Teori Asal Usul Aliran Buddha Mahayana

Teori Asal Usul Upasaka

Teori ini dicadangkan oleh Jean Przyluski dan dipertahankan oleh Etienne Lamotte dan Akira Hirakawa. Pandangan ini menyatakan bahawa upasaka atau orang awam memainkan peranan penting dalam perkembangan aliran Mahayana dan sebahagiannya lagi didasarkan kepada beberapa teks seperti Vimalakirti Sutra, yang memuji tokoh awam bagi pihak biarawan. Teori ini tidak lagi diterima meluas kini kerana banyak aliran Mahayana awal mempromosikan kebiaraan dan kezuhudan.

Teori Asal Usul Mahasamghika

Teori ini membahaskan bahawa aliran Mahayana berkembang dalam tradisi Mahasamghika. Hal ini dipertahan oleh cendekiawan seperti Hendrik Kern, A.K. Warder dan Paul Williams yang menghujahkan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada elemen Mahayana ini berkembang dalam kalangan komuniti Mahasamghika dari abad pertama sebelum masihi hingga seterusnya, kemungkinan di kawasan merangkumi Sungai Krishna di rantau Andhra di India Selatan.

Doktrin Mahasamghika mengenai lokottara atau ciri Buddha yang melampaui kebiasaan ini kadang kala dilihat sebagai cikal bakal kepada pandangan Mahayana kepada Buddha. Sesetengah cendekiawan juga melihat tokoh Mahayana seperti Nagarjuna, Dignaga, Candrakirti, Aryadeva dan Bhavaviveka sebagai berhubungan dengan tradisi Mahasamghika di Andhra. Walau bagaimanapun, cendekiawan lain juga menunjukkan bahawa banyak lagi rantau yang penting dalam perkembangan aliran ini seperti Gandhara dan Barat Daya India.

Teori ini juga sedikit demi sedikit dibuktikan sebagai bermasalah oleh kesarjanaan yang mendedahkan bahawa sesetengah sutra Mahayana menunjukkan asal usul perkembangan dari salasilah kebiaraan atau nikaya lain seperti Dharmaguptaka. Oleh kerana bukti yang sebegini, maka cendekiawan seperti Paul Harrison dan Paul Williams membahaskan bahawa pergerakan tersebit tidak dikira sebagai satu bentuk aliran sebaliknya berkemungkinan bersifat pan-Buddha. Oleh kerana tiada bukti bahawa aliran Mahayana ini pernah merujuk kepada aliran rasmi yang berasingan atau mazhab ajaran Buddha, namun ia wujud sebagai satu kelompok ideal khusus, dan kemudian berkembang menjadi doktrin yang mencita-citakan bodhisattva.

Hipotesis Hutan

Hipotesis ini menyatakan bahawa aliran Mahayana timbul utamanya dalam kalangan bhiksu "aranyavasin" yang cuba mengikuti gaya hidup Buddha di hutan. Hipotesis ini dipertahankan oleh Paul Harrison, Jan Nattier dan Reginald Ray. Teori ini didasarkan kepada sutra seperti Ugrapariprccha Sutra dan Mahayana Rastrapalapariprccha yang mempromosikan amalan zuhud di alam semulajadi sebagai amalan yang mulia dan tertinggi. Teks ini mengkritik bhiksu yang tinggal di kota-kota dan meninggalkan kehidupan di hutan.

Kajian Jan Nattier mengenai Sutra Ugrapariprccha berjudul A few good men (2003) membahaskan bahawa sutra ini mewakili bentuk terawal aliran Mahayana yang membentangkan jalan bodhisattva sebagai "usaha yang amat sukar" dalam kalangan bhiksu hutan yang dilihat sebagai elit. Kajian Boucer mengenai Sutra Rastrapalapariprccha (2008) pula merupakan karya yang terbaru membicarakan mengenai subjek ini.

Teori Kultus Agama

Teori ini dipertahankan oleh Gregory Schopen, yang menyatakan bahawa aliran Mahayana timbul dalam kalangan kumpulan agama yang terikat secara longgar, yang mempelajari, menghafal, menyalin dan memuliakan sutra-sutra khusus aliran Mahayana. Schopen memikirkan bahawa mereka ini diilhamkan oleh sanggar agama yang mana sutra Mahayana disimpan. Schopen juga menghujahkan bahawa kumpulan ini kebanyakannya menolak pemujaan stupa atau cetiya atau pemujaan bahan-bahan suci.

David Drewes baru-baru ini juga membahaskan menentang semua teori utama yang digariskan seperti di atas. Beliau selanjutnya memberikan hujah seperti berikut:

  • Tiada bukti sebenar mengenai kewujudan sanggar agama dan bahawa amalan menyembah sutra itu adalah amalan keseluruhan penganut Buddha yang tidak semestinya dari aliran Mahayana sahaja;
  • Sutra Mahayana menyokong amalan lisan lebih kerap berbanding dengan amalan agama bertulis;
  • Bagi hipotesis hutan pula, beliau menyebut bahawa hanya beberapa sutra Mahayana sahaja yang menyokong amalan bhiksu tinggal di hutan, sementara yang lain tidak pun menyebut mengenainya atau melihatnya sebagai amalan yang tidak membantu, mempromosikan amalan yang lebih mudah seperti mendengar sutra, atau merenung Buddha yang tertentu yang didakwa oleh mereka boleh menyebabkan mereka dijelmakan kembali dalam alam yang lebih istimewa, mewah, alam yang suci yang mana seseorang itu boleh mencapai kemajuan yang lebih pantas dalam jalan bodhisattva serta mencapai pencerahan dalam masa yang sekejap sahaja atau hanya satu hayat sahaja.            

Drewes menyatakan bahawa bukti hanya menunjukkan bahawa, "aliran Mahayana secara asasnya adalah satu pergerakan tekstual, berfokuskan kepada pendedahan, pengajaran dan penyebaran ajaran dari sutra Mahayana, yang berkembang di dalamnya dan tidak pernah pun benar-benar menyimpang daripada struktur sosial dan institusi penganut Buddha yang tradisional.

Drewes juga menekankan mengenai kepentingan dharmabhanaka atau pembaca sutra dalam sutra-sutra Mahayana yang awal. Tokoh dharmabhanaka ini dipandang sebagai orang yang dihormati, dipatuhi seperti mana seorang hamba mematuhi tuannya, menerima dana, dan seterusnya mereka adalah agen utama dalam pergerakan Mahayana.