Bahasa Indo-Arya Tua ini setara dengan bahasa Sanskrit hanya dari segi kekhususannya dengan bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit pula terbahagi kepada dua iaitu bahasa Sanskrit Veda dan bahasa Sanskrit Klasik. Rekod mengenai orang Indo-Arya Tua bermula dengan kekawin dari Rgveda yang bertarikh sekurang-kurangnya 1000 SM. Ia merupakan hasil kemahiran sastera manusia pada zaman purba.
Kekawin itu dikarang sebaik sahaja orang Arya tiba di benua kecil India. Ia langsung tidak menunjukkan sebarang rujukan mengenai tempat tinggal mereka di luar benua kecil India namun bentuk bahasanya boleh dikategorikan sebagai bahasa Indo-Iran yang biasa.
Tahap pertengahan antara zaman bahasa Sanskrit Rgveda dengan zaman bahasa Sanskrit Klasik disebut pula sebagai zaman Brahmana. Brahmana adalah karya kesusasteraan yang menafsir maksud mistik dalam upacara Veda. Brahmana awal sekali ditulis pada abad pertama sebelum masehi. Upanishad dikira sebagai sebahagian daripada kesusasteraan zaman Brahmana.
Apabila masa berlalu, bahasa kelompok yang terpelajar iaitu kaum pendita berpecah terus bahasa orang kebanyakan. Hal ini terjadi kerana keperluan untuk menyampaikan mantra suci dengan sebutan yang betul bagi memelihara keberkesanan upacara agama itu sendiri. Seterusnya, pengajian sebutan bahasa Sanskrit menjadi asas kepada pengajian sebutan yang terdiri daripada kajian linguistik dan analisis fonetik bahasa Sanskrit. Selanjutnya, timbul ilmu ketatabahasaan yang bukan sahaja melibatkan kitab suci malahan melibatkan juga pengucapakan golongan terpelajar di benua kecil India pada zaman purba.
A. Sastera Panini
Sastera Tatabahasa oleh Panini bergelar Astadhyayi didakwa mula dikumpulkan pada abad keempat sebelum masehi. Ia menunjukkan tradisi ketatabahasaan yang maju dan canggih pada ketika itu. Penyempurnaan karya itu menyebabkan karya tatabahasa sebelumnya terhapus.
Dalam kurang daripada 4,000 sutra, Panini menganalisa keseluruhan fonolohi dan morfologi bahasa Sanskrit. Beliau mendahului kaedah tabahasa moden dari segi tatabahasa transformasi generatif. Walau bagaimanapun, sastera ini tidak boleh dibandingkan dengan tatabahasa moden kerana ia lebih cenderung kepada pemeliharaan sebutan bagi pemindahan secara lisan kepada orang lain. Karya ini sangat ringkas sehingga boleh dibaca habis dalam beberapa jam sahaja. Ia sangat komprehensif dan tepat. Seterusnya ia menjadi maklumat muktamad bagi segala persoalan mengenai penggunaan bahasa Sanskrit yang betul. Maka, bahasa Sanskrit Klasik telah pun dikodifikasikan oleh sastera Ashtadhyayi.
B. Bahasa Sanskrit Klasik
Kedua-dua bahasa Sanskrit Veda dan bahasa Sanskrit Klasik hanya mempunyai perbezaan rasmi yang kecil sahaja. Dari segi fonologi, perbezaan sandhinya nampak ketara. Sebutan tiga suku kata berubah menjadi dua suku kata sahaja, contohnya perkataan viriam menjadi viryam dalam bahasa Sanskrit Klasik. Dari segi morfologi, bentuk infleksi dikurangkan sehingga hilang subjunktif.
Dari segi perbendaharaan kata bahasa Arya Purba, banyak perkataan bahasa Arya hilang dalam bahasa Sanskrit Klasik. Bahasa Sanskrit Klasik menerima banyak kata pinjaman dari bahasa asing yang lain. Bahasa Sanskrit Klasik banyak didasarkan kepada bentuk loghat bahasa Indo-Arya Purba di Timur berbanding dengan bahasa Sanskrit Rgveda di Barat. Disebabkan ia telah condong ke Timur, maka banyak sebutannya masih tidak berubah jika dibandingkan dengan Sanskrit Rgveda. Sebagai contoh, perkataan Raghu yang bermaksud pantas atau cahaya dalam bahasa Sanskrit Rgveda disebut sebagai Laghu dalam bahasa Sanskrit Klasik. Perkataan ini selari dengan perkataan Elakhos dalam bahasa Yunani.
Terdapat juga bahasa cawangan Indo-Arya Tua yang lain namun tiada rekod berterusan mengenai bahasa-bahasa itu. Walau bagaimanapun, dari bahasa-bahasa itu nanti timbul pula bahasa Indo-Arya pertengahan.