Bahasa Indo-Arya Pertengahan

Bahasa Indo-Arya Pertengahan telah wujud dan berkembang sebelum terhasilnya sastera Ashtadhyayi karangan Panini. Bahasa Indo-Arya Pertengahan ini menjadi bahasa pertuturan orang awam dan ia berkembang lebih pantas jika dibandingkan dengan bahasa Sanskrit yang dituturkan oleh golongan pendita.

Istilah saṃskṛta bermaksud yang digilap dari segi tatabahasa diberikan kepada bahasa pengucapan golongan pendita dan sasterawan manakala istilah prākṛta pula diberikan kepada pengucapan bahasa orang awam.

Secara sempitnya, bahasa Indo-Arya Pertengahan ini dibahagikan kepada tiga jenis pula iaitu:

  • Bahasa Pali iaitu bahasa yang digunakan untuk merekod sastera ajaran Buddha dalam skala besar dan loghat yang digunakan dalam batu bersurat maharaja Asoka pada tahun 250 SM. Proses pemudahan sebutan itu berlaku dalam kelompok huruf konsonan sebagai contoh perkataan traividya dalam bahasa Sanskrit disebut sebagai tevijja dalam bahasa Pali.
  • Bahasa Prakrit Asli seperti bahasa Māhārāṣṭrī, bahasa Śauraseni dan bahasa Magadhi serta loghat-loghat yang digunakan dalam sastera agama penganut ajaran Jain.
  • Bahasa Apabhramśa yang merupakan istilah umum untuk merujuk mengenai evolusi bahasa Indo-Arya Pertengahan sehingga abad pertama masehi seterusnya menandakan kemunculan bahasa Indo-Arya Moden seperti bahasa Hindustan, bahasa Punjabi, bahasa Gujerati, bahasa Marathi, bahasa Nepal dan bahasa lain.
Bahasa Hindustan merujuk kepada bentuk bahasa yang digunakan bermula di Rajasthan sehingga ke Bihar. Dari bahasa ini, muncul pula bahasa Urdu dan bahasa Hindi yang digunakan sebagai wahana komunikasi oleh komuniti penganut agama Hindu di India dan komuniti Muslim di Pakistan. Bahasa Urdu didapati mengalami proses Persianisasi iaitu menerima pengaruh bahasa Parsi dan pengaruh dari bahasa Arab yang menjadi bahasa upacara keagamaan umat Islam. Di India pula, bahasa Hindi merupakan bentuk bahasa yang telah dinyah Persianisasikan dan menerima proses Sanskritisasi. Proses ini berlaku apabila benua kecil India dipecahkan kepada Republik India dan Republik Islam Pakistan.

 Rujukan