Bahasa Hindustan adalah bahasa rumpun Indo-Arya yang dituturkan di India Utara dan Republik Islam Pakistan. Ia berfungsi sebagai lingua franca di rantau-rantau ini. Selain itu, ia menjadi bahasa pertuturan penduduk di Deccan. Bahasa Hindustan ini juga adalah bahasa yang bersifat pluricentric kerana ia mempunyai dua bentuk rasmi seperti berikut:
- Bahasa Hindi beraksara Devanagri serta dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit; dan
- Bahasa Urdu berhuruf Arab-Parsi serta dipengaruhi oleh bahasa Parsi, bahasa Turki dan bahasa Arab.
Konsep bahasa Hindustan sebagai "bahasa pemersatu" atau "bahasa kacukan" yang merentasi perbezaan komuniti serta agama di seluruh benua kecil India ini diluluskan oleh Mahatma Gandhi. Ia tidak dilihat sebagai hak milik komuniti Hindu atau komuniti Muslim seperti dalam kes bahasa Hindi atau bahasa Urdu. Di samping itu, bahasa Hindustan ini dianggap sebagai bahasa yang ringkas, dan mudah untuk dipelajari. Proses mengubah bahasa Hindi ke bahasa Urdu atau sebaliknya boleh dicapai melalui transliterasi antara dua jenis tulisan, berbanding dengan terjemahan yang umumnya hanya diperlukan dalam konteks teks agama atau teks sastera sahaja.
Cendekiawan bahasa mengesan puisi awal bertulis dalam bahasa ini melalui bentuk bahasa Hindi Lama hinggalah pada zaman Kesultanan Delhi kira-kira pada abad ke-12 dan ke-13 masihi. Rantau Kesultanan Delhi pada ketika itu mencakupi kebanyakan kawasan dalam India moden, timur Pakistan, selatan Nepal dan Bangladesh. Perhubungan antara budaya Hindu dan Muslim berlaku dalam zaman Kesultanan Delhi yang mana asas bahasa Hindi Lama dari bahasa Sanskrit dan bahasa Prakrit diperkaya dengan kata serapan dari bahasa Parsi sehingga berevolusi menjadi bahasa Hindustan terkini.
Bahasa Hindustan menjadi ungkapan kepada kesatuan kebangsaan India semasa berlakunya pergerakan kemerdekaan India dan terus dituturkan sebagai bahasa umum di bahagian utara benua kecil India. Hal ini dicerminkan oleh perbendaharaan kata bahasa Hindustan dalam filem Bollywood dan juga lagu-lagunya.
Perbendaharaan kata utama bahasa Hindustan ini diterbitkan dari bahasa Prakrit dengan perkataan tambahannya diserap dari bahasa Parsi atau bahasa Arab yang juga masuk ke benua kecil India melalui bahasa Parsi. Selalunya bahasa Hindustan ditulis dengan aksara Devanagri sekiranya ia adalah bahasa Hindi atau pun huruf Parsi-Arab jika ia adalah bahasa Urdu. Kini, abjad Romawi menjadi popular sebagai bentuk tulisan yang neutral.
Hingga tahun 2023, bahasa Hindi dan bahasa Urdu bersama-sama membentuk bahasa yang ketiga terbesar penuturnya di dunia selepas bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Menurut Ethnologue, penutur asli dan penuturnya sebagai bahasa kedua berjumlah 843 juta orang walaupun hal ini termasuklah berjuta-juta orang yang melaporkan bahawa bahasa pertuturan mereka itu sebagai bahasa Hindi dalam banci India tetapi sebenarnya mereka bertutur sejumlah bahasa Hindi "lain" berbanding dengan bahasa Hindustan.
Jumlah keseluruhan penutur bahasa Hindi-Urdu yang dilaporkan pada tahun 1995 adalah seramai 300 juta orang. Hal ini menjadikannya sebagai bahasa yang ketiga atau keempat terbanyak dituturkan di seluruh dunia!