![]() |
| Peta Asia Tenggara sekitar abad ke-7 M oleh Tanakorn Srichaisuphakit CC BY-SA 4.0 |
Menurut Kumar Mahesh Sharan (2003) dalam "Studies In Sanskrit Inscriptions of Ancient Cambodia" dari Abhinav Publications dalam muka surat 31 sehingga 34 menyebut bahawa kerajaan Chenla atau dalam bahasa Chinanya 真腊 atau 真臘 Zhēnlà serta diromawikan daripada bahasa Khmer, Chénla ialah gelaran China untuk kerajaan bawahan kepada kerajaan Funan. Nama itu masih digunakan pada abad ke-13 M oleh Zhou Daguan, utusan China yang menjadi pengarang kitab "The Customs of Cambodia".
Selain itu, ia muncul dalam peta Mao Kun. Walau bagaimanapun, historigrafi moden menggunakan nama itu secara eksklusif untuk tempoh dari akhir abad ke-6 hingga awal abad ke-9 M. Tempoh sejarah Kemboja ini dikenali oleh ahli sejarah sebagai tempoh Pra Angkor. Selain itu, sarjana turut meragui bahawa kerajaan Chenla ini wujud sebagai sebuah kerajaan yang berpusat atau adakah hal ini adalah salah tanggapan penulis babad China. Kebanyakan ahli sejarah moden menegaskan bahawa Chenla sebenarnya hanyalah satu siri gabungan beberapa negara kota yang longgar dan sementara pada zaman pra Angkor.
Menurut prasasti dari Čăn Năk'ôn di Basak atau Laos (K. 363), Vīravarman ialah ayahanda kepada Citrasena yang digelar sebagai Mahendravarman manakala Mahendravarman pula adinda kepada Bhavavarman. Jelas sekali kedua-dua putera ini mempunyai ibunda yang sama namun ayahanda yang berbeza. Hal ini disokong oleh prasasti Si Thep yang kini berada dalam kawasan Thailand. Prasasti ini memberikan maklumat bahawa Bhavavarman ialah ananda kepada Prathivīndravarman cucunda kepada seorang Cakravartin manakala prasasti dari Pak Mun di Ubon Ratchathani, Thailand memaklumkan kepada kita bahawa nama ayahanda kepada Vīravarman ialah Sārvabhauma.
Semua prasasti ini merujuk kepada satu negara besar yang diperintah oleh raja-raja ini. Turut direkodkan dalam prasasti daripada Robaṅ Romãs di Īśānapura (rujuk tapak arkeologi Sambor Prei Kuk) bahawa Narasimhagupta, seorang samāntanṛpa atau raja bawahan kepada raja-raja Bhavavarman, Mahendravarman (nama raja Citrasena) dan Īśānavarman bergilir-gilir mendirikan arca Kalpavāsudeva atau dewa Vishnu pada 13 April 598 M semasa pemerintahan Bhavavarman.
Hal ini bertepatan dengan Suí Shū atau Kitab Sejarah Dinasti Suí, teks China tertua susunan Wèi Zhēng (580–643) pada tahun 636 Masihi yang menyebut Chenla pada awal abad ke-7 M telah diperintah oleh Citrasena dan Īśānavarman. Ibu kota kerajaan yang terakhir ini ialah Īśānapura, manakala pendahulunya Bhavavarman I masih menetap di Bhavapura, sebuah tempat yang mungkin terletak di sekitar bandar moden Thala Barivat (13°33′ U, 105°57′ E) di wilayah Stung Treng, Kemboja. Satu prasasti yang berasal dari zaman pemerintahan Īśānavarman I menegaskan bahawa baginda adalah "Raja segala Raja, yang memerintah Suvarnabhumi sehingga ke laut" atau dalam bahasa Sanskritnya berbunyi Samudra-paryanta Suvarṇabhūmi, justeru mengenal pasti Chenla dengan Suvarnabhumi.
