangan dan diplomatik dengan wilayah yang merentangi antara benua kecil India dan benua China. Fa Xian, seorang bhiksu Buddha dari China melaporkan dalam karya beliau berjudul 佛國記 Fo-Kuo Chi bertarikh 414 masihi bahawa beliau pernah tinggal di 耶婆提 Ye-po-ti atau Javadvipa yang berkemungkinan besarnya terletak di Jawa Barat selama enam bulan dari Disember 412 masihi hingga ke Mei 413 masihi. Beliau melaporkan bahawa ajaran Buddha tidak begitu diketahui umum namun kepercayaan Brahmana berkembang pesat dengan penganut kepercayaan bidaah atau kepercayaan animisme.

Selanjutnya, dalam tempoh 528 hingga 669 masihi, Tarumanagara kononnya telah menghantar duta mereka ke istana China. Dalam rekod dinasti Sui, raja 塔鲁纳 To-lo-mo yang berkemungkinannya merujuk kepada Taruma telah menghantar misi diplomatik yang tiba di China pada tahun 528 dan 535 masihi. Selain daripada itu, kerajaan ini dikatakan terletak jauh di selatan China. Di samping itu, rekod dinasti Tang menyebut bahawa pada tahun 666 masihi dan 669 masihi, utusan dari To-lo-mo telah dihantar ke istana dinasti Tang. Walau bagaimanapun, kedua-dua sumber ini tidak dapat disahkan kesahihannya.

Pensejarahan dari Rekod Tempatan

Rekod sejarah tempatan bagi kerajaan Sunda dan kerajaan sebelumnya, Tarumanagara dan Salakanagara direkodkan secara terperinci dalam Pustaka Rajyarajya-i-Bhumi Nusantara atau disebut sebagai Nusantara saja. Karya ini berada dalam manuskrip Wangsakerta yang dikarang pada lewat abad ke-17 masihi di Cirebon. Walau bagaimanapun, manuskrip Wangskaerta kini tidak dikira sebagai sumber rekod sejarah yang sahih oleh sejarawan kerana ia disyaki mengandungi rekod yang direka-reka dan tergolong dalam pseudohistory atau seakan-akan sejarah tetapi bukan.