Funan yang dianggarkan pernah wujud sekitar abad pertama hingga ketujuh masihi menjadi kerajaan yang pertama dalam sejarah Kemboja moden. Ia didakwa menjadi kerajaan keindiaan pertama yang makmur di Asia Tenggara. Tradisi Brahmana Hindu dan ajaran Buddha berkembang mekar di kerajaan itu. Menurut rekod China, dua orang bhiksu Buddha dari Funan bernama Mandrasena dan Samghapala, berdiam di benua China pada abad ke-5 dan ke-6 masihi pernah menterjemahkan beberapa sutra Buddha dari bahasa Sanskrit atau bahasa Prakrit ke bahasa Cina.
Bukti arkeologi tertua mengenai tamadun keindiaan di Asia Tenggara datang dari tengah Burma; tengah dan selatan Thailand; dan selatan Delta Mekong. Jumpaan yang ditemui itu didapati wujud sejak zaman Funan atau Nokor Phnom, yang termasuk dalam rantau Kemboja moden dan Vietnam Selatan, sebahagian Burma, Laos dan Thailand, yang merupakan pusat politik awal di Asia Tenggara kebenuaan.
Melihat kepada rekod epigrafi dan bukti arkeologi, Suvarnabhumi yang disebut dalam teks awal mestilah dikenalpasti dengan kawasan-kawasan seperti di atas. Daripada kawasan yang disebutkan itu, hanya Funan sahaja yang mempunyai jaluran maritim dengan India purba menerusi pelabuhan Oc Eo atau Vyadhapura. Oleh itu, walaupun Suvarnabhumi pada ketika itu terpakai untuk seluruh tanah yang ke timur benua kecil India, khususnya Sumatra, pemakaian terawal istilah ini sebenarnya mungkin merujuk kepada Funan. Selanjutnya, istilah bahasa Cina iaitu Funan bagi merujuk Kemboja, mungkin merupakan transkripsi bahasa Sanskrit untuk perkataan "Suvanna" dalam "Suvannabhumi".
Pada Disember 2017, Dr. Vong Sotheara, dari Universiti Diraja Phnom Penh, menemui prasasti batu dari zaman pra-Angkor di daerah Basedth dalam wilayah Kampong Speu. Prasasti tersebut dianggarkan bertarikh 633 M. Menurut Dr. Sotheara, prasasti tersebut boleh "membuktikan bahawa Suvarnabhumi merujuk kepada empayar Khmer." Prasasti itu dikeluarkan pada zaman Raja Isanavarman I yang bertakhta pada tahun 616 hingga tahun 637 M dari kerajaan Chenla, yang menggantikan kerajaan Funan serta menjadi cikal bakal empayar Khmer. Prasasti itu seperti terjemahannya membicarakan:
"Raja Isanavarman nan agung penuh gemilang dan keberanian. Bagindalah raja kepada segala raja, memerintah seluruh SUvarnabhumi hinggalah ke lautan, yang menjadi sempadannya, sementara raja di negara berjiran pula menjunjung titah baginda di batu jemala mereka."
Prasasti ini adalah prasasti tertua yang menyebut mengenai Suvarnabhumi di Asia Tenggara dan ia dijatikan kepada Chenla. Prasasti ini kini dipamerkan di Muzium Negara Kemboja di Phnom Penh. Walau bagaimanapun, dakwaan Dr. Sotheara serta penemuan beliau ini masih lagi belum selesai dinilai semula oleh rakan sejawat dalam bidang arkeologi serta pakar sejarah di seluruh Asia Tenggara. Ia masih lagi diselubungi kekaburan.