Siddhāśrama

Siddhāśrama atau terkenal dengan nama Gyanagunja, dianggap sebagai asrama mistik yang menurut satu tradisi terletak di satu kawasan yang tersembunyi di ceruk banjaran Himalaya di mana para yogi agung, sadhu dan resi yang merupakan siddha itu berdiam. Tempat ini dirujuk sebagai tanah bunian Sambala oleh orang Tibet. Menurut satu lagi tradisi, Gyanagunja ini terletak dalam rantau Tibet berdekatan dengan Gunung Kailaśa. Walau bagaimanapun, Sadhu, Sanyasi, Yeti, Bhiksu dan Yogi yang mengenali Siddhasrama ini mungkin menggelarkannya dengan nama lain dan mereka sendiri pun berasal dari pelbagai kultus, menjalankan pemujaan atau Sadhana dengan cara yang mengikut kepercayaan mereka.

Konteks tanah di alam ghaib ini juga disebutkan dalam banyak kitab suci bersama dengan empat Veda. Siddhasrama ini digambarkan sebagai tempat suci bagi memulakan perjalanan rohaniah. Oleh itu, dipercayai bahawa apabila menjalankan kerja suci dalam alam semesta ini maka para Yogi yang menerima saktipata akan sering berhubung dengan Siddhasrama dan melawatinya selalu.

Siddhasrama dianggap sebagai tapak bagi kesedaran rohani, pusat kesucian dan tanah tempat para resi agung menakluki diri mereka. Ia tidak mudah diperolehi oleh manusia dan makhluk lain sama ada yang nyata atau ghaib. Oleh itu, Siddhasrama ini dianggap sebagai tempat suci yang sangat sedikit sekali. Ia hanya mungkin dicapai dengan mendapatkan kuasa suci yang diperolehi menerusi langkah Sadhana dan mengikuti Jalan Sadhana.

Siddhasrama merupakan tanah rahsia dan mistik di pedalaman Himalaya di mana para yogi siddha, sadhu dan resi hidup. Ia menjadi asrama kepada nenek moyang, keramat, resi dan yogi dari susunan tinggi. Selain itu, ia dirujuk dalam banyak kitab suci seperti Veda, Upanishad, dan Purana terutamanya sekali Rgveda yang merupakan kitab suci tertua dalam sejarah peradaban manusia.

Masyarakat yang menghuni Siddhasrama ini adalah kelompok siddha atau mereka yang dicerahi jiwanya. Orang yang mencapai tahap tinggi dalam sadhana akan sampai di asrama ini dengan restu guru yang memang mendiami kawasan itu. Ia didakwa terletak dekat dengan tasik Mansarovar dan Kailasa. Yogi siddha dan sanyasin bersamadhi di situ beribu-ribu tahun lamanya. Seperti tempat mistik yang lain dalam kisah agama lain, ia merupakan tempat yang ghaib tidak kelihatan pada mata kasar manusia. Ia merupakan pengalaman yang hanya dicapai menerusi jalan samadhi dan kesedaran rohani. Swami Visuddhananda Paramahamsa pertama kalinya berbicara mengenai tempat ini di khalayak awam. Beliau menceritakan pengalaman beliau dibawa masuk ke alam itu oleh mereka yang berkemahiran dan beliau menjalankan sadhana di asrama Gyanganja bertahun-tahun lamanya.

Ramai penganut agama Hindu mempercayai bahawa maharesi Vasista, Viswamitra, Kanda, Pulastya, Atri dan mahayogi seperti Gorksanatha, Sankaracharya, Bhisma, Krpacharya dan lain-lain boleh dilihat merayau-rayau di situ dalam rupa jasad mereka. Sesiapa yang bertuah mungkin berpeluang mendengar ceramah mereka. Yogini, apsara dan keramat juga didapati bersamadhi di situ. Bunga-bungaan indah di taman, burung, tasik, keramat yang bertapa dan banyak lagi benda berada di situ namun tidak tergambarkan oleh kata-kata.

Sastera Hindu Purba

Siddhasrama atau asrama para siddha ini dirujuk dalam Ramayana, Mahabhara dan Purana. Dalam Ramayana karya Valmiki, disebutkan bahawa Viswamitra mempunyai asrama beliau sendiri di alam itu dan ia pernah menjadi asrama persinggahan betara Vishnu yang menjelma sebagai Vamana atau orang kerdil. Vamana membawa Rama dan Laksamana ke Siddhasrama untuk menghapuskan asura yang mengganggu persembahan korban. Dalam Narada Purana (Purba, 1.25), Siddhasrama disebut sebagai asrama kepada resi Suta.

Penulisan Kontemporari

Pada zaman ini, pengetahuan mengenai alam atau tanah suci ini dirujuk pertama kalinya oleh Pandit Gopinath Kaviraja dan seterusnya diceritakan dengan panjang lebar lagi oleh Dr. Narayan Dutt Srimali. Siddhasrama juga disebut dalam Autobiography of an Avadhoota oleh Swami Nadananda.