Sejarah Ringkas Sumatra

Menjelang tahun 692 masihi, Kerajaan Malayu atau Melayu telah diserap masuk ke dalam empayar kemaharajaan Srivijaya. Pengaruh Srivijaya mula berkurangan pada abad ke-11 masihi, khususnya dalam tahun 1025, selepas mengalami kekalahan di tangan empayar Chola dari India Selatan.

Menjelang abad ke-12 masihi, Srivijaya mula jatuh taraf menjadi sebuah kerajaan sahaja dan peranan besarnya di Sumatra Selatan berakhir dengan rajanya yang terakhir yang dikenali sebagai Ratu Sekekhummong. Baginda mengasaskan batu penanda Kepaksian Sekala Brak dan bangunan Dalom pada abad ke-13 masihi. Pada masa yang sama, agama Islam mula tersebar di situ secara beransur-ansur dan tidak terus bermula dari rantau Sumatra Barat sehinggalah menuju ke Pulau Jawa menerobosi bahagian di Timur seperti Sulawesi dan Maluku.

Pulau Sumatra juga merupakan satu kawasan dalam kepulauan yang terawal sekali menerima agama Islam berbanding dengan kepulauan lain di bahagian Asia Tenggara ini. Hal ini kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Selat Melaka. Proses pengislaman awalnya berlaku akibat aktiviti perdagangan dan juga pembentukan kerajaan. Ia masuk ke Sumatra hasil bawaan pedagang Arab Muslim dan India Muslim pada abad ke-6 dan ke-7 masihi. Pada awal dan hujung abad ke-13 masihi, wujud pula kesultanan Islam di Sumatra kerana raja di Kerajaan Samudra memeluk agama Islam. Selain itu, Marco Polo melawat Pulau Sumatra pada tahun 1292 dan seterusnya Odoric de Pordenone pula melawat pulau itu pada tahun 1321.