A. Teori Dua Cawangan Arya
Penutur bahasa jenis begini selalunya digelarkan sebagai orang Arya. Dari sebutan ini, timbul pula nama seperti Iran atau mungkin juga Eire yang merujuk kepada kepulauan Ireland yang berada di hujung benua Eropah.
Walaupun tanah air asal orang Arya ini munasabahnya terletak di Caucasus utara. Namun, rekod terawal mengenai mereka bukannya muncul di Caucasus utara mahu pun di negara kota Indo-Irani. Sebaliknya, ia muncul di Caucasus selatan iaitu dari kerajaan Mittani di Mesopotamia utara. Dinasti pemerintah di situ mempunya nama Arya dan memuja dewata Arya seperti dewa Indra. Kerajaan Mittani telah pun berdiri semenjak abad kedua sebelum masehi lagi.
Perpindahan orang Arya pada awalnya bukan menuju ke selatan sebaliknya adalah ke timur masuk ke Asia Tengah. Mereka menembusi benua kecil India dan Persia secara berasingan. Orang Arya di benua kecil India dan di Persia pun berkembang secara berasingan pula selepas itu. Maksudnya, bahasa dan kebudayaan mereka bertumbuh secara berasingan dari asas yang sama.
Peringkat tertua bahasa orang Arya di Persia diwakili oleh bahasa Avesta yang menjadi bahasa suci penganut ajaran Zaratosht serta bahasa Parsi purba yang menggunakan tulisan pepaku pada batu bersurat dalam empayar Achaemani.
B. Pengaruh Tamadun Sindhu
Di benua kecil India pula, satu tamadun yang berkembang maju dan bersifat urban telah pun wujud sejak sebelum ketibaan orang Arya di situ. Tamadun ini disebut sebagai Tamadun Lembah Sindhu atau Indus Valley Civilisation dalam bahasa Inggeris. Tamadun ini ditemui oleh penyelidik menerusi carigali arkeologi kota Mohenjo-Daro dan kota Harappa. Kedua-dua kota ini dikesan wujud sekurang-kurangnya sejak pertengahan abad ke-3 M. Kebudayaannya stabil beberapa lama dan mempunyai sistem tulisan sendiri pula. Kota-kota ini kemudian hilang secara tiba-tiba. Para sarjana cenderung sekali mengaitkan hal ini dengan kemasukan orang Arya secara beramai-ramai ke dalam kawasan tamadun ini. Bertambah pelik lagi apabila terdapat sela masa yang tidak dapat dijelaskan dengan baik kerana tamadun ini kelihatan terhapus terus kira-kira pada tahun 1700 SM. Tiada bukti yang menunjukkan orang Arya tiba di benua kecil India sebelum lewat separuh kedua abad milenia.
Kelestarian bahasa Brahui di Balochistan, Pakistan sehingga kini dan jauh terpisah dari bahasa Dravidia lain di selatan benua kecil India membuat sesetengah sarjana selesa menyimpulkan bahawa bahasa jenis Dravidia pernah dituturkan dengan meluas di Asia Selatan sebelum ketibaan orang Arya. Mereka mencadangkan bahawa bahasa Dravidia dituturkan di kota dalam tamadun ini.
Sehingga saat buku panduan bahasa Sanskrit hasil penulisan Michael Coulson ditulis, dakwaan mengenai bahasa Dravidia sebagai bahasa pertuturan umum di lembah ini masih belum dapat dibuktikan kecuali jika proses mengesan asal-usul tulisan dari dua kota purba ini berjaya dan diterima secara meluas oleh sarjana akademia. Selain itu, benua kecil India turut menjadi rantau bagi pentur bahasa dari kelompok Austroasia atau Mon-Khmer seperti bahasa Munda.
Walaupun bahasa orang Arya kelihatan berkembang sendiri di kebanyakan rantau di India Utara, namun dapat juga diperhatikan bahawa penturnya dipengaruhi oleh mereka yang dijajahi atau mereka yang dihubungi oleh mereka. Dalam hal ini, orang Arya kelihatan dipengaruhi dari segi pengucapan oleh orang Dravidia dan orang Munda.
Pengucapan bahasa yang diperkenalkan oleh orang Arya di benua kecil India itu berkembang dan menjadi pelbagai loghat pula. Kebanyakan bahasa moden di India Utara sendiri berasal dari bahasa dan loghat orang Indo-Arya ini. Istilah linguistik umum untuk pengelasan bahasa ini pun adalah bahasa Indo-Arya juga.
Tahap perkembangan bahasa Indo-Arya di benua kecil India bolehlah dipecahkan kepada tiga tahap seperti berikut iaitu:
- Bahasa Indo-Arya Tua
- Bahasa Indo-Arya Pertengahan
- Bahasa Indo-Arya Moden