Senarai Nama Raja-Raja di Langkasuka

Setakat ini, sumber bagi senarai raja-raja yang memerintah di Langkasuka diperolehi dari Hikayat Merong Mahawangsa. Seramai lapan (8) orang raja direkodkan dalam hikayat ini.

  • Merong Mahawangsa yang merupakan seorang putera raja dari "Rum" kemudian singgah lalu menetap di Lembah Bujang dan kemudian mengasaskan kerajaan Langkasuka. Baginda dipercayai sebagai anak cucu Iskandar Agung. Kemudian, baginda kembali ke tanah asal baginda di "Rum" lalu meninggalkan putera sulung baginda, Phra Ong Mahapudisat yang dirajakan sebagai pemerintah di kerajaan Langkasuka.
  • Merong Mahapudisat ditabalkan sebagai raja Langkasuka selepas keberangkatan ayahanda baginda, Merong Mahawangsa kembali ke "Rum". Baginda merupakan putera sulung dan lagenda menyebut bahawa baginda juga menjadi raja yang pertama dalam benua Siam.
  • Raja Ganjil Sarjuna ditabalkan menjadi raja selepas kemangkatan Phra Ong Mahapudisat, kakanda baginda. Beliau merupakan putera kedua dan mengasaskan kerajaan Gangga Nagara yang menurut lagenda didirikan di daerah Manjung dalam negeri Perak pada zaman moden.
  • Raja Puteri ditabalkan sebagai raja di Langkasuka selepas kakanda baginda, Raja Ganjil Sarjuna mangkat. Baginda merupakan puteri bongsu dalam keluarga diraja dan menjadi pemerintah pertama di negara kota Pattani.
  • Raja Seri Mahawangsa ditabalkan sebagai raja Langkasuka selepas kemangkatan Raja Ganjil Sarjuna, kakanda baginda.
  • Raja Seri Maha Inderawangsa merupakan anakanda kepada Raja Seri Mahawangsa. Baginda juga digelar sebagai "Raja Bersiong" kerana tabiat baginda yang gemar menyantap darah manusia. Baginda menjadi pewaris takhta Raja Seri Mahawangsa namun tabiat baginda itu menyebabkan kelompok menteri di kerajaan itu memberontak dan menggulingkan baginda. Baginda lalu membuang diri ke Gunung Jerai dan bersembunyi di sana sehinggalah baginda beroleh seorang putera yang digelar sebagai "Phra Ong Mahapudisat". Putera ini tidak mengetahui kedudukan keturunan baginda lalu berdiam di kampung ibundanya sebelum dipanggil ke istana dan didedahkan mengenai siapakah keturunannya.
  • Raja Phra Ong Mahapudisat ditabalkan menjadi raja di Langkasuka selepas kemangkatan ayahanda baginda.
  • Phra Ong Mahawangsa yang merupakan satu-satunya anakanda baginda Phra Ong Mahapudisat pada asalnya menganuti agama Brahmana namun memeluk ajaran Islam. Baginda kemudian menukar namanya ke nama Islam, Sultan Mudzafar Shah lalu kerajaan yang diperintah oleh baginda berubah menjadi Kesultanan Kedah.     

Walau bagaimanapun, didapati bahawa tiada sebarang tarikh yang jelas diberikan dalam hikayat ini kerana ia disampaikan secara lisan sebelum didokumenkan oleh William Girdlestone Shellabear, seorang sarjana "perintis" dan juga mubaligh Kristian bermazhab Methodist di British Malaya (kini sebahagian daripada Persekutuan Malaysia).