Agama di Tarumanagara

Dua patung dewa Vishnu ditemui di Cibuaya, Karawang di Jawa Barat.
Patung ini bertarikh abad ke-7 dan ke-8 masihi dari zaman Tarumanagara.
Mahkota tabung pada patung itu menunjukkan persamaan dengan
seni patung di Kemboja.
 

Menurut penulisan oleh Faxian, seorang penziarah Buddha dari dinasti Tang di benua China pada abad ke-4 masihi, beliau telah menziarahi Tarumanagara dalam perjalanannya ke benua kecil India. Pada awal abad ke-5 masihi, terdapat tiga jenis agama yang dianuti oleh penduduk di Tarumanagara iaitu ajaran Buddha seperti yang dianuti oleh Faxian sendiri, agama Brahmana dan agama yang dijelaskan oleh beliau sebagai agama yang "tidak suci". Agama yang dijelaskan sebagai "tidak suci" ini mungkin merujuk kepada kepercayaan animisme penduduk tempatan yang mengamalkannya sejak sebelum tibanya pengaruh Buddha dan Brahmana dari benua kecil India.

Agama Brahmana menjadi agama utama di Tarumanagara. Ia sekurang-kurangnya dianuti oleh golongan bangsawan yang memerintah di atas. Hal ini didasarkan dalam beberapa prasasti bertarikh dari zaman Tarumanagara. Contohnya, prasasti Tugu menyebut bahawasanya ayahanda kepada Punawarman bergelar Rajadhiraja Guru telah menggali terusan di Chandrabhaga. Baginda Purnawarman sendiri diberikan kredit kerana pembinaan Terusan Gomati. Prasasti itu juga menyebut bahawa raja Purnawarman menderma sebanyak 1,000 ekor lembu sebagai cendera hati kepada para Brahmana. Upacara sebegini memaparkan pengaruh daripada amalan yang dipetik dari kitab suci Veda.

Prasasti Ciaruteun pula memaparkan tradisi Veda yang menyamakan seri paduka baginda Purnawarman dengan seri paduka Vishnu, Sang Pemelihara Jagat Raya. Kedua-dua prasasti Ciaruteun dan Cidanghiang menyebut perkataan "vikkranta" yang merujuk kepada trivikrama atau "tiga tapak" yang dijalankan oleh avatara Vishnu iaitu Vamana. Dalam prasasti Jambu pula, baginda Purnawarman disamakan dengan dewa Indra dan dewa Surya. Patung Vishnu dari Cibuaya bertarikh abad ke-7 masihi, juga patung Rajaresi ditemui di Jakarta turut menjadi saksi bagi pengaruh kepercayaan Brahmana di Tarumanagara.

Ajaran Buddha pula diamalkan di Tarumanagara seperti yang dilaporkan oleh Faxian pada awal abad ke-5 masihi. Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa hanya terdapat beberapa orang saja penganut Buddha di negara kota tersebut. Berdekatan dengan pantai utara di Jawa Barat, timbunan tanah yang digelar oleh orang tempatan sebagai unur atau hunur telah ditemui pada 1960an. Timbunan tanah yang dicari gali di tapak Batujaya di Karawang (dalam rantau Tarumanagara) didapati adalah satu struktur batu bata merah sama ada ialah sejenis candi atau pun stupa.

Lempengan penangkal diperbuat daripada tanah liat
kepunyaan penganut ajaran Buddha di Tarumanagara

Secara keseluruhannya, jumpaan arkeologi telah mendedahkan bahawa terdapat sebanyak 30 tapak (13 daripadanya ialah candi dari batu bata) di kompleks arkeologi Batujaya. Jumpaan dari abad ke-5 masihi ini terdiri daripada candi, stupa dan prasasti serta kepingan penangkal yang dipahat ditemui pada sekitar tahun 1995, 1997 dan 2001. Dalam penangkal-penangkal ini termasuklah juga rupa Buddha yang bertakhta di singgahsana ditemani oleh bodhisattva dan dikelilingi oleh stupa tinggi serta dipayungi oleh iram-iram. Selain daripada itu, terdapat juga lempengan sumpah nazar penganut Buddha yang ditemui berdekatan dengan Candi Blandongan, juga dalam tapak arkeologi Batujaya, mengesahkan bahawa tapak itu digunakan oleh penganut Buddha, dan kepercayaan ini memang diamalkan dalam negara kota Tarumanagara.

Kajian sedimen batu di Candi Blandongan mendedahkan beberapa lapisan kebudayaan bertarikh antara abad ke-2 hingga abad ke-12 masihi. Hal ini bermaksud bahawa selepas kejatuhan Tarumanagara, tapak penganut Buddha di Batujaya masih lagi giat digunakan. Selain daripada itu, candi-candi di Batujaya juga digunakan antara abad ke-4 hingga abad ke-7 masihi semasa zaman Tarumanagara. Kemudian, ia terus digunakan selepas abad ke-7 hingga abad ke-10 masihi kemungkinannya di bawah kedaulatan empayar Srivijaya.