Etimologi Bahasa Tamil

Karya panjang terawal dalam bahasa Tamil serta ulasannya meraikan raja-raja dari wangsa Pandiyan yang menganjurkan Sangam Tamil dalam jangka masa yang panjang. Sangam Tamil ini menyelidiki, memajukan dan menjalankan pindaan kepada bahasa Tamil. Walaupun nama bahasa yang diperkembang oleh Sangam Tamil ini disebut sebagai bahasa Tamil, namun zaman yang mana satu yang menerima pakai nama "Tamil" untuk bahasa ini masih lagi berada dalam kekaburan. Begitu juga dengan etimologi atau terbitan yang melahirkan nama "Tamil" ini masih belum diketahui.

Penggunaan terawal nama "Tamil" yang dapat disahkan ini ditemui dalam sastera Tolkappiyam yang bertarikh seawal abad lewat ke-2 SM. Prasasti Hathigumpha dipahat dalam masa yang sama dengan sastera Tolkappiyam iaitu sekitar tahun 150 SM oleh baginda Raja Kharavela, seorang raja penganut agama Jain dari Kalinga. Prasasti itu membuat rujukan kepada "Tamira Samghatta" atau "Perikatan Tamil".

Selain itu, Sutra Samavayanga bertarikh pada abad ke-3 SM mengandungi rujukan kepada aksara Tamil sebagai "Damili".

Franklin C. Southworth (1998) dalam karya "On Origin of the Word Tamiz" terbitan International Journal of Dravidian Linguistics mencadangkan bahawa nama Tamil ini terbit dari perkataan "Tam-Mil" yang bermaksud "bercakap sendiri" atau "pengucapan sendiri".

Kamil Zvelebil (1992) dalam "Companion Studies to the History of Tamil Literature" terbitan Leiden: Brill mencadangkan bahawa etimologi perkataan "Tam-il" dengan "Tam" bermaksud sendiri dan "-il" bermaksud "bunyi tidak terlipat". Beliau turut memberikan satu lagi cadangan bahawa, "Tamil" diterbitkan dari perkataan "Ta-vil" dari "Tak-il" bermaksud asal usul "proses sebenar percakapan". Walau bagaimanapun, hal ini tidak dipersetujui oleh Southworth kerana penggunaan terkini "centamil" bermaksud, "pengucapan yang digilap" dalam sastera awal.

Tamil Lexicon of University of Madras mendefinisikan perkataan "Tamil" sebagai "kemanisan". S. V. Subramaniam mencadangkan bahawa makna "bunyi merdu" itu berasal dari pecahan perkataan, "Tam" iaitu "merdu" dan "-il" bermaksud "bunyi".