Bahasa India Selatan kebanyakannya dikelompokkan di bawah keluarga bahasa Dravidia. Bahasa Dravidia dianggap sebagai bahasa asli di benua kecil India. Bahasa Dravidia Purba dituturkan di benua kecil India dalam abad ke-4 SM dan mula berpecah menjadi pelbagai cawangan bahasa menjelang abad ke-3 SM. Bahasa Dravidia dipecahkan kepada empat kumpulan iaitu:
- Kolami-Parji di Utara dan Tengah;
- Telugu-Kui di Selatan dan Tengah; dan
- Tamil-Kannada di Selatan.
Bahasa India Utara pula terdiri daripada bahasa dalam cawangan Indo-Arya dari bahasa Indo-Eropah yang berkembang dari bahasa Indo-Arya Lama melalui bahasa Prakrit Indo-Arya Pertengahan dan Apabhramsa dari Zaman Pertengahan. Bahasa Indo-Arya berkembang dan muncul dalam tiga tahap perkembangan iaitu:
- Bahasa Indo-Arya Lama pada 1,500 SM hingga 600 SM;
- Bahasa Indo-Arya Pertengahan pada 600 SM hingga 1,000 M; dan
- Bahasa Indo-Arya Baru pada 1,000 SM dan 1,300 M.
Bahasa Indo-Arya di India Utara pada zaman moden berkembang menjadi bahasa-bahasa yang berbeza, serta diiktiraf sebagai bahasa Indo-Arya Baru.
Di India Timur Laut pula, bahasa Meitei atau dikenali secara rasmi sebagai bahasa Manipuri diangkat menjadi bahasa istana berbanding dengan bahasa Sino-Tibetan lain di Kerajaan Manipur. Ia disebut sebagai Meeteileipak. Bahasa ini diberikan penghormatan sebelum dan ketika sesi darbar sebelum negeri Manipur digabungkan ke dalam kekuasaan Republik India. Sejarah kewujudannya merentangi garis masa 1,500 hingga 2,000 tahun mengikut Suniti Kumar Chatterji, sarjana terkenal yang menerima anugerah Padma Vibhushan. Di samping itu, "Akta Perlembagaan Negeri Manipur 1947" di negeri Manipur yang pernah bebas menyebut bahawa, bahasa Manipuri dan bahasa Inggeris menjadi bahasa pentadbiran di kerajaan itu sebelum ia digabungkan ke dalam Republik India.
Bahasa Parsi, dibawa masuk ke benua kecil India oleh dinasti Ghaznawi dan dinasti Turko-Afghan lain sebagai bahasa istana. Dinasti yang diparsikan itu, yang seterusnya digabungkan dengan dinasti Mughal yang juga berketurunan Turko-Mongol, telah meninggalkan pengaruh besar dalam kesenian, sejarah dan kesusasteraan rantau yang diperintah mereka selama lebih 500 tahun. Hal ini menyebabkan banyak bahasa di India yang diparsikan, terutamanya dari segi perkamusan. Pada tahun 1837, bahasa Parsi digantikan dengan bahasa Inggeris dan bahasa Hindustan bertulisan jawi oleh pemerintah British. Pergerakan bahasa Hindi pada abad ke-19 berusaha untuk menggantikan perbendaharaan kata yang telah diparsikan dengan terbitan dari bahasa Sanskrit dan menukarkan huruf jawi ke aksara devanagri bagi tujuan pentadbiran.
Setiap bahasa India utara itu menerima pelbagai pengaruh pula. Sebagai contoh, bahasa Hindustan banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit, bahasa Arab dan bahasa Parsi sehingga menimbulkan bahasa Hindi Baku Moden dan bahasa Urdu Baku Moden sebagai daftar bagi bahasa Hindustan. Bahasa Bengali pula masih mengekalkan akar Sanskritnya tetapi memperkembang perbendaharaan katanya dengan perbendaharaan serapan dari bahasa Parsi, bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan lain-lain bahasa asing.