Pengenalan Masakan India

Peristiwa sejarah yang berlaku di benua kecil India seperti penaklukan, hubungan perdagangan dan penjajahan memainkan peranan dalam memperkenalkan sesetengah makanan di di situ. Penemuan Dunia Baru oleh Columbus membawa kepada pengenalan kepada sejumlah sayuran dan buah-buahan baru di India. Antara bahan baru yang diperkenal di India adalah seperti kentang, tomato, cili, kacang tanah dan jambu batu yang menjadi makanan ruji di banyak bahagian di India.

Masakan India juga dibentuk oleh sejarah hubungan antarabangsa seperti perdagangan rempah antara India dan Eropah yang menjadi perintis utamak kepada Penemuan Zaman Eropah pada ketika itu. Rempah ratus dibawa dari India dan diperdagangkan di sekitar Eropah dan Asia. Masakan India juga mempengaruhi banyak jenis masakan di seluruh dunia, khususnya dari Eropah seperti di Britain, Timur Tengah, Afrika Selatan, Afrika Timur, Asia Tenggara, Amerika Utara, Mauritius, Oceania dan Carribean.

Secara tradisinya, makanan di India dimakan sambil duduk sama ada di atas lantai atau di kerusi rendah atau di atas tilam. Makanan India dimakan dengan tangan berbanding dengan sudu dan garfu. Selalunya, roti digunakan untuk mengaut kuah kari tanpa membenarkan kari menyentuh tangan. Di India utara yang banyak menghasilkan gandum, kepingan roti akan disepit dengan ibu jari dan jari tengah dan dikoyak sambil jari telunjuk menahan roti di bawahnya.

Kaedah lain pula digunakan di selatan untuk memakan dosai, adai dan utthappam yang mana jari tengah ditekan ke bawah dan menahan roti dan jari telunjuk menekan dan membahagikan roti menjadi koyakan kecil-kecil. 

Cara menyediakan makanan juga berbeza-beza mengikut rantau di seluruh India. Perhubungan dengan kebudayaan lain memberikan kesan juga kepada etika makan orang India. Sebagai contoh, golongan pertengahan Anglo-India banyak menggunakan sudu dan garfu seperti kebudayaan Barat yang tradisional. Di India selatan pula, daun pisang yang bersih digunakan sebagai pelapik makanan. Ia boleh dibuang selepas selesai makan. Apabila makanan panas dihidangkan di atas daun pisang, ia akan mengeluarkan aroma dan rasa makanan yang unik. Walau bagaimanapun, daun pisang sebagai alas makanan pada hari ini juga kurang digunakan kecuali dalam upacara atau acara tertentu saja seperti di kuil.