Sejarah Kerajaan Tarumanagara

Patung dewi Kali atau dewi Durga dari Tanjung Priok, Pantai Utara Jakarta, Indonesia. Patung dari batu granit berkukuran 65 cm tinggi dalam asana duduk dengan empat tangan ini ditemui di timur Tanjong Priok pada tahun 1883. Kemungkinannya, patung ini berkait dengan komuniti resi di kawasan itu yang hidup sekitar abad ke-7 atau ke-8 masihi. Sumber oleh Muzium Sejarah Jakarta. Gambar oleh Gunawan Kartapranata (CC BY-SA 4.0). 

Sekitar 400 SM hingga 100 M, kebudayaan tembikar tanah liat pra sejarah berkembang di pantai utara Jawa Barat. Kebudayaan tembikar tanah liat ini dikenal pasti sebagai Budaya Buni dinamakan sempena Kampung Buni di Babelan yang merupakan tapak arkeologi di mana kebudayaan ini ditemui. Kampung Buni terletak di Bekasi ke timur Jakarta. Menurut rencana "Batujaya Temple complex listed as national cultural heritage" diterbitkan oleh The Jakarta Post pada 8 April 2019, ahli arkeologi mencadangkan bahawa kebudayaan ini adalah cikal bakal kepada kerajaan Tarumanagara. Hal ini boleh disahkan memandangkan hubungannya dengan tapak arkeologi Batujaya. Masyarakat purba yang mendukung kebudayaan Buni ini telah diindiakan, menyerap pengaruh Hindu dari benua kecil India dan mengasaskan politi Hindu yang awal di Tanah Jawa.

Menurut buku Geographike Hyphegesis yang ditulis sekitar abad ke-2 masih di empayar Romawi, seorang ahli geografi Yunani bernama Claudius Ptolemaeus menyebut mengenai negara-negara di timur jauh di dunia yang diketahui kemudiannya. Kota-kota ini antaranya digelar sebagai Argyre yang terletak di hujung barat pulau labadiou. Labadio di sini boleh disamakan dengan istilah bahasa Sanskrit, Yawadvipa selari dengan Pulau Jawa. Perkataan "Argyre" ini bermaksud "Perak" dalam bahasa Sunda dan juga bahasa di Indonesia. Tujukan dari rencana "Sejarah Nasional Indonesia: Zaman Kuno" oleh Marwati Djoened Posponegoro dan Nugroho Notosusanto (2008), perkataan ini hampir-hampir sama dengan perkataan "Merak" yang merupakan nama kota pelabuhan di hujung barat Tanah Jawa.

Zaman Raja Purnavarman

Prasasti Tugu. Gambar oleh B. Kusmono dari Indonesia.

Sejarah kerajaan Tarumanagara dijejaki dari sejumlah prasasti bertarikh dari abad ke-5 masihi. Prasasti ini semuanya dinamakan sempena tempatnya ditemui misalnya Prasasti Ciaruteun, Prasasti Pasir Koleangkak, Prasasti Kebonkopi, Prasati Tugu, Prasasti Pasir Awi, Prasasti Muara Cianten dan Prasasti Cidanghiang. Prasasti yang menyebut nama raja pemerintah, raja Purnavarman, adalah Prasasti Cidanghiang yang terletak jauh ke barat di Lebak dalam kawasan Pandeglang, mengandungi dua baris, mengisytiharkan baginda Purnavarman sebagai pemerintah yang piawai bagi semua pemerintah di seluruh dunia.

Prasasti Jambu dengan dua baris pahatan dalam bahasa Sanskrit bertulisan aksara Pallava menanggung tekapan tapak kaki baginda raja yang besar diterjemahkan seperti berikut:

"Nama baginda raja yang terkenal dalam menjalankan tanggungjawab dharma dengan setia dan tidak terbandingkan itulah baginda Sri Purnavarman bersinggahsana di Taruma. Perisai baginda tidak tertembus oleh panahan seteru. Paduka duli hanyalah milik baginda yang berjaya memusnahkan kubu musuh dan sentiasa berkebajikan serta memberikan penghormatan selayaknya bagi sesiapa yang setia namun amarah amat kepada musuhnya."

Zaman Selepas Raja Purnavarman

Pecahan ikon dewa Vishnu yang ditemui di tapak arkeologi Batujaya.
Gambar ihsan oleh Anandajoti Bhikkhu (CC BY 2.0).

Purnavarman yang kemungkinannya dikenali ramai dengan gelaran raja Tarumanaga kerana baginda banyak menerbitkan prasasti yang dicatat dengan baik. Rekod mengenai raja-raja Tarumanagara selepas baginda Purnavarman sangat sedikit dan kabur sekali. Kebanyakannya diketahui pun dari manuskrip yang terkemudian atau tradisi tempatan.

Raja-raja yang menyusul selepasnya hanya diketahui daripada nama mereka saja yang semuanya mempunyai imbuhan varman yang bermaksud pelindung atau perisai. Hal ini mencadangkan bahawa kesemua mereka berasal dari dinasti yang sama. Maklumat lanjut yang lebih terperinci lagi diketahui adalah mengenai raja Suryavarman yang memerintah dari tahun 535 masihi ke tahun 561 masihi. Raja Suryavarman mengasaskan ibu kota baru di timur dan meninggalkan Sundapura serta penduduknya di situ bagi memerintah sendiri. Kemudian, Sundapura menjadi kerajaan kecil pula digelar sebagai kerajaan Sunda Sambawa yang menjadi negeri di bawah jajahan Tarumanagara. Sebelum baginda Suryavarman bertakhta di Tarumanagara, Manikmaya, menantu lelaki baginda, meninggalkan Sundapura pada tahun 526 masihi lalu pergi ke tenggara mengasaskan kerajaan Kendan. Kerajaan Kendan ini berada di Nagreg berdekatan dengan kota Garut pada zaman moden.

Seterusnya, Kartavarman memerintah dari tahun 561 hingga tahun 628 masihi. Pada zaman ini, cucunda raja Manikmaya, Wretikandayun mengasaskan kerajaan Galuh pada tahun 612 masihi. Kerajaan Galuh terletak di tenggara Garut kini dengan ibu kotanya di Banjar Pataruman. Pengganti Kartavarman, raja Linggavarman, memerintah dari tahun 628 hingga tahun 650 masihi namun baginda tidak meninggalkan pewaris takhta lelaki. Puteri sulung baginda raja Lingavarman, puteri Manasih berkahwin dengan Tarusbawa yang memerintah kerajaan Sunda Sembawa. Manakala, puteri kedua raja Lingavarman, puteri Sobakancana berkahwin dengan Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang seterusnya mendirikan kerajaan Srivijaya.

Zaman Kejatuhan Tarumanagara

Tapak candi Buddha di Karawang bertarikh dari zaman Tarumanagara (abad ke-5 hingga ke-7 masihi)
hingga ke zaman Srivijaya (abad ke-7 hingga ke-10 masihi). Gambar oleh Anandajoti Bhikkhu (CC BY 2.0)

Menurut Prasasti Kota Kapur pada abad ke-7 masihi, Srivijaya yang dikatakan berpusat di Palembang, Sumatera Selatan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Bhumi Jawa atau Tanah Jawa. Zaman ini didapati selari dengan kejatuhan Tarumanagara. Karya "The Indianized States of Southeast Asia" oleh George Coedes (1968) menyebut bahawa kelihatannya, Tarumanagara telah diserang dan ditewaskan oleh kerajaan Srivijaya sekitar tahun 686 masihi. Punca serangan ketenteraan oleh kerajaan Srivijaya ini masih lagi kabur, namun kemungkinannya Dapunta Hyang Sri Jayanasa mungkin cuba menuntut takhta Tarumanagara kerana isteri baginda, Sobakancana, adalah anakanda kepada raja Lingavarman yang merupakan raja pemerintah di situ. Selepas penaklukan dari laut, pengaruh kerajaan Tarumanagara mula malap.

Terdesak disebabkan oleh penaklukan kerajaan Srivijaya, baginda raja Tarusbawa memindahkan ibu kota kerajaan baginda ke kawasan hulu serta mencari suaka di selatan. Ibu kota baru baginda terletak berdekatan dengan hulu Sungai Cipakancilan yang kini terletak dalam Bogor moden. Nampaknya, baginda meninggalkan kawasan pantai di pelabuhan Sunda dan Kalapa yang kini adalah pantai di Banten dan Jakarta moden dalam Indonesia kerana kawasan tersebut jatuh di bawah mandala kekuasaan Srivijaya. Ibu kota tersebut selepas berabad-abad lamanya berubah menjadi negara kota Pakuan Pajajaran atau disebut sebagai kerajaan Pakuan atau kerajaan Pajajaran. Raja Tarusbawa pula menjadi cikal bakal kepada raja-raja Sunda di Jawa Barat.