Sumber pertama untuk maklumat mengenai kerajaan ini adalah The New History of the Tang dan memoir Yijing, seorang bhiksu Buddha China yang melawat Sumatra pada tahun 671 masihi. Dalam perjalanan beliau melalui laluan maritim Asia Tenggara, Yijing melawat Srivijaya sebanyak dua kali dan beliau tinggal di situ dari tahun 688 masihi hingga tahun 695 masihi. Di situ, beliau mempelajari dan menterjemah sastera ajaran Buddha yang berbahasa Sanskrit ke bahasa Cina.
Srivijaya muncul sebagai sebuah kerajaan yang makmur pada waktu Yijing melawat Sumatra. Pada awalnya, beliau memanggil Srivijaya sebagai 室利佛逝 Sribhoga. Pada satu tahap, Srivijaya ini melebar sehingga ke Malayu yang nampaknya ditakluki olehnya atau mungkin secara spontan berada di bawah pemerintahan salah seorang putera dari Sribhoga. Seluruh negara itu dan ibu kotanya diberi nama "Sribhoga" atau Srivijaya. Kemudian perubahan nama Malayu kepada Sribhoga itu nampaknya berlaku sebelum Yijing tiba atau semasa beliau tinggal di situ, kerana apabila beliau menyebut Malayu dengan nama itu, beliau akan menambah "namun kini ia berubah ke Sribhoga."
Petikan berikut dari karya Yijing, "Biografi Bhiksu Terkemuka dari Tang nan Agung yang mencari Dharma di Rantau Barat" (大唐西域求法高僧傳) dengan lanjutnya menjelaskan perjalanan ke Barat melalui Bogha dan Malayu, di mana Wuxing, seorang bhiksu China lalui:
"(Wuxing) tiba di Bogha selepas sebulan belayar. Sang raja menerima beliau dengan penuh sukacita... lalu sang raja memberikan penghormatan selayaknya seorang tetamu dari tanah putera syurga di Tang nan Agung. Beliau naik ke kapal sang raja ke negara Malayu dan tiba di sana selepas lima belas hari pelayaran. Sejak itu, beliau ke Ka-Cha, semula selepas lima belas hari. Pada penghujung musim sejuk, beliau bertukar kapal lagi lalu belayar ke Barat."
Seterusnya, Yijing dalam usahanya mendapatkan kedudukan Sribhoga-Malayu itu, beliau pun menulis satu lagi karya berjudul, "A Record of Buddhist Practices Sent Home from the Southern Sea" (南海寄歸內法傳):
"Di negara Sribhoga, beliau melihat bayang petunjuk masa surya (圭) menjadi tetap dan berada di tengah-tengah bulan lapan (ekuinoks musim luruh), dan pada tengah harinya tiada bayang langsung keluar dari orang yang berdiri di tengah panas matahari pada hari itu, jadi ia berada di pertengahan musim bunga (ekuinoks vernal)."
Jadi, bolehlah disimpulkan pada awalnya bahawa negara Sribhoga ini meliputi satu kawasan yang terentang di garis khatulistiwa, dan seluruh negara makanya mestilah meliputi kawasan timur laut Sumatra, dari pantai selatan Melaka, ke kota Palembang, merentangi sekurang-kurang lima darjah, dengan garisan khatulistiwa berada kira-kira di pertengahan kerajaan itu.
Yijing turut mencatatkan bahawa, ajaran Buddha aliran Hinayana ketika itu dianuti oleh kebanyakan orang di Srivijaya, mewakili majoriti aliran Mulasarvastivada, namun terdapat juga pengikut aliran Buddha Mahayana di Kerajaan Malayu. Emas nampaknya banyak didapati dalam negara itu sehinggakan penduduknya pun mempersembah bunga teratai yang diperbuat daripada emas dalam bekas daripada emas kepada rupa Buddha. Tambahan pula, rakyat di negara itu memakai sejenis kain yang panjang dan menggunakan minyak wangi.
Selanjutnya, Kerajaan Melayu mempunyai akses kepada kawasan perlombongan emas di ulu Sumatra. Hal ini meningkatkan lagi prestij Melayu yang memperdagangkan pelbagai bahan hasil tempatan, termasuklah emas kepada orang asing. Kerajaan Melayu akhirnya "diserap" masuk ke dalam Kerajaan Srivijaya pada tahun 692 masihi.
Zaman Keemasan
Antara tahun 1079 dan tahun 1088 masihi, rekod Cina menunjukkan bahawa Srivijaya menghantar rajaduta dari Jambi dan Palembang. Pada tahun 1079 masihi khususnya, rajaduta masing-masing dari Jambi dan Palembang akan dihantar ke benua China. Seterusnya, Jambi menghantar dua lagi rajaduta ke China pada tahun 1802 dan 1088 masihi. Hal ini mencadangkan bahawa pusat kerajaan Srivijaya sering berubah antara kedua-dua kota utama ini pada masa itu. Ekspedisi ketenteraan Chola dan perubahan laluan perdagangan yang melemahkan kota Palembang itu menyebabkan Jambi mengambil peluang ini untuk memegang tampuk kepimpinan dalam Srivijaya bermula pada abad ke-11 masihi hinggalah seterusnya.
Menjelang abad ke-12 masihi, satu dinasti baru bernama Mauli muncul dan memerintah Srivijaya. Rujukan awal mengenai dinasti baru ini ditemui di Prasasti Grahi bertarikh tahun 1183 masihi yang berada di Chaiya (Grahi), Semenanjung Tanah Melayu di bahagian Selatan Thailand. Prasasti itu mengandungi perintah Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Varmadeva kepada bhupati atau mangkubumi bagi Kerajaan Srivijaya di Grahi bernama Mahasenapati Talanai, supaya membangunkan rupa Buddha dengan berat 1 bhara 2 tula bernilai 10 tamlin emas. Tukang rupa yang bertanggungjawab untuk menghasilkan rupa Buddha ini ialah Mraten Sri Nano.
Menurut kitab Zhu Fan Zhi dari Dinasti Song yang ditulis sekitar 1255 oleh Zhao Ruguo, dua kerajaan yang paling kaya dan berkuasa di kepulauan Asia Tenggara ketika itu adalah Srivijaya dan Kediri di Pulau Jawa. Bahagian barat Asia Tenggara di Sumatra, Semenanjung Tanah Melayu dan Jawa Barat berada di bawah kekuasaan Srivijaya manakala bahagian timur Asia Tenggara pula berada di bawah penguasaan Kediri. Selain itu, ia menyatakan bahawa penduduk di Pulau Jawa menganuti dua agama iaitu Buddha dan Brahmana, manakala penduduk di Srivijaya pula menganuti ajaran Buddha. Kitab ini menggambarkan bahawa penduduk di Pulau Jawa sebagai berani, panas baran dan bersedia untuk berlawan dengan sesiapa sahaja. Ia juga mencatitkan kegiatan masa lapang mereka seperti laga ayam atau laga babi. Matawang yang digunakan diperbuat daripada campuran gangsa, perak dan timah.
Zhu Fan Zhi juga menyebut bahawa Kediri diperintah oleh seorang maharaja dengan beberapa negara kecil lain berbakti kepadanya iaitu Pai-hua-yuan Pacitan; Ma-Tung Mataram; Ta-Pen Tumapel atau kini Malang; Hi-Ning Dieng; Jung-ya-lu Hujung Galuh atau kini Surabaya; Tung-ki Jenggi atau Papua Barat; Ta-Kang Sumba; Huang-ma-chu Papua Barat Daya; Ma-li Bali; Kulun atau Gurun yang dikenalpasti sebagai Gorong atau Sorong di Papua Barat atau Pulau Nusa Tenggara; Tan-jung-wu-lo Tanjung Pura di Kalimantan Barat di Borneo kini; Ti-wu Timor; Ping-ya-i Banggai di Sulawesi; dan Wu-nu-ku Maluku.
Sebagai tambahan, Zhao Ruguo menyatakan bahawa Srivijaya masih lagi memegang tampuk kuasa yang besar pada awal abad ke-13 masihi dengan 15 negara jajahan iaitu Pong Fong Pahang; Tong-ya-nong Terengganu; Ling-ya-si-kia Langkasuka; Ki-lan-tan Kelantan; Fo-lo-an Dungun di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu; Ji-lo-t'ing Cherating; Ts'ien-mai Semawe di Semenanjung Tanah Melayu; Pa-t'a Sungai Paka di Terengganu dalam Malaysia moden; Tan-ma-ling Tamralinga atau Ligor yang kini dikenali sebagai Nakhon Sri Thammarat di Selatan Thailand; Kia-lo-hi Grahi atau Krabi di Thailand; Pa-lin-fong Palembang; Sin-t'o Sunda; Lan-wu-li Lamuri di Aceh; Kien-pi Jambi; dan Si-lan yang sama ada terletak di Kemboja atau Sri Lanka (pandangan aku mungkin Thalang di Phuket).
Hampir seabad selepas mengambil alih peranan Palembang sebagai pusat kepada empayar Srivijaya, Jambi pun mengalami kejatuhan pengaruh. Hal ini menyebabkan berlakunya perubahan dasar pada tahun 1178 oleh Dinasti Song yang mana ia tidak lagi menerima sesiapa pun rajaduta dari Srivijaya. Jambi mengalami masalah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan ini. Oleh itu, Jambi mengawal perdagangan menerusi sistem uftinya di mana pedagang dibenarkan berdagang terus dengan jajahannya.
Pada tahun 1275, Kertanegara dari Kerajaan Singhasari mengambil kesempatan daripada kejatuhan Melayu ini. Baginda menghantar ekspedisi ketenteraan bagi menancapkan kekuasaan Jawa ke atas rantau Melayu di Sumatra. Mahesa Anabrang atau Kebo Anabrang menjadi panglima Kerajaan Singhasari yang menakluki Palembang dan Jambi pada tahun 1288. Walau bagaimanapun, rajaduta Melayu masih lagi dihantar ke China pada tahun 1299 dan tahun 1301.
Menurut George Coedes, menjelang awal abad ke-14 masihi, Melayu "masih lagi menjadi satu-satunya negara di Sumatra yang memegang kepentingan politik dan masih lagi menjadi pusat perlindungan Buddha dharma serta kebudayaan India berbeza pula dengan kesultanan yang berada di Sumatra Utara yang telah diislamkan atau sedang dalam proses diislamkan."
The History of Ming pada tahun 1371 menyebut bahawa tiga orang raja telah membahagikan rantau Srivijaya purba, yang pusatnya di Jambi dan menurut kepada gelaran mereka itu adalah warisan kepada Malayu. Mereka masih lagi menghantar rajaduta pada tahun 1374 dan 1375 ke China. Seorang raja yang bertakhta di Jambi pada tahun 1376 menerima gelaran "Raja Srivijaya" dari China, walaupun ketika itu, Majapahit dari Jawa telah menakluki rantau itu.
Menurut satu babad, Jawa marah kerana negara bawahannya menunjukkan kecenderungan untuk membebaskan diri lalu menghantar bala tentera ke Palembang. Babad itu seterusnya menyatakan bahawa, "Srivijaya mula jatuh miskin dan tidak lagi dapat menghantar ufti ke China."
Parameswara, Putera Raja Terakhir dari Kerajaan Melayu
Pada tahun 1347 masihi, Sri Tribhuvana Vijayatunggadevi, Maharani Kerajaan Majapahit melantik Adityavarman, sebagai pemerintah di rantau Melayu bagi menghalang semula kebangkitan semula Srivijaya. Adityavarman kemudian menakluki Tanah Datar dan mengawal perdagangan emas serta mengasaskan Kerajaan Pagar Ruyung.
Pada tahun 1377, Kerajaan Majapahit mengalahkan Palembang dan mengakhiri usaha untuk menghidupkan semula Kerajaan Srivijaya. Putera terakhir dari Kerajaan Srivijaya yang dikenali dengan gelaran Parameswara (difikirkan orang yang sama dengan Iskandar Syah dalam Hikayat Melayu), melarikan diri ke Temasik di Semenanjung Tanah Melayu memohon suaka daripada Tamagi, wakil Sri Ayutthaya di situ. Selepas itu, baginda melarikan diri lagi ke utara sedikit, lalu mengasaskan sebuah kerajaan yang kemudian menjadi Kesultanan Melaka.
Rujukan lanjut mengenai Kerajaan Melayu boleh juga dibaca dalam "Kerajaan Melayu Kuno: Tinjauan Sejarah Jambi hingga Abad ke-13 Masihi" hasil penulisan Arif Rahim yang diterbitkan dalam Jurnal Ilmiah Dikdaya pada April 2022.