Pengenalan kepada Bahasa Tamil

Bahasa Tamil adalah bahasa rasmi di negeri-negeri India seperti di Tamil Nadu, Puducherry dan di Kepulauan Andaman serta Nicobar. Ia juga menjadi salah satu bahasa rasmi di negara seperti Sri Lanka dan Singapura. Di Malaysia pula, bahasa Tamil diiktiraf sebagai salah satu wahana bagi penyampaian pendidikan bersama bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan yang dipantau oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sementara itu, negeri India yang lain seperti Kerala, Karnataka dan Andra Pradesh pula, bahasa Tamil menjadi bahasa kedua. Ia disenaraikan dalam 22 bahasa berjadual di India yang pertama diisytihar sebagai bahasa klasik oleh pemerintah Republik India pada tahun 2004. Bahasa Tamil turut dituturkan sebagai bahasa ibunda oleh diaspora Tamil di beberapa negara seperti Malaysia, England, Mauritius, Canada, Afrika Selatan, Fiji, Jerman, Filipina, Amerika Syarikat, Belanda, Indonesia, RĂ©union dan Perancis.

Bahasa Tamil kekal menjadi salah satu bahasa klasik tertua di dunia yang masih bertahan sehingga kini. Inskripsi Tamil Brahmi berusia 2200 tahun yang ditemui di Samanamalai membuktikan bahawa bahasa ini masih bertahan dalam bentuk lamanya sehingga kini.

Kepelbagaian dan kualiti sastera Tamil disenaraikan sebagai salah satu tradisi klasik dan sastera teragung di dunia. Sastera Tamil telah wujud sejak 2000 tahun lampau. Zaman terawal sastera Tamil bermula dengan era sastera Sangam dari 300 SM sehingga 300 M. Ia mempunyai rekod tertua sastera berbanding dengan kelompok bahasa Dravidia yang lain. Rekod epigrafi terawal telah ditemui di tugu dan batu perwira dari sekitar abad ke-3 SM. Inskripsi tertua sekali ditulis dengan huruf Tamil Brahmi telah ditemui di Palani bertarikh karbon 540 SM.

Lebih daripada 55% inskripsi epigrafi (kira-kira 55,000) ditemui oleh Kajiselidik Arkeologi India adalah berbahasa Tamil. Inskripsi bahasa Tamil dipahat sekitar abad 1 SM dan 2 SM turut ditemui di Mesir, Thailand dan Sri Lanka. Dua manuskrip awal dari India berbahasa Tamil direkodkan dan didaftarkan oleh Rekod Memori Dunia UNESCO pada tahun 1997 dan tahun 2005.

Bahasa Tamil juga merupakan bahasa suci bagi agama Ayyavazhi dan menjadi perantara tradisi Hindu yang dianuti oleh bangsa Tamil seperti Shaivisme dan Vaishnavisme. Menurut kajiselidik pada tahun 2001, sebanyak 1,863 akhbar di India diterbitkan dalam bahasa Tamil serta 353 daripadanya ialah akhbar harian.