Etimologi Perkataan Chenla

Justin J. Corfield (2009) menyebut dalam The History of Cambodia bahawa "Chenla" atau "Zhenla" ialah nama yang diberikan dalam catatan China mengenai satu entiti yang menghantar ufti kepada maharaja China. Claude Jacques (1979) dalam "'Funan', 'Zhenla': The Reality Concealed by These Chinese Views of Indochina" dari Early South East Asia terbitan Oxford University Press menyebut perkataan "Chenla" atau "Zhenla" dan juga Funan ini tidak dikenal atau diketahui dalam bahasa Khmer Lama.

Michael Vickery (1998) dalam Society, economies and politics in pre-Angkor Cambodia: the 7th - 8th centuries terbitan Centre for East Asian Cultural Studies for Unesco dengan sokongan rekod dari Zhou Daguan terjemahan Silkworm Books dalam bahasa Inggeris (2007) berjudul "A Record of Cambodia: The Land and Its People" menyatakan bahawa etimologi rakyat cuba mengubungkan 真臘 Chenla dengan terjemahan nama Cinanya sebagai "Lilin Lebah Tulen" yang merupakan salah satu komoditi serantaunya yang disebut dalam sejarah China. Zhenla telah dibina semula sebagai Tsienliäp dalam bahasa dinasti Tang yang hampir sama bunyi dengan nama sebuah bandar di Kemboja. Walau bagaimanapun, nama bandar itu berabad-abad kemudian daripada penggunaan pertama perkataan Zhenla dan hujah Michael Vickery bahawa maksud asal kedua-dua nama itu tidak diketahui.

Nicolas Revire pada tahun 2016 pernah menghujahkan bahawa tiada pembinaan semula Zhenla yang meyakinkan dalam bahasa Sanskrit atau bahasa vernakular yang telah ditawarkan. Beliau memetik kajian Michel Antelme pada tahun 2010 sebagai percubaan terbaru. Beliau membuat perbandingan dengan Dvāravatī yang namanya dibuktikan melalui prasasti Sanskrit yang ditemui berdasarkan kepada alasan yang ditunjukkannya. Kerajaan Zhenla ini hanya diketahui kewujudannya melalui teks China. Geoff Wade mencadangkan bahawa bacaan bahasa Cina Hokkien bagi Zhenla hampir sama persis dengan perkataan "Tonle" dalam bahasa Khmer.

Walau bagaimanapun, penjelasan yang serupa mungkin terpakai kepada bentuk varian yang lebih kemudian iaitu 占臘 Zhanla. Menurut penulis Peter Harris, "Ia berkemungkinan besar membawa maksud Cham yang dikalahkan kerana Zhan ialah perkataan dalam bahasa China yang merujuk kepada Cham." Beliau juga menyatakan penjelasan yang diberikan dalam Mingshi atau kitab dinasti Ming, "Semasa tempoh pemerintahan Qing Yuan (1195 - 1200) dari dinasti Song, Kemboja menumpaskan Champa dan mengambil alih tanahnya. Disebabkan hal itu, negara itu menukarkan namanya kepada Zhanla. Namun, semasa zaman dinasti Yuan, kerajaan ini terus digelar sebagai Zhanla." Chenla mungkin dikenali melalui beberapa nama lain juga seperti 文單 Wendan yang dibina semula sebagai Muntal berkemungkinan merujuk kepada perkataan Mandala atau menurut Tatsuo Hoshino Po-Lou, Wendan sebagai ibu kota kerajaan ini.

Arputha Rani Sengupta (Ed.) (2005) dalam "God and King: The Devaraja Cult in South Asian Art & Architecture" di National Museum Institute menyatakan bahawa mengikut tradisi dewaraja dalam kepercayaan Hindu, raja mengambil gelaran dalam bahasa Sanskrit mengikut nama dewa penaung baginda atau jelmaan dewa diikuti dengan imbuhan akhir -varman yang bermaksud, "dilindungi oleh". Tej Ram Sharma (1978) dalam "Personal and Geographical Names in the Gupta Inscriptions" menyebut bahawa hal ini berdasarkan kepada tatacara perundangan pentadbiran Manusmriti atau Undang-Undang Manu yang dipatuhi oleh kasta Kesatria.