Agama kitab suci Veda dalam sejarah juga disebut sebagai Vedisme atau Brahmanisme kadang kala juga dipanggil sebagai agama Hindu purba atau agama Hindu kitab suci Veda mengandungi buah fikiran agama dan amalan yang terkenal dalam kalangan bangsa Indo Arya di barat laut benua kecil India misalnya di Punjab dan barat lembangan Sungai Ganges semasa zaman Kitab Suci Veda (1500 - 500 SM).
Buah fikiran dan amalan ini didapati dari kitab suci Veda dan sesetengah upacara Veda masih lagi diamalkan sampai ke hari ini. Agama kitab suci Veda ini menjadi salah satu daripada tradisi utama yang membentu agama Hindu moden, walaupun agama Hindu yang terkini mempunyai perbezaan yang besar jika dibandingkan dengan agama Hindu kitab suci Veda dalam sejarah.
Agama Kitab Suci Veda ini berasal dari kebudayaan Indo Iran dan agama dari kebudayaan Sintashta (2200 - 1750 SM) serta kebudayaan Andronovo (2000 - 1150 SM) di padang rumput Eurasia. Seterusnya, agama Indo Iran ini meminjam "kepercayaan dan amalan yang berbeza" dari kebudayaan yang bukan Indo Arya seperti kebudayaan Baktria-Margiana (BMAC; 2250 - 1700 SM) di selatan Asia Tengah apabila suku kaum Indo Arya berdiam di situ dalam kelompok mereka pada awal abad ke-2 SM. Dari BMAC, suku kaum Indo Arya berhijrah pula ke rantau barat laut benua kecil India dan agama Kitab Suci Veda ini berkembang di sana semasa zaman awal Veda (1500 - 1100 SM) sebagai salah satu kepelbagaian daripada agama Indo Arya dengan pengaruh dari saki baki Tamadun Lembah Indus lewat (2600 - 1900 SM).
Semasa zaman kitab suci Veda lewat (1100 - 500 SM), Brahmanisme berkembang dari agama kitab suci Veda sebagai satu "ideologi" dalam mandala Kuru-Panchala lalu merebak ke kawasan yang lebih luas lagi selepas kejatuhan mandala Kuru-Panchala serta penguasaan pengaruh kebudayaan Magadha yang bukan berasaskan kitab suci Veda. Brahmanisme menjadi salah satu pengaruh utama yang membentuk agama Hindu terkini apabila ia bersepadu dengan agama warisan suku kaum bukan Indo Arya di timur lembangan Sungai Ganges. Keadaan ini turut melahirkan agama-agama lain seperti agama Buddha, agama Jain dan juga tradisi keagamaan setempat.
Upacara khusus dan upacara pengorbanan dari agama kitab suci Veda termasuklah seperti berikut:
- Upacara Soma;
- Yagna melibatkan penyembahan havir atau bahan bakar kepada api; dan
- Ashvamedha atau pengorbanan kuda.
Selain itu, amalan penguburan mayat serta pembakaran mayat orang yang sudah meninggal dunia diperhatikan telah wujud sejak zaman Rigveda lagi. Dewata yang ditekankan kepentingannya dalam agama kitab suci Veda itu adalah seperti Dyaus, Indra, Agni, Rudra dan Varuna. Di samping itu juga, konsep tatasusila seperti satya dan arta turut menjadi tumpuan utama dalam kehidupan. Rujukan awal mengenai "Vedisme" boleh juga didapati di sini.