Satu tafsiran terkenal dalam puisi berjudul "Amar Shonar Bangla" oleh Rabindranath Tagore menjadi asas kepada dakwaan bahawa Suvarnabhumi itu sebenarnya terletak di Sonargaon, Bengal Tengah. Sesetengah sastera Jain menyebut bahawa pedagang dari Anga (kini terletak di Bihar, salah satu negeri di India moden yang bersempadan dengan Bengal) sering belayar ke Suvarnabhumi, dan Bengal purba sebenarnya terletak sangat dekat dengan Anga, dihubungkan oleh sungai-sungai di Delta Ganges-Brahmaputra.
Bengal juga dijelaskan dalam babad purba India dan Asia Tenggara sebagai "negara pelayaran" serta mempunyai hubungan perdagangan dengan negara-negara Dravidia, Sri Lanka, Tanah Jawa dan Sumatra di Selatan.
Tradisi Sinhala juga berpegang bahawa raja pertama Sri Lanka, Putera Vijaya Singha, datang dari Bengal. Tambahan lagi, rantau itu sering dikaitkan dengan warna keemasan kerana tanah Bengal diketahui berwarna kuning keemasan (Gangetic Alluvial), tuaian keemasan (padi), buah keemasan (mangga), galian mineral keemasan (emas dan tanah liat), dan penduduk berkulit kuning langsat.
Bengal dijelaskan sebagai Gaudesh atau Tanah Sinaran atau Tanah Keemasan dalam sastera Sanskrit purba. Semasa pemerintahan Kesultanan Bengal dan Empayar Mughal, Bengal Tengah menjadi kota perdagangan yang makmur dan dikenali sebagai Sonargaon atau Kampung Keemasan. Sonargaon dihubungkan dengan India Utara oleh Grand Trunk Road atau Jalan Besar, dan sering dikunjungi oleh pengembara Arab, Parsi dan India. Antara pengembara terkenal yang pernah sampai ke situ adalah Ibnu Battuta dan Zheng He.
Hingga kini, orang Bengali sering merujuk kepada tanah air mereka sebagai "Shonar Bangla" atau "Bengal Keemasan" dan lagu kebangsaan Bangladesh, Amar Shonar Bangla atau "Bengalku Keemasan", digubah dari puisi Rabindranath Tagore sendiri. Ia menjadi rujukan kepada teori ini.