Asal-Usul Ayurveda
Menurut sumber Ayurveda moden, asal-usul Ayurveda dikesan sejak tahun 6,000 SM apabila ia diturunkan secara lisan turun-temurun. Sesetengah konsep Ayurveda telah wujud sejak zaman Tamadun Lembah Indus lagi. Ayurveda dalam bentuk sastera perubatan yang terawal sekali direkodkan berkembang dari kitab suci Veda sendiri. Ayurveda menjadi disiplin Upaveda atau bantuan pengetahuan tambahan dalam tradisi suci Veda. Asal-usul Ayurveda juga ditemui dalam kitab suci Atharvaveda yang mengandungi sebanyak 114 seloka dan mantra yang menjelaskan mengenai penyembuhan penyakit. Begitu juga terdapat kisah legenda mengenai asal-usul Ayurveda yang diterima oleh Dhanavatari atau Divodasa dari dewa Brahma. Tradisi juga berpegang dengan kepercayaan bahawa penulisan Ayurveda ini dipengaruhi oleh sastera hasil penulisan Resi Agnivesa yang telah hilang.
Pertikaian mengenai Ayurveda
Ayurveda adalah salah satu daripada sistem perubatan yang berkembang sejak zaman purba dan masih lagi diamalkan secara meluas di dunia moden. Oleh itu, ia terbuka kepada kritikan bahawa asas konsepnya itu telah lapuk dan pengamal semasa pula didakwa tidak mengambil kira perkembangan perubatan moden.
Maklum balas terhadap keadaan ini membawa kepada pertikaian hangat di India semasa awal dasawarsa abad ke-21 antara penyokong tradisi suddha atau Ayurveda murni dengan mereka yang beranggapan bahawa Ayurveda harus dipermoden dan disenyawakan. Pandangan golongan moden ini dilabelkan sebagai asuddha oleh penyokong tradisi suddha.
Perdebatan politik mengenai tempat Ayurveda dalam India moden terus berlangsung sehingga ke tahun 2015 melibatkan awam dan kerajaan.
Sastera Utama
Tiga sastera awal yang utama berkenaan Ayurveda adalah seperti berikut:
- Charaka Samhita
- Sushruta Samhita
- Bhela Samhita
Pentarikhan karya-karya di atas ini secara sejarah adalah rumit kerana setiap satunya itu dipersembahkan dalam bentuk himpunan karya yang disunting oleh beberapa orang penyunting. Semua kesarjanaan lampau berkenaan pentarikhan karya di atas dinilai oleh Meulenbeld dalam jilid IA dan IB karya beliau berjudul History of Indian Medical Literature. Selepas mempertimbang bukti dan hujah berkenaan dengan Sushruta Samhita, Meulenbeld menyatakan bahawa, "Sushruta Samhita ini berkemungkinannya merupakan karya yang ditulis oleh pengarang yang mendapatkan banyak bahan yang dikumpulkannya dalam risalah dari pelbagai sumber dan pelbagai zaman. Hal ini boleh menjelaskan bahawa ramai sarjana tergoda untuk mengiktiraf sebilangan lapisan yang pelbagai, seterusnya, cuba mengenalpasti elemen kepunyaan mereka. Seperti yang kita lihat, penjatian ciri pemikiran yang dipunyai oleh stratum khusus dalam kebanyakan kes itu didapati dari idea awal tentang usia strata dan pengarangnya."
Pentarikhan karya ini dari tahun 600 SM pertama kalinya dicadangkan oleh Hoernle lebih seabad yang lalu, namun sejak itu ia telah disanggah oleh kajian sejarah yang berikutnya. Pesetujuan bersama terkini dalam kalangan sejarawan perubatan di Asia Selatan adalah bahawa Sushruta Samhita dikumpulkan dalam tempoh antara abad pertama atau kedua SM dari buah fikiran perubatan yang kecil dan kemudian diulang kaji oleh beberapa orang sehinggalah ia wujud dalam bentuk terkini menjelang tahun 500 M. Pandangan bahawa sastera ini dikemaskini oleh Nagarjuna, sarjana penganut Buddha pada abad ke-2 M telah pon ditolak, walaupun Uttaratantra iaitu bab terakhir karya ini ditambah oleh seseorang yang tidak diketahui latarbelakangnya sebelum tahun 500 M.
Hujah yang sama juga terpakai pada Charaka Samhita yang ditulis oleh Charaka dan Bela Samhita yang dikaitkan dengan Atreya Punarvasu yang bertarikh pada abad ke-6 SM oleh sarjana bukan pakar. Namun, hakikatnya dalam bentuk yang terkini, karya-karya tersebut boleh ditarikhkan sekitar abad kedua atau kelima masihi. Charaka Samhita juga dikemaskini oleh Dhridhabala pada awal abad masihi.
Di samping itu, Naskah Bower bertarikh dari zaman Gupta iaitu antara abad ke-4 sehingga abad ke-6 SM termasuklah petikan dari Bheda Samhita dan penjelasannya mengenai konsep dalam ajaran Buddha di Asia Tengah. Pada tahun 1987, A.F.R. Hoernle mengenalpasti penulis sebatian ubatan dari naskah yang dikatakan berasal dari India menggunakan sejenis aksara Gupta utara. Penulis tersebut didakwa menjadi seorang bhiksu Buddha di sebuah biara di Kucha. Fa Xian, pengembara China beragama Buddha (337-442 M) turut menulis mengenai sistem penjagaan kesihatan di empayar Gupta dan memberikan gambaran mengenai pendekatan institusi terhadap ubat-ubatan India. Hal ini turut terlihat dalam karya-karya Charaka yang menggambarkan mengenai rumah sakit dan kelengkapan yang diperlukan olehnya.
Sastera awal lain yang berkaitan adalah seperti Agnivesha Samhita, Kasyapa Samhita dan Harita Samhita. Edisi asal Agnivesha Samhita oleh Agnivesha bertarikh 1500 SM dan kemudian ditokok tambah lagi oleh Kasyapa. Kasyapa Samhita termasuklah risalah Jivaka Kumar Bhaccha bertarikh abad ke-6 SM. Manakala Harita Samhita bertarikh awal lagi daripada kedua-dua sastera yang disebutkan. Ia dikaitkan dengan Harita, anak murid kepada Punarvasu Atreya. Sesetengah sastera terkemudian seperti Ashtanga Nighantu dari abad ke-8 M oleh Vaghabata, Paryaya Ratnamala dari abad ke-9 M oleh Madhava, Siddhasara Nighantu dari abad ke-9 M oleh Ravi Gupta, Dravyavali dari abad ke-10 M dan Dravyaguna Samgraha dari abad ke-11 M oleh Chakrapani Datta pula adalah antara sastera berkaitan lain yang boleh dirujuk oleh pengamal Ayurveda.
Gambaran Penyakit
Underwood dan Rhodes menyatakan bahawa bentuk awal perubatan tradisional India mengenalpasti demam, batuk, batuk kering, cirit birit, busung, bengkak bernanah, sawan, barah dan kusta. Selain itu, ia mengenalpasti kaedah rawatan penyakit seperti:
- pembedahan plastik
- lithotomy
- tonsillectomy
- couching, satu bentuk pembedahan katarak
- membocorkan abdomen untuk melepaskan cecair
- pengeluaran bendasing
- rawatan anal fistulas
- rawatan retak tulang
- amputation, pemotongan anggota berpenyakit
- pembedahan cesarean
- menjahit luka
Penggunaan herba dan alatan pembedahan berkembang luas. Semasa zaman ini, rawatan juga dinasihatkan untuk penyakit yang rumit termasuklah kencing manis, tekanan darah tinggi, angina pectoris dan batu karang.
Perkembangan Lanjut dan Penyebaran
Ayurveda berkembang di seluruh benua kecil India pada zaman pertengahan. Dalhana (fl. 1200), Sarngadhara (fl. 1300) dan Bhavamisra (fl. 1500) mengumpulkan karya-karya perubatan India. Karya perubatan Sushruta dan Charaka diterjemahkan kemudiannya ke bahasa Cina pada abad ke-5 masihi. Pada abad ke-8 masihi, ia diterjemahkan ke bahasa Arab dan bahasa Parsi. Muhammad bin Zakaria al-Razi, seorang ahli perubatan Parsi pada abad ke-9 masihi juga menggunakan sastera rujukan dari karya perubatan India. Karya Ayurveda melalui terjemahan bahasa Arab kemudian tiba di benua Eropah pada abad ke-12 masihi. Di Itali semasa zaman Renaissance, keluarga Branca di Sicily dan Gaspare Tagliacozzi adalah antara orang Eropah yang terpengaruh dengan teknik pembedahan Sushruta yang diterjemahkan melalui pandangan penterjemah bahasa Arab dan bahasa Parsi.
Ahli perubatan British mengembara sehingga ke India untuk memerhatikan kaedah rhinoplasty yang dijalankan menggunakan kaedah India dan melaporkan hal tersebut dalam the Gentleman's Magazine pada tahun 1794. Peralatan yang disebut dalam Sushruta Samhita kemudian dimodifikasi di Eropah. Joseph Constantine Carpue mempelajari kaedah pembedahan plastik di India selama 20 tahun. Pada tahun 1815, beliau sudah mampu menjalankan pembedahan rhinoplasty terbesar pertama dalam dunia barat menggunakan kaedah India untuk pembinaan hidung. Pada tahun 1840, Brett turut menerbitkan satu rencana berkenaan dengan teknik ini.
Semasa zaman penjajahan British di India, amalan Ayurveda tidak diterima pakai oleh kerajaan British India. Mereka lebih mengutamakan kaedah perubatan moden atau perubatan Barat. Selepas kemerdekaan India, tumpuan yang lebih mula diberikan kepada sistem perubatan Ayurveda dan lain-lain. Ayurveda menjadi sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan kebangsaan di India. Hospital negeri ditubuhkan di seluruh negara untuk amalan Ayurveda. Walau bagaimanapun, kaedah rawatan perubatan tradisional tidak selalu digabungkan dengan kaedah lain.