Tradisi bangsa Mon pula menegaskan bahawa kerajaan Thaton di Burma Bawah sebagai Suvarnabhumi. Walau bagaimanapun, pentarikhan kerajaan Thaton dari babad tradisional kerajaan itu memberikan tarikh pengasasan yang terminus post quem iaitu pada tahun 825 masihi. Jadi dakwaan ini masihlah diragui kerana pentarikhannya tidak dapat disahkan.
Terdapat beberapa tapak dalam Negeri Mon yang disebut oleh ahli arkeologi tempatan sebagai Suvarnabhumi. Misalnya seperti Kota Suvarnabhumi di Perbandaran Bilin, menjadi salah satu tapak dengan kerja cari gali sejarah yang terhad. Selain itu, tapak yang digelar sebagai Kota Lama Winka, ditemui oleh ahli arkeologi lain mengandungi 40 tapak tinggi dengan hanya empat sahaja daripadanya yang dicari gali. Tapak Winka, bersama dengan tapak berkubu seperti Kyaikkatha dan Kelasa, ditarikhkan seawal abad keenam masihi. Sementara itu, tapak arkeologi awal di Burma Bawah memerlukan lebih banyak penggalian. Dalam pada itu, terdapat juga pusat bandar lain di Myanmar seperti kerajaan Sri Kestra di Pyay pada zaman moden yang telah pun mempunyai penganut Buddha seawal abad ke-5 masihi.
Kajian ilmiah mengenai Suvarnabhumi di Burma atau Myanmar ini masih lagi dikaitkan dengan pelbagai penceritaan nasionalis serta keagamaan. Candi Shwedagon yang didirikan sekitar abad ke-15 masihi mengikut lagendanya menjadi tapak singgahsana bagi beberapa urat rambut baginda Buddha yang dibawa pulang oleh pedagang Mon. Ia menggariskan kepentingan kebudayaan yang ditekankan pada usaha pelebaran ajaran Buddha di Myanmar pada zaman purba. Dalam kebanyakan lagenda yang sedemikian, penceritaan mengenai kemasukan Suvarnabhumi ke dalam lingkungan pengaruh ajaran Buddha dijalankan dengan proses pemburmaan tokoh Buddha dalam sejarah.