Sabtu, 15 Ogos 2026

Konsep Brahmana mengikut Kelompok Bahasa

Gambar hiasan dari British Library berjudul
"Brahmins worshiping river Ganges", The Land of Temples (India), 1882

Menurut V. Dhivakar, menggolongkan suku kaum Brahmana mengikut kelompok bahasa seperti bahasa Tamil, bahasa Telugu dan lain-lain bahasa itu adalah satu konsep yang salah. Persoalan mengenai bilakah para Brahmana tiba di Tamil Nadu yang kini terletak di hujung benua kecil India itu dijawab oleh beliau yang merupakan pengarang kepada sembilan buah novel peperangan berbahasa Tamil.

Dhivakar menyatakan bahawa prasasti bersejarah dan sastera Sangam Tamil tidak dapat memberikan masa yang tepat mengenai ketibaan golongan Brahmana di Tamil Nadu walaupun Kapilar, pengarang kepada syair Sangam yang berusia 2,500 tahun itu juga adalah seorang Brahmana. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sebutan mengenai para Brahmana semasa zaman awal Tamil Nadu dalam kesusasteraan Tolkappiyam. Maduraikaanci, seorang penyair Sangam menyebut bahawa Madurai pada ketika itu terkenal dengan para Brahmana dan vedaghosham atau bacaan kitab suci Veda semasa Raja Nedunchelian, pemerintah kerajaan Pandya memerintah di kota itu.

Sastera Silappathikaram yang agung menyebut tentang para Brahmana yang mengajar kitab suci Veda dan Upanishad. Selain itu, ia turut menyebut bahawa seorang pendita pernah memohon supaya raja di kerajaan Chera iaitu Raja Shenkuttuvan supaya menjalankan upacara Veda Vaelvi atau pengorbanan bagi menyucikan dosa kerana membawa raja-raja dari utara ke kerajaan Chera sebagai tawanan. Baginda Raja Shenguttuvan pun mematuhi permohonan pendita Brahmana itu dengan menjalankan upacara tersebut di seluruh negara serta memerintahkan supaya raja-raja Kanakavizhi atau mata emas dari benua utara dibebaskan.

Prasasti Tembaga Velvikkudi atau Prasasti Tanah Brahmana yang dikurniakan oleh Raja Pandya pada 300 SM menyebut bahawa Raja Mudukudumi Pervazhudi dari kerajaan Pandya mendermakan tanah kepada para Brahmana. Butiran umum menyebut bahawa baginda sendiri menjalankan upacara yagnam atau pengorbanan. Sejak itu, beberapa ratus lagi prasasti yang merakamkan derma bakti kerajaan kepada para Brahmana bertebaran di seluruh Tamil Nadu atau Tanah Tamil dan hal ini direkodkan oleh Archeological Society of India atau Pertubuhan Arkeologi India. Tanah yang dikurniakan kepada para Brahmana disebut sebagai Brahmadeyam dan ia dikurniakan bukan saja untuk penempatan mereka. Tetapi juga untuk dijadikan sebagai tapak pusat pendidikan untuk kanak-kanak serta rumah sakit untuk warganegara. Apabila pembinaan kuil-kuil mengikut hukum sastra agama bermula di Tamil Nadu dari abad ke-3 dan ke-4 M serta seterusnya, pendita Brahmana yang terlatih dengan sastra agama turut dilantik bagi menjalankan upacara di kuil-kuil tersebut.

Komuniti Brahmana telah bercampur gaul dengan masyarakat tempatan di sekeliling mereka lalu menyerap juga beberapa ciri kebudayaan masyarakat tempatan. Makanya, konsep Brahmana "Tamil" dan Brahmana "Telugu" serta isu kononnya mereka itu ialah orang asing tidak pernah timbul hinggalah kemunculan "Teori Anti Brahminisme" yang digembar gemburkan oleh orang-orang yang mempunyai agenda mereka tersendiri pada abad ke-20 Masihi.