Lokasi Kerajaan Langsuka

Sumber daripada benua China dan pedagang Arab meletakkan kerajaan purba ini di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu. Michael Jacq-Hergoualc'h (2002) dalam buku beliau "The Malay Peninsula: Crossroads of the Maritime Silk-Road (100-1300 AD)" menyatakan bahawa "New Book of Tang" menyebut bahawa Langkasuka terletak bersempadan dengan Pan Pan dan lembaran peta dalam risalah ketenteraan dinasti Ming berjudul Wubei Zhi meletakkan kerajaan Langkasuka ini di selatan Songkhla berdekatan dengan Sungai Pattani.

Sumber sastera Arab pada abad ke-15 M juga menyatakan bahawa tempat-tempat yang berkaitan dengan kerajaan Langkasuka terletak antara negeri Kelantan dalam Malaysia dan wilayah Songkhla dalam Thailand pada zaman moden. Walau bagaimanapun, maklumat bertentangan pula datang dari sastera lisan berjudul Merong Mahawangsa yang meletakkan Langkasuka di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu yang menjadi cikal bakal kepada negeri Kedah moden walaupun kedaulatannya mempunyai sedikit perkaitan dengan Pattani.

Sumber China, Arab dan India semuanya menganggap Kedah dan Langkasuka sebagai entiti geografi yang berbeza. Penulis Ooi Keat Gin (2004) dalam Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor Volume 1 menyebut bahawa kekawin Jawa terkenal berjudul Nagarakretagama meletakkan Langkasuka di utara Saiburi, namun ia seperti membayangkan bahawa Langkasuka sebenarnya terletak di pantai barat namun kemudiannya dipindahkan ke timur.

Pada tahun 1961, Pual Wheatley, seorang sejarawan dan ahli geografi dalam buku "The Golden Khersonese. Studies in Historical Geography of the Malay Peninsula before AD 1500" terbitan University of Malaya Press dengan mempertimbangkan catitan daripada pelbagai sumber membuat kesimpulan bahawa kota Langkasuka sepatutnya terletak berdekatan dengan pekan zaman moden di wilayah Pattani, Thailand.

Seterusnya, Michel Jacq-Hergoualc'h, sejarawan dan ahli arkeologi Perancis mencadangkan dan menguatkan lagi pertimbangan bahawa muara Sungai Pattani berdekatan dengan Yarang berkemungkinan menjadi ibu kota kerajaan Langkasuka. Selain itu, beliau mencadangkan bahawa seluruh kawasan antara Pattani, Saiburi dan Yala mungkin menjadi sebahagian daripada kerajaan Langkasuka. Rujukan mengenai hal ini ada juga disebut dalam esei oleh Geoff Wade (2013) berjudul "Ghosts of the Past in Southern Thailand: Essays on the History and Histiography of Patani" terbita NUS Press dalam muka surat 62 hingga 63. Penjelajahan arkeologi moden turut mendedahkan runtuhan kota yang dijelaskan dalam Liangshu berdekatan Yarang di sebuah kampung yang terletak kira-kira 15 kilometer ke selatan Pattani. Kota ini terletak 10 batu ke hulu dari pantai dan dihubungkan dengan sungai-sungai yang mengalir ke laut melalui terusan-terusan. Laluan air yang berkeladak mungkin menyebabkan kawasan ini mengalami kejatuhan.