Status Terkini Ayurveda

India

Menurut sesetengah sumber, hampir 80 peratus orang di India menggunakan Ayurveda secara eksklusif atau digandingkan dengan perubatan moden Barat.

Pada tahun 1970, Akta Majlis Perubatan Pusat India yang ditujukan untuk menyelaras kelayakan untuk pengamal Ayurveda dan menyediakan akreditasi institusi untuk pengajian dan penyelidikan Ayurveda diluluskan di Parlimen India.

Pada tahun 1971, Majlis Perubatan Pusat India (CCIM) ditubuhkan di bawah Jabatan Ayurveda, Yoga dan Naturopati, Perubatan Unani, Siddha dan Homeopati (AYUSH), Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Keluarga untuk memantau pendidikan tinggi mengenai Ayurveda di India. Kerajaan India menyokong penyelidikan dan pengajaran Ayurveda menerusi pelbagai saluran di peringkat negeri dan kebangsaan serta membantu menginstitusikan perubatan tradisional supaya ia boleh dipelajari di bandar-bandar utama di India.

Majlis Pusat Kajian Perubatan Ayurveda (CCRAS) yang dibiayai oleh kerajaan negeri dibangunkan untuk menjalankan kajian terhadap perubatan Ayurveda. Banyak klinik di bandar dan pedalaman yang diuruskan oleh profesional yang menerima kelayakan dari institusi-institusi ini. Menjelang tahun 2018, India sudah mempunyai sebanyak 180 pusat latihan yang menawarkan ijazah dalam bidang perubatan Ayurveda tradisional.

Demi melawan bioprasi atau paten yang tidak beretika, kerajaan India menubuhkan Perpustakaan Digital untuk Pengetahuan Tradisional pada tahun 2001 yang berfungsi sebagai pusat simpanan pelbagai formulasi sistem perubatan India yang pelbagai dari Ayurveda, Yunani sehinggalah ke Siddha. Formulasi ini terbit dari lebih 100 kitab Ayurveda tradisional. Satu dokumen dari Akademi Sains India memetik repot negeri-negeri di India pada tahun 2003 dan 2004 bahawa India mempunyai seramai 432, 625 orang pengamal perubatan berdaftar, 13,925 dispensari ubat, 2,253 hospital dan katil sebanyak 43,803 di pusat-pusat perubatan tersebut. Seramai 209 institut mengajar ilmu perubatan Ayurveda di peringkat pasca siswazah dan 16 pusat pengajaran untuk siswazah.

Syarikat insurans di India turut merangkumkan rawatan Ayurveda dalam pelan perlindungan kesihatan dan nyawa mereka bagi kes seperti kecederaan tulang belakang, penyakit melibatkan tulang, artritis dan barah. Tuntutan insurans sebegitu merangkumi sebanyai lima ke 10 peratus daripada tuntutan insurans kesihatan di India.

Walau bagaimanapun, pertubuhan seperti Maharashtra Andashraddha Nirmulan Samiti yang menumpukan usaha kepada menghapuskan fahaman tahyul di India menganggap bahawa Ayurveda sebagai pseudosains atau ilmu yang bukan sains sebenar-benarnya.

Pada 9 November 2014, India membentuk Kementerian AYUSH. Hari Ayurveda Kebangsaan juga dirayakan di India bersempena dengan Dhanavatari Jayanti yang bersempena dengan Dhanateras.

Negara Lain di Benua Kecil India

Kira-kira 75-80 peratus dari populasi Nepal bergantung kepada Ayurveda dalam penjagaan kesihatan mereka. Ia adalah merupakan bentuk ilmu perubatan yang paling terkenal sekali di negara Nepal.

Selain itu, tradisi Ayurveda yang diamalkan di Sri Lanka juga serupa dengan tradisi di India. Pengamal Ayurveda di Sri Lanka merujuk kepada sastera Sanskrit yang sama dengan di India. Walau bagaimanapun, mereka berbeza sedikit dalam aspek penggunaan herba.

Pada tahun 1980, kerajaan Sri Lanka menubuhkan Kementerian Perubatan Asli yang bertujuan untuk menghidupkan semula dan megesahkan bentuk perubatan Ayurveda di sana. Institut Perubatan Asli yang bersekutu dengan Universiti Colombo menawarkan ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah MD dalam bidang Perubatan Ayurveda dan Pembedahan. Begitu juga dengan perubatan Yunani. Dalam sistem awam, terdapat kira-kira 62 buah hospital Ayurveda dan 208 pusat dispensari yang memberikan perkhidmatan kepada kira-kira tiga juta orang (iaitu sebanyak 11 peratus daripada populasi Sri Lanka) pada tahun 2010. Keseluruhannya, terdapat kira-kira seramai 20,000 orang pengamal Ayurveda berdaftar di Sri Lanka.

Menurut Mahavamsa, hikayat purba keluarga diraja Singhala dari abad ke-6 masihi, raja Pandukabhaya yang bertakhta pada 437 SM sehingga 367 SM membina rumah sakit dan hospital Ayurveda yang dikenali sebagai Sivikasotthi-Sala di seluruh pelosok negaranya. Hal ini adalah dokumen bukti terawal sekali yang pernah ditemui di dunia menyebut berkenaan dengan institusi yang dibina bagi tujuan merawat pesakit. Rumah sakit Mihintale di Sri Lanka menjadi hospital yang tertua sekali di dunia.

Luar Benua Kecil India

Ayurveda adalah merupakan sistem perubatan tradisional yang berkembang semasa zaman purba sehingga ke zaman pertengahan. Ia setara dengan sistem perubatan pra-moden di benua China dan Eropah. Walau bagaimanapun, pada awal tahun 1960an, Ayurveda telah pun diiklankan sebagai perubatan alternatif oleh dunia Barat. Disebabkan oleh undang-undang dan peraturan perubatan yang berbeza di seluruh dunia, maka amalan yang tidak disahkan oleh undang-undang serta pengkomersilan Ayurveda ini menimbulkan isu etika dan juga isu perundangan. Dalam setengah keadaan pula, amalan Ayurveda atau istilahnya juga disesuaikan khusus untuk kegunaan warga Barat. Yang nyata sekali adalah dalam kes 'Maharishi Ayurveda' pada tahun 1980an. Dalam sesetengah kes, hal ini melibatkan penipuan yang aktif di pihak penyokong Ayurveda dalam cubaan mereka untuk menunjukkan bahawa sistem ini adalah setara dengan kajian perubatan moden yang piawai.

Baba Hari Dass adalah merupakan penyokong yang membantu membawa Ayurveda ke US pada awal tahun 1970an. Beliau mengajar kelas dengan panduan dari Suśrutha Saṃhitā dan Charaka Saṃhitha yang selanjutnya membawa kepada penubuhan Institut Mount Madonna, College of Ayurveda, Ayurveda World dan Ayurvedic Pharmacy. Beliau menjemput guru-guru Ayurveda yang terkenal termasuklah Vasant Lad, Sarita Shrestha dan Ram Harsh Singh. Pengamal Ayurveda bernama Michael Tierra menulis bahawa, "sejarah Ayurveda di Amerika Utara akan sentiasa terhutang budi kepada sumbangan dan kemurahan hati Baba Hari Dass."

Di US, amalan Ayurveda tidak dilesenkan atau disahkan secara undang-undang di mana-mana negerinya. The National Center for Complementary and Integrative Health menyatakan bahawa "beberapa percubaan klinikal yang dirancang dengan baik dan penilaian kajian sistematik yang menunjukkan bahawa pendekatan Ayurveda itu adalah berkesan", memberikan amaran mengenai isu keracunan logam berat dan menekankan penggunaan perkhidmatan kesihatan konvensional terlebih dahulu.