Sastera purba Hindu iaitu Mahabharata menyebut nasi dan sayur yang dimasak sekali sebagai "pulao" atau "pallao". Ia digunakan bagi merujuk kepada masakan dalam sastera Sanskrit purba, seperti dalam Yajnavalkya Smrti. Ayurveda yang menjadi sistem kesihatan India purba, turut mempunyai kaitan dengan pendekatan kesihatan yang merangkumi pemakanan, dhyana atau samadhi dan yoga.
Selain itu, masakan Siam turut dipengaruhi oleh prinsip masakan India seperti yang direkodkan oleh Bhiksu Buddhadasa dalam tulisan beliau yang berjudul, "India's Benevolence to Thailand". Beliau menulis bahawa orang Siam mempelajari kegunaan rempah ratus dalam pemakanan mereka melalui orang India. Mereka memperolehi kaedah menghasilkan ubatan herba melalui Ayurveda. Sesetengah tumbuhan seperti Sarabhi dalam keluarga Guttiferae, Kanika atau Harsinghar, Phikun atau Bunga Tanjung dan Bunnak atau Penaga Lilin dibawa terus ke benua Siam dari benua India pada suatu ketika dahulu.
Masakan Filipina yang ditemui di seluruh kepulauan Filipina juga secara sejarahnya terpengaruh oleh masakan India. Sebagai contoh, atchara dikatakan berasal dari achar yang disebarkan ke Filipina melalui acar di Indonesia, Malaysia dan Brunei. Pengaruh India juga boleh dilihat pada makanan berasaskan nasi seperti bibingka (hampir serupa dengan bingka di Indonesia), puto dan puto bambong. Puto dan puto bambong berkemungkinan berasal dari puttu dari India Selatan yang mana variasinya di Asia Tenggara dikenali sebagai kuih putu atau putu mangkuk. Di samping itu, kare kare yang popular di Luzon dikatakan berasal dari Perang Tujuh Tahun ketika British menduduki Manila selama dua tahun. Kare kare diperkenal oleh sipahi India yang menggunakan rempah ratus setakat yang mereka ada untuk menghasilkan kari sebagai makanan. Kari versi Filipina ini berwarna kekuningan sehingga kejinggaan dan berbentuk kuah kacang.