Tema Bersama dalam Falsafah India

Aliran falsafah India yang utama dirasmikan dan diiktiraf oleh umum dari tahun 500 SM sehingga ke lewat abad masihi. Sesetengah aliran seperti Jainisme, Buddhisme, Yoga, Shaiva dan Vedanta terselamat sehingga hari ini tetapi beberapa yang lain seperti Ajnana, Ajivika dan Charvaka pula telah pupus.

Sastera falsafah India dari zaman purba dan zaman pertengahan termasuklah perbincangan yang panjang lebar mengenai ontologi iaitu yang melibatkan metafizik, Brahman-Atman, Sunyata-Anatta, kaedah mendapatkan ilmu pengetahuan yang boleh disandarkan kepada akademik seperti epistemologi dan pramana, aksiologi atau sistem nilai serta topik-topik yang lain.

Falsafah India berkongsi banyak konsep bersama seperti dharma, karma, samsara, dukkha, kezuhudan, samadhi, dengan hampir kesemuanya memberikan tumpuan kepada matlamat tertinggi setiap jiwa iaitu mencapai pembebasan dari dukkha dan samsara melalui pelbagai amalan kerohanian. Dalam hal ini, ahli falsafah India berkongsi matlamat yang satu iaitu keselamatan melalui moksha atau nirvana, ketenangan jiwa dari kekusutan duniawi.

Walau bagaimanapun, mereka berbeza dari segi tanggapan mengenai ciri kewujudan dan juga jalan khusus untuk mencapai keselamatan agung sehingga menimbulkan pelbagai lagi cawangan aliran yang saling bercanggahan antara satu sama lain. Doktrin purba mereka pula boleh ditemui dalam falsafah yang ada dalam tamadun purba yang lain.