Upaya atau cara berhikmah atau teknik daya usaha ialah satu lagi kebajikan dan doktrin penting dalam ajaran Buddha Mahayana. Idea ini terkenal dihuraikan dalam Sutra Teratai Putih merujuk kepada sebarang kaedah atau teknik berkesan yang mendorong kepada pertumbuhan rohani serta membawa makhluk kepada pencerahan dan nirvana. Ajaran ini menyatakan bahawa, atas dasar belas kasihan, baginda Buddha menyesuaikan ajaran baginda mengikut kepada siapa yang diajari oleh baginda. Oleh itu, adalah mungkin bagi sang Buddha mengajari perkara yang kelihatan bercanggah kepada orang yang berbeza-beza. Idea ini juga digunakan bagi menjelaskan keluasan korpus teks yang terdapat dalam aliran Mahayana.
Ajaran yang berkait rapat ialah doktrin ekayana atau kenderaan tunggal. Ajaran ini menyatakan bahawa walaupun Buddha dikatakan telah mengajarkan tiga kenderaan iaitu kenderaan para murid, kenderaan Buddha persendirian dan kenderaan para bodhisattva yang diterima oleh semua aliran Buddha awal. Kesemuanya hanyalah cara berhikmah yang membawa seseorang itu ke tempat yang sama iaitu kedudukan Buddha atau pencerahan. Oleh itu, pada hakikatnya tiada tiga kenderaan pun. Sebaliknya, hanya satu saja kenderaan iaitu kenderaan tertinggi para Buddha yang diajarkan dengan cara berbeza bergantung kepada kemampuan individu. Malah, makhluk yang berfikir bahawa mereka telah menyelesaikan jalan iaitu para arahat sebenarnya belum selesai lagi pun. Mereka pun akhirnya akan mencapai kedudukan para Buddha.
Namun, ajaran ini tidak diterima sepenuhnya oleh semua tradisi Mahayana. Aliran Yogacara terkenal kerana mempertahankan teori alternatif yang berpendapat bahawa tidak semua makhluk boleh menjadi Buddha, Hal ini menjadi topik perdebatan besar sepanjang sejarah ajaran Buddha aliran Mahayana.