Rekod dari Sumber China
Penjelasan terawal dan terperinci mengenai kerajaan Langkasuka ini datang dari Liang Shu iaitu rekod dari dinasti Liang di benua China pada 502 hingga 557 M. Ia merujuk kerajaan ini dengan nama 狼牙脩 Lang Nya Siu dalam sebutan bahasa China Pertengahan. Ooi Keat Gin (2004) dalam Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor Volume 1 menyatakan bahawa rekod menyebut bahawa kerajaan ini diasaskan lebih 400 tahun awal yang menjadikan tarikh pengasasannya adalah sekitar pada abad ke-2 M. Menurut Liang Shu, Langkasuka berkeluasan 30 hari perjalanan dari timur ke barat dan 20 hari dari utara ke selatan. Jaraknya 24,000 li dari Guangzhou. Ia menyebut bahawa kayu gaharu (aquilaria) dan kapur barus banyak sekali didapati dalam kerajaan ini dan ibu kotanya digambarkan sebagai dikelilingi oleh tembok yang membentuk satu negara kota dengan pagar bertindan, menara dan juga astaka. Penduduknya lelaki dan wanita memakai kain sarung dengan bahagian atas badan mereka berlengging dan rambut terurai walaupun raja serta pegawai tinggi kerajaan mereka menutup bahu dengan kain, memakai subang emas dan tali pinggang berkepala emas. Golongan wanita berkedudukan tinggi pula membalut tubuh dengan kain dan memakai ikat pinggang bertatah permata. Liang Shu memberikan maklumat juga mengenai sesetengah raja di Langkasuka dan meriwayatkan cerita pertabalan raja:
"Apabila raja maju ke hadapan menaiki gajah. Baginda diikuti oleh panji-panji, pengibas lalat, bendera dan gendang serta diteduhi oleh payung iram-iram putih. Tentera yang menjaga baginda juga dilantik dengan sebaiknya. Rakyat jelata negara ini menyatakan bahawa negara mereka diasaskan lebih daripada 400 tahun lalu. Seterusnya, keturunan mereka menjadi lemah lalu pengasuh raja (mungkin seorang pegawai di istana) yang bijaksana menjadikan negara bertambah penduduknya. Apabila raja mendengar mengenai hal ini, maka dipenjarakanlah lelaki ini, namun rantainya terputus tanpa disedari. Raja menyangka bahawa dia adalah orang halus dan tidak berani mencederakannya lalu membuangnya dari negara itu. Orang itu lalu lari ke benua India. Di benua India sana, raja di sana memberikan puteri sulungnya kepada lelaki itu untuk dikahwini. Tidak lama selepas itu, selepas kemangkatan raja Langkasuka, maka paduka menteri tua pun mengalu-alukan lelaki itu kembali dan menjadikannya pula seorang raja pemerintah di Langkasuka."
Raja ini memerintah di Langkasuka selama lebih daripada 20 tahun. Baginda digantikan oleh anakanda baginda, Raja Bhagadatta, yang menghantar rombongan rajaduta pertama baginda ke benua China pada tahun 515 M. Rajaduta seterusnya dihantar ke benua China pada 523, 531 dan 568 M.
Transkripsi nama kerajaan ini dalam rekod-rekod China juga berubah seiring dengan masa. Pada lewat abad ke-7 M, bhiksu Buddha bernama Yi Jing dilaporkan bertemu dengan tiga orang lagi bhiksu dari benua China yang tinggal di satu tempat bernama 郎伽戍 Lang Jiashu.
Karya Zhu Fanzhi dari dinasti Song diterbitkan pada tahun 1225 memberikan penjelasan mengenai negara yang disebut sebagai 凌牙斯加 Lingya Sijia. Ia menyebut bahawa penduduk di situ memotong rambut mereka dan membalut tubuh mereka dengan selembar kain. Hasil mahsul di situ terdiri daripada gading gajah, tanduk badak sumbu, pelbagai jenis kayu wangian dan kapur barus. Pedagang mereka juga memperdagangkan air tuak, beras, sutera dan juga tembikar. Catitan ini juga menyatakan bahawa Langkasuka berjarak enam hari dan enam malam pelayaran tongkang dari 单马令 Tanmaling atau Tambralinga. Selain itu, ia boleh juga diakses dengan jalan darat dan pemerintah di situ memakai kain sarung serta tidak memakai alas kaki. Harga barangan dalam perdagangan ditentukan oleh nilai emas dan perak sebelum satu tarif ditentukan. Sebotol air tuak ditentukan harganya satu tahil atau dua qian emas dan beras pada harga satu tahil perak dan 10 pek beras berharga satu tahil emas. Selain itu, dilaporkan juga pada ketika itu negara ini membayar ufti kepada Sanfoqi, yang selalunya diterjemahkan sebagai Srivijaya.
Selain daripada itu, Langkasuka dikenali juga sebagai 龍牙犀角 Lonngyaxijiao dalam Daoyi Zhilüe dari dinasti Yuan (1279 - 1368) dan 狼西加 Langxijia semasa dinasti Ming (1368-1644) seperti yang ditandakan oleh Laksamana Cheng Ho dalam peta Mao Kun beliau. juga menyebut mengenai penduduk tempatan di Langkasuka menghasilkan garam dari air laut dan memeram samsu, menghasilkan ketopong burung kenyalang, kayu laka, madu dan kayu gaharu. Penduduk juga memakai pakaian diperbuat daripada kapas dari Filipina dan pakaian bercetak dari benua India serta sumber tempatan.
Rekod dari Pelbagai Sumber
Langkasuka di Asia Tenggara sendiri disebut dalam sastera lisan Hikayat Merong Mahawangsa manakala dalam sumber kekawin Jawa Nagarakretagama pada abad ke-14 M pula menyebutnya sebagai Lengkasuka. Walau bagaimanapun, sumber dari Siam tidak membuat sebarang rujukan menggunakan nama Langkasuka bagi kerajaan di tapak kerajaan lama itu, sebaliknya merujuk kepada Pattani yang mungkin menggantikan Langkasuka.
Di benua kecil India, sumber Tamil pula menyebutnya sebagai "Ilangasoka" dalam kempen peperangan baginda Raja Rajendra dari kerajaan Chola menentang empayar Srivijaya. Langkasuka digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang "tidak gentar dalam menghadapi peperangan". Di samping itu, Jayadipsinh Dodiya menyokong bahawa Langkadvipa yang disebut dalam itihasa Sanskrit purba iaitu Ramayana itu sebenarnya merujuk kepada Langkasuka. Pattani dikenalpasti oleh Mom Chao Chand Chirayu Rajani sebagai salah satu daripada 12 negara kota Naksat di bawah pengaruh Nakhon Si Thammarat atau Ligor dalam babad-babad Siam.
Garis Besar Sejarah Langkasuka
Garis besar sejarah Langkasuka boleh didapati daripada sumber rekod sejarah yang sangat sedikit sekali. Kerajaan ini difikirkan telah diasaskan beberapa ketika dalam awal abad ke-2 M. Ia kemudian mengalami zaman kejatuhan kerana peluasan kuasa oleh kerajaan Funan pada awal abad ke-3 M.
Pada abad ke-6 M, ia muncul semula dan menghantar rajaduta ke benua China. Raja Bhagadatta mula menjalinkan hubungan diplomatik dengan benua China pada tahun 515 M dan seterusnya menghantar lagi rajaduta ke benua China pada 523, 531 dan 568. Menjelang abad ke-8 M, Langkasuka berkemungkinan termasuk ke dalam kawalan empayar Srivijaya yang sedang mencapai kegemilangan ketika itu.
Pada tahun 1025 M, Langkasuka diserang oleh Raja Rajendra Chola I dalam kempen peperangannya terhadap empayar Srivijaya. Pada abad ke-12 M, Langkasuka menjadi negeri naungan empayar Srivijaya. Langkasuka mengalami kejatuhan semula dan bagaimana Langkasuka berakhir masih lagi menjadi misteri.
Seterusnya, Hikayat Pasai menyebut bahawa Langkasuka telah dihancurkan sekitar tahun 1370. Namun, beberapa orang sejarawan mencabar teori dari Hikayat Pasai ini dan mempercayai bahawa Langkasuka terselamat hingga ke tahun 1470an. Sesetengah sejarawan percaya bahawa Langkasuka berada di bawah kawalan dan mandala pengaruh empayar Srivijaya hingga abad ke-14 M apabila Srivijaya ditakluki oleh empayar Majapahit. Entiti yang dikenali sebagai "Pattani" ini mungkin menakluki atau dibentuk dari Langkasuka menjelang abad ke-15 M dan kawasan-kawasan dalam kerajaan yang tidak berada di bawah pemerintahan Pattani secara terus difikirkan telah menganuti ajaran Islam bersama dengan Kedah pada tahun 1474.