Rentetan dari Sumpahan

Berikut adalah rentetan yang terdapat dalam sesuatu sumpahan berdasarkan kepada rencana oleh Santanam Swaminathan. Rentetan di sini dalam bahasa moden bermaksud proses.

  • Air digunakan oleh seseorang yang ingin menyumpah kerana ia digunakan sebagai wahana untuk mengalirkan kesaktian sumpahan kepada sasaran.
  • Sumpahan biasanya berlaku apabila orang di sekeliling melakukan kejahatan terhadap orang lain yang menyebabkan orang yang menjadi mangsa perbuatan jahatnya itu mengeluarkan sumpahan. Selain itu, sikap meninggi diri dan karma perbuatan yang jahat juga menarik sumpahan.
  • Apabila orang yang disumpah itu memohon ampun atau memohon belas kasihan, maka si penyumpah itu akan memberikan penawar yang selalunya menjadi jalan keluar namun ia hanya akan berlaku selepas lama sumpahan tersebut dikeluarkan olehnya. Halnya kerana, tiada sesiapa pun yang boleh mengingkari karma perbuatannya sendiri. Jika seseorang itu melakukan kesalahan atau dosa kepada orang lain maka dia haruslah melalui hukuman. Namun, kutukan ini bukanlah sesuatu yang abadi kerana pendosa yang mana pun boleh juga berubah menjadi seorang yang baik. 
  • Raja-raja seperti Dasarata, Ravana, Vali; para dewa seperti Betara Indra dan Betara Rambha; tuhan seperti Brahma; serta manusia seperti Ahalya dan Sakuntala boleh dijadikan contoh sebagai mangsa sumpahan.
  • Seseorang yang menyumpah itu sebenarnya menggunakan tenaga yang besar untuk mengeluarkannya. Tenaga ini terbit dari amalan yang dijalankan olehnya. Umumnya, perbuatan menyumpah ini adalah satu pembaziran tenaga namun ia terpacul diakibatkan oleh angkara kemarahan yang amat sangat dan dendam.
  • Selain daripada itu, ia menunjukkan bahawa kata-kata sebenarnya mempunyai kesaktian yang boleh mengubah makhluk yang lain menjadi batu atau berubah menjadi binatang.
  • Walaupun terdapat sebutan mengenai sumpahan dan kutukan di dalam veda terutamanya Atharvaveda, namun ia hanya disebutkan secara umum sahaja. Mangsanya tidak diketahui namun dalam purana, kita mengetahui siapakah mangsa sumpahan tersebut. Babak sumpahan dan kutukan diketahui dengan lebih lanjut dalam purana berbanding dalam itihasa.
  • Kutukan dan sumpahan banyak sekali didengari semasa zaman Sri Rama berbanding semasa zaman Sri Kresna Begawan. Keadaan ini disebabkan oleh watak dalam Mahabharata adalah lebih manusia berbanding dewa-dewa.
  • Pada zaman moden, kita tidak lagi mendengar mengenai kutukan dan sumpahan. Namun, terdapat banyak Sthala Purana yang menyebut mengenai sumpahan dan kutukan tetapi kebanyakannya tiada sebarang dasar. Ia hanya muncul untuk menambahkan lagi keras tempat yang diceritakan di dalamnya.
  • Kebenaran menjadi asas kepada kutukan dan sumpahan. Maka, orang yang menyumpah itu tidak dapat menarik diri daripadanya kerana kesaktiannya akan hilang dan kata-katanya akan hilang kebenarannya. Seseorang itu tidak boleh mengingkari kata-katanya.
  • Sesiapa sahaja boleh menyumpah jika dia mempunyai alasan untuk menyumpah selain daripada seorang yang jujur dan benar. Kebanyakan sumpah keluar dari lelaki berbanding dengan dari wanita.
  • Kutukan dan Sumpahan ini wujud dalam semua kebudayaan di benua kecil India, dari banjaran Himalaya di utara sehingga ke Kanyakumari di selatan. Kutukan dan sumpahan diceritakan dalam kesusasteraan Sangam Tamil seperti Silappatikaram dan Kundalakesi. Kekawin Tamil yang paling awal sekali berjudul Purananuru turut menyebut mengenai kutukan dan sumpahan.
  • Durvasa, seorang resi yang panas baran adalah merupakan seorang yang paling banyak sekali menyumpah. Beliau layak diberikan tempat dalam Buku Rekod Guinness untuk kategori penyumpah yang agung.
  • Punca sumpahan selalunya hanyalah satu, namun terdapat banyak sekali babak dalam rentetannya sehingga beribu-ribu orang menjadi mangsanya.
  • Kutukan dan sumpahan ini berkadar terus dengan karma perbuatan jahat seseorang. Semakin jahat perbuatan atau jenayahnya, semakin teruk sumpahan yang akan diterima olehnya.
  • Kurniaan boleh juga menjadi sumpahan dalam kes orang yang jahat atau asura. Kurniaan ke atas asura ini difahami secara literal. Kata-kata sebenarnya adalah lebih berat berbanding dengan semangat yang menunggang di atasnya.
Babak sumpahan yang terkenal sekali adalah babak yang menceritakan mengenai Ahalya, Sakuntala, Rambha, Dasarata, Ravana, Vali, Indra dan Brahma.