Dharma ialah konsep utama dalam kebanyakan agama di benua kecil India. Istilah ini sebenarnya tidak mempunyai satu terjemahan khusus dan menyampaikan pelbagai lapisan buah fikiran pula. Dari segi akar katanya, perkataan ini muncul dari perkataan dhr- yang membawa maksud memegang, menyokong sekaligus merujuk kepada undang-undang atau peraturan yang memelihara segala perkara dari kehidupan peribadi seseorang, masyarakat dan alam semesta secara keseluruhannya.
Dalam penggunaannya yang paling lazim, perkataan dharma ini merujuk kepada tanggungjawab atau tugasan susila seseorang contohnya seperti dharma seorang petani itu berbeza dengan dharma seorang tentera, maka hal ini menjadikan konsep dharma itu sebagai dinamik, tertakluk kepada situasi serta keadaan pula. Bagi komponen lain dalam Purushartha pula, konsep dharma ini sebenar merentasi seluruh benua kecil India. Lawan bagi perkataan dharma ini ialah adharma.
Dalam pandangan umum orang Hindu, dharma ini menunjukkan sikap atau tabiat yang dianggap sebagai selari dengan artha iaitu norma atau adat istiadat yang menjadikan kehidupan dan kewujudan alam semesta ini sesuatu yang mungkin. Perkara ini termasuklah tanggungjawab, hak, undang-undang, tatasusila, sifat yang dipandang sebagai baik dan "cara hidup yang benar" mengikut tahap kehidupan serta kedudukan seseorang dalam masyarakatnya. Dharma ini dipercayai sah namun terhad dan tertakluk pula kepada keadaan serta masa serta menjadi salah satu komponen dalam Purushartha. Konsep dharma telah digunakan sejak kewujudan agama Veda (1500 - 500 SM) dan maksud serta cakupan konsepnya pun berubah-ubah pula sepanjang zaman.