Bahasa Tamil

Bahasa Tamil adalah sejenis bahasa dari rumpun bahasa Dravidia yang dituturkan secara asli oleh orang Tamil di Asia Selatan. Ia menjadi salah satu daripada dua bahasa klasik di India yang masih dituturkan hingga ke zaman moden bersama dengan bahasa Sanskrit iaitu sejak 300 SM. Bahasa Tamil tergolong dalam cawangan selatan dalam keluarga bahasa Dravidia dan berkongsi pertalian bahasa dengan bahasa Malayalam dan bahasa Kannada. Walaupun wujud pengaruh luar yang diserap ke dalam bahasa Tamil namun perkataan bahasa Tamil asli masih lagi dikekalkan melalui linguistic purism atau pemurnian bahasa, khususnya dalam konteks rasmi serta kesusasteraan.

Bahasa Tamil menjadi bahasa lingua franca yang dituturkan oleh pedagang kelautan yang awal, bersama dengan prasasti Tamil ditemui di tempat seperti Sri Lanka, Thailand dan Mesir. Bahasa Tamil mempunyai sejarah dokumentasi dengan baik debgan karya-karya sasteranya dikumpulkan dalam satu badan kesusasteraan yang disebut sebagai Sastera Sangam yang mengandungi lebih daripada 2,000 gurindam.

Aksara Tamil berevolusi dari aksara Tamil Brahmi dan kemudian, aksara Vatteluttu digunakan hinggalah kepada aksara Tamil terkini yang dipiawaikan. Bahasa Tamil mempunyai struktur tatabahasa yang tersendiri dengan sistem morfologi aglunatif yang membolehkan perkataan yang lebih rumit dihasilkan daripada perkataan yang asal.

Bahasa Tamil dituturkan secara majoritinya di negeri Tamil Nadu dan Puducherry di India. Selain itu, ia dituturkan sebagai bahasa ibunda dan bahasa rasmi di wilayah Utara dan Timur Sri Lanka. Di samping itu, bahasa Tamil mempunyai populasi penutur yang terbesar sebagai bahasa pertama dalam kalangan komuniti diaspora Tamil atau bahasa kedua atau bahasa ketiga di negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Myanmar. Bahasa Tamil menerima pengiktirafan sebagai bahasa klasik dari pemerintah Republik India pada tahun 2004.