Kebangkitan bahasa Maharashtra dan bahasa Prakrit lain ini ditarikhkan antara abad ke-2 SM yang mana ia wujud beriringan dengan bahasa Sanskrit Veda. Kemudian ia berkembang menjadi bahasa kesusasteraan yang maju pula. Sehingga kini, perbahasan sama ada bahasa Sanskrit atau bahasa Prakrit menjadi bahasa tertua di benua kecil India itu masih lagi berlangsung yang mana sesetengah sarjana membahaskan bahawa bahasa Sanskrit sebenarnya muncul dari bahasa Prakrit. Menurut Rajaramshastri Bhagawat, seorang sarjana di India, bahasa Maharashtra ini lebih tua dan lebih beraneka jika dibandingkan dengan bahasa Sanskrit.
Vararuchi, ahli tatabahasa bahasa Prakrit terawal yang diketahui menggunakan empat bab dalam karya beliau Prakrta-Prakasa bagi membincangkan mengenai tatabahasa bahasa Maharashtra. Bahasa Prakrit lain seperti bahasa Saurasena, bahasa Ardhamagadha, dan bahasa Paisacha, juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kehebatan bahasa Maharashtra ini diakui sendiri oleh Dandin (abad ke-6 hingga abad ke-7 M), yang memberikan status tertinggi kepada bahasa Mahasrashtra dalam Kavyadarsa, karya terkenal beliau.
Bahasa Maharashtra adalah antara bahasa yang jelas kewujudannya dalam kalangan bahasa Prakrit. Ia dituturkan dari Malwa dan Rajputana di utara hingga ke rantau sekitar Sungai Krishna dan Sungai Tungabhadra di selatan. Sejarawan bersetuju bahawa bahasa Maharashtra dan bahasa Prakrit lain berkembang luas di rantau Maharashtra moden. Bahasa Maharashtra dituturkan secara meluas di India Barat sehingga jauh ke selatan di rantau berbahasa Kannada.