Status Rasmi Bahasa Hindi

Bahagian XVII Perlembagaan India berkaitan dengan Bahasa Rasmi Kesatuan India di bawah Perkara 343, bahasa rasmi Kesatuan India ditetapkan iaitu bahasa Hindi dalam tulisan Devanagri dan bahasa Inggeris.
"(1) Bahasa rasmi Kesatuan ialah bahasa Hindi dalam tulisan Devanagri. Bentuk angka yang digunakan bagi tujuan rasmi Kesatuan ialah bentuk antarabangsa angka India.

(2) Walau apa pun yang dinyatakan dalam klausa (1), bagi tempoh lima belas tahun dari tarikh kuat kuasa Perlembagaan ini, bahasa Inggeris hendaklah terus digunakan bagi semua urusan rasmi Kesatuan yang mana ia digunakan serta merta sebelum tarikh kuat kuasa tersebut: Dengan syarat bahawa Presiden boleh, dalam tempoh tersebut, melalui perintah membenarkan penggunaan bahasa Hindi sebagai tambahan kepada bahasa Inggeris dan penggunaan bentuk angka Devanagri sebagai tambahan kepada bentuk antarabangsa angka India bagi sebarang urusan rasmi Kesatuan."
Bahasa Hindi telah dibayangkan sebagai satu-satunya bahasa kerja bagi Pemerintah Kesatuan India menjelang tahun 1965 (mengikut arahan dalam Perkara 344 (2) dan Perkara 351), dengan pemerintah negeri bebas menggunakan bahasa pilihan masing-masing. Namun, penentangan meluas terhadap paksaan bahasa Hindi ke atas penutur bukan asli khususnya di India Selatan seperti di Tamil Nadi membawa kepada penggubalan Akta Bahasa Rasmi 1963 yang memperuntukkan penggunaan berterusan bahasa Inggeris tanpa had dalam semua urusan rasmi walaupun arahan Perlembagaan supaya Pemerintah Kesatuan menggalakkan penyebaran bahasa Hindi dikekalkan dan terus mempengaruhi dasar-dasarnya.

Perkara 344 (2b) menetapkan bahawa Suruhanjaya Bahasa Rasmi hendaklah ditubuhkan setiap sepuluh tahun bagi mengesyorkan langkah bagi penggunaan progresif bahasa Hindi dan mengenakan sekatan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam pemerintahan Kesatuan. Dalam amalan, Suruhanjaya Bahasa Rasmi sentiasa berusaha mempromosi bahasa Hindi tetapi tidak mengenakan sekatan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi pemerintahan kesatuan.

Di peringkat negeri, bahasa HIndi menjadi bahasa rasmi di negeri seperti Bihar, Chhattisgarh, Haryana, Himachal Pradesh, Jharkhand, Madhya Pradesh, Rajastha, Uttar Pradesh dan Uttarakhand. Bahasa Hindi merupakan bahasa rasmi negeri Gujarat bersama dengan bahasa Gujarati. Selain itu, bahasa Hindi berfungsi sebagai bahasa rasmi tambahan di Bengal Barat dalam blok dan sub-bahagian dengan lebih daripada 10% penduduk bertutur dalam bahasa Hindi. Begitu juga, bahasa Hindi diberikan status bahasa rasmi di wilayah Kesatuan India iaitu Delhi, Kepulauan Andaman dan Nicobar, Dadra dan Nagar Haveli serta Daman dan Diu.

Walaupun tiada penetapan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan India namun terdapat kepercayaan meluas bahawa bahasa Hindi ialah bahasa kebangsaan India. Hal ini sering menimbulkan ketegangan dan perdebatan. Pada tahun 2010, Mahkamah Tinggi Gujarat menetapkan bahawa bahasa Hindi bukan bahasa kebangsaan India kerana perlembagaan tidak menyatakan sedemikian.

Di Fiji pula, bahasa Hindi menjadi bahasa rasmi kedua mengikut Perlembagaan Fiji tahun 1997, 2012 dan 2013. Dua loghat bahasa Hindi dituturkan di Fiji iaitu bahasa Hindi Baku dan bahasa Hindi Fiji. Loghat bahasa Hindi Fiji berasal dari bahasa Awadhi iaitu bahasa Hindi loghat Timur. Walau bagaimanapun, bahasa Hindi Baku ialah kepelbagaian rasmi yang diiktiraf oleh Perlembagaan dan digunakan dalam semua urusan rasmi, pendidikan, media dan perniagaan kerana bahasa Hindi Fiji tidak mempunyai piawaian yang seragam. Bahasa Hindi dituturkan oleh kira-kira 380,000 orang di Fiji.

Selanjutnya di Nepal, bahasa Hindi dituturkan sebagai bahasa pertama oleh kira-kira 77,569 orang menurut banci Nepal pada tahun 2011 dan oleh 1,225,950 orang lagi sebagai bahasa kedua. Seorang penyokong bahasa Hindi kelahiran India, Paramananda Jha, telah dipilih sebagai Naib Presiden Nepal. Beliau mengangkat sumpah jawatan dalam bahasa Hindi pada Julai 2008. Perkara ini mencetuskan bantahan jalanan selama lima hari di mana pelajar membakar patungnya dan mogok umum berlaku di 22 daerah. Mahkamah Agung Nepal kemudian memmutuskan pada tahun 2009 bahawa sumpah Jha dalam bahasa Hindi sebagai tidak sah. Beliau dikekalkan sebagai Naib Presiden namun dalam keadaan tidak aktif. Jha yang "marah" berkata bahawa, "Saya tidak boleh dipaksa mengangkat sumpah sekarang dalam bahasa Nepal. Saya lebih rela melakukannya dalam bahasa Inggeris!"

Bagi Afrika Selatan pula, bahasa Hindi menjadi bahasa yang dilindungi. Perlembagaan Afrika Selatan menyatakan bahawa "Lembaga Bahasa Pan Afrika Selatan" mesti mempromosi dan memastikan penghormatan diberikan kepada bahasa Hindi bersama dengan bahasa lain. Menurut disertasi kedoktoran oleh Rajend Mesthrie pada tahun 1985, walaupun bahasa Hindi dan bahasa India lain telah wujud di Afrika Selatan selama 125 tahun, namun tiada kajian akademik mengenai penggunaannya di Afrika Selatan, evolusinya dan kemerosotan semasanya.

Akhir sekali, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadikan bahasa Hindi sebagai bahasa rasmi ketiga dalam mahkamah di Emiriah Abu Dhabi. Tenaga kerja India di UAE boleh mengemukakan aduan mereka kepada mahkamah buruh di situ dalam bahasa ibunda mereka selepas ia diberikan kedudukan ini.