Persinggahan Rahu-Ketu setiap satu setengah tahun datang dengan pelbagai persoalan mengenai kesan nujum ke atas seseorang. Ular sentiasa berada dalam persekitaran kita, terutamanya dalam kehidupan di pedalaman. Ular menyakiti manusia dan manusia menyakiti ular adalah sesuatu perkara yang biasa. Walau bagaimanapun, kecederaan yang disebabkan oleh manusia ke atas ular boleh menimbulkan sarpa dosha iaitu sumpahan ular.
Ular menjadi simbol kepada tanah kerana mereka berdiam di bawah tanah di rantau yang sejuk di mana urat air dan pokok ditemui. Air dan pokok merupakan kemewahan alam yang diperlukan oleh setiap makhluk dan haruslah dijaga dengan baik. Di sebalik sumber ini juga terdapat tempat kediaman ular. Dalam ilmu menjejaki urat air ini, Varahamihira menyenaraikan bahawa ular boleh ditemui pada kedalaman air yang tertentu, jumlah dan rasa air. Apabila manusia merosakkan sumber alam semulajadi ini secara sengaja atau tidak sengaja atau menggunakannya untuk faedahnya sendiri sehingga sarang ular terganggu maka hal inilah yang menimbulkan sumpahan ular ke atas mereka.
Cara lain untuk melihat sarpa dosa ini adalah jika bumi dirosakkan oleh galian untuk sebarang sebab pun, maka ia sebenarnya adalah tindakan yang menyakiti Adiseśa yang menanggung bumi sepanjang masa. Adiseśa merupakan perlambangan kepada tenaga yang menjadikan bumi ini stabil bergerak mengelilingi matahari. Sebarang gangguan walaupun sedikit disebabkan oleh cakaran atau galian boleh menyebabkan bumi atau Adiseśa terganggu. Oleh itu, sebarang kegiatan menggali mestilah didahului oleh puja atau upacara memberikan tabik kepada bumi. Apabila gagal melaksanakannya maka ia akan menimbulkan sarpa dosa.
Di samping itu, kesilapan yang dilakukan semasa jelmaan lampau terhadap ular atau bumi juga boleh kembali sebagai sarpa dosa. Sumpahan ini akan menghantui keturunan seseorang, kehidupan keluarganya, kesihatan dan juga harta bendanya.
Rujukan
- Curse of Snakes (Sarpa Dosa), Jayasree Saranathan, 25 Nov 2009 (blogspot)
- Introduction to Kala Sarpa Yoga, Naga Dosa, Astroved Pedia