Khamis, 14 Julai 2022

Sumpahan dan Kutukan


Shapa atau sumpahan seringkali dirujuk dalam kesusasteraan Hindu dan menjadi satu konsep yang penting dalam pandangan hidup orang Hindu. Berdasarkan kepada kepercayaan orang Hindu, dewa dan wali sekali pun tidaklah terlepas daripada cengkaman undang-undang dharma.

Menarik sekali untuk kita teliti bagaimanakah kurnia dan kutukan berlaku dalam kepercayaan orang Hindu. Menarik juga untuk kita lihat bagaimana kurnia dilimpahi dan kutukan diberikan kepada manusia serta para dewa.

Walaupun terdapat kisah mengenai sumpahan dan kutukan dalam cerita agama orang Yunani dan orang Romawi, namun terdapat corak yang logik dalam pandangan hidup orang Hindu. Kebenarannya menjadi dasar kepada kutukan dan kurnia.

Marilah kita lihat kepada kutukan dahulu. Jika seseorang resi atau dewa atau begawan itu menyumpah seseorang maka sumpahan tersebut tidak boleh dirungkaikan kembali walaupun oleh orang yang menyumpah itu sendiri. Sumpahan ini adalah seperti peluru dari senapang atau anak panah yang dilepaskan dari busurnya.

Namun, setiap sumpahan itu mempunyai penawarnya atau timbal balik yang digelar sebagai jalan keluar atau strategi untuk mengelakkannya daripada mengena.

Selain itu, sumpahan tidaklah asing di rantau nusantara sendiri kerana terdapat beberapa cetera yang menceritakan mengenai kehancuran sesuatu tempat diakibatkan oleh sumpahan penduduk di situ. Contohnya, terdapat sumpahan dan kutukan kepada sesiapa yang menderhaka kepada kedatuan Srivijaya dan menentang kedatuan Srivijaya dalam Batu Bersurat Telaga Batu. Batu bersurat tersebut dihiasi dengan tujuh kepala naga dan bahagian bawahnya mempunyai bentuk seperti cerat yang mengalirkan air, berkemungkinan dicurahkan semasa upacara menumpahkan kesetiaan kepada kedatuan Srivijaya.

Selanjutnya, terdapat juga kisah dari Sejarah Melayu yang dikumpulkan oleh Tun Sri Lanang dalam abad ke-16 berkenaan dengan Sang Rajuna Tapa, bendahara kerajaan Singapura yang disumpah menjadi batu kerana membuka pintu kota kepada tentera Majapahit. Di samping itu, cetera Mahsuri yang menyumpah Pulau Langkawi dihancurkan oleh tentera Siam selama tujuh keturunan akibat beliau difitnah membuat onar bermukah dengan lelaki lain oleh ibu mertuanya.