Etimologi Perkataan Dharma

R.K. Barnhart (1998) dalam Chambers Dictionary of Etymology menyatakan bahawa perkataan dharma berakar umbi dari perkataan bahasa Sanskrit dhr- yang bermaksud memegang atau menyokong dan berkaitan juga dengan perkataan firmus dalam bahasa Latin yang bermaksud kukuh dan stabil. Dari akar perkataan bahasa Sanskrit ini maka ia pun diterjemahkan sebagai "perkara yang diasaskan atau kukuh," serta seterusnya menjadi "undang-undang". Selain itu, Terrence P. Day (1982) dalam The Conception of Punishment in Early Indian Literature terbitan Wilfrid Laurier University Press di Ontario, Kanada menyatakan bahawa perkataan dharma ini diterbitkan daripada akar n- bahasa Sanskrit Veda yang lebih lama lagi iaitu dharman- dengan maksud tersuratnya, "pemegang atau penyokong" yang mana dalam pandangan keagamaan dilihat sebagai salah satu aspek dalam Rta.

Dalam kitab suci Rgveda, perkataan dharma ini muncul sebagai akar n-, dharman-, dengan pelbagai maksud yang mencakupi "sesuatu yang diasaskan atau kukuh" dalam erti kata pancang-pancang atau tiang atau rukun yang didirikan dengan kukuh bagi menyokong sesuatu. Secara tersiratnya, ia bermaksud "pemelihara" atau "penyokong" dari para dewata. Dari segi semantik, ia hampir sama dengan perkataan "themis" dalam bahasa Greek yang bermaksud titah yang tidak tersanggah, kanun atau undang-undang.

Dalam bahasa Sanskrit klasik dan bahasa Sanskrit kitab suci Veda yang digunakan dalam Atharvaveda, kata akar dharma- ini bersifat tematik. Apabila disebut dalam sebutan bahasa Prakrit dan bahasa Pali, ia menjadi dhamma. Dalam sesetengah bahasa India yang terkini ia disebut juga sebagai dharm atau dharam.

Pada abad ke-3 SM, Maharaja Asoka dari empayar Maurya menterjemahkan perkataan dharma ini kepada "eusebeia" dalam bahasa Greek yang bermaksud ketakwaan, kematangan rohani atau penyerahan jiwa kepada Tuhan. Terjemahan ini boleh didapati dalam Batu Bersurat Dwibahasa Kandahar dan Perintah Kandahar dalam bahasa Greek. Selain itu, baginda Maharaja Asoka juga menggunakan perkataan "qoshito" yang bermaksud kebenaran atau tatasusila dalam bahagian bahasa Aramia pada Batu Bersurat Dwibahasa Kandahar sebagai terjemahan kepada dharma.