Langkasuka

Hasil lukisan berjudul "Portraits of Periodical Offering of Liang"
salinan dinasti Song dari simpanan dinasti Liang yang dilukis sekitar 529 hingga 539
memaparkan rajaduta dari Langkasuka yang menghadap Maharaja China. Salinan ini
ihsan dari Muzium Negara Songkhla, Thailand

Menurut John Guy (2014) dalam "Lost Kingdoms: Hindu-Buddhist Sculpture of Early Southeast Asia" terbitan Yale University Press dalam muka surat 28 sehingga 29, Langkasuka ialah kerajaan bercorak Hindu-Buddha yang bertempat di Semenanjung Tanah Melayu. Ia umumnya dipercayai wujud sejak abad ke-2 hingga abad ke-15 masihi dan menurut catitan Erik Ringmar (2019) dalam "History of International Relations - A Non-European Perspective", kerajaan Langkasuka ini dipercayai telah diasaskan oleh anak cucu banginda Maharaja Asoka dari wangsa Maurya sendiri.

Kerajaan Langkasuka bersama dengan Kedah Tua menjadi kerajaan-kerajaan awal yang diasaskan di Semenanjung Tanah Melayu. Lokasi sebenar kerajaan Langkasuka ini masih lagi berada dalam perdebatan ahli sejarah namun penemuan arkeologi di Yarang berdekatan Pattani, Thailand, mencadangkan kedudukan yang mungkin bagi kerajaan ini. Kerajaan ini dicadangkan telah diasaskan sejak abad pertama masihi berkemungkinan antara 80 dan 100 M.

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa yang merupakan babad lisan dari Kedah, kerajaan Langkasuka ini diasaskan oleh baginda Merong Mahawangsa. William Linehan (1948) dalam "Langkasuka The Island of Asoka" terbitan Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. 21 (1 (144)): 119-123 mencadangkan bahawa nama kerajaan ini diterbitkan dari perkataan "Langkha" dan "Asoka", iaitu maharaja berjati kesatria dari wangsa Maurya yang kemudiannya berubah menjadi seorang pencinta keamanan selepas memeluk ajaran Buddha dan penjajah dari Mahajanapada menamakan kerajaan yang diasaskan mereka di Semenanjung Tanah Melayu itu bersempena nama baginda. Sumber sejarah benua China pula memberikan sedikit maklumat mengenai kerajaan Langsuka dan merekodkan bahawa baginda raja Bhagadatta pernah menghantar raja duta ke istana China.

Dalam kebudayaan popular, Langkasuka ditampilkan dalam beberapa filem contohnya seperti filem "Raja Bersiong" arahan Jamil Sulong dan diterbitkan pada tahun 1968 di Malaysia hasil daripada butiran yang diberikan oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia. Seterusnya, "Queen of Pattani" atau "Queen of Langkasuka", sebuah filem terbitan Thailand pada tahun 2008 yang diarahkan oleh Nonzee Nimbutr dengan pengaruh bebas dari ceritera dan lagenda di wilayah Pattani. Selanjutnya, satu lagi filem berjudul "The Malay Chronicles: Bloodlines" atau dikenali dalam bahasa Melayu sebagai "Hikayat Merong Mahawangsa" yang diarahkan oleh Yusry Abdul Halim dan diterbitkan pada tahun 2011 yang mana ia didasarkan kepada cerita asal usul Merong Mahawangsa yang dipercayai menjadi raja yang pertama di Langkasuka.