Riwayat Hidup Buddha

Ajaran Buddha ini diasaskan dari ajaran baginda Gautama Buddha, seorang Sramana yang juga digelar sebagai Sakyamuni bermaksud pendita suku kaum Saka dan Buddha bermaksud Yang Dicerahi. Baginda dikatakan hidup dalam abad ke-5 sehingga abad ke-4 SM. Sastera awal menyebutkan bahawa nama keluarga Buddha adalah Gautama atau Gotama dalam bahasa Pali. Butiran kehidupan baginda dicatitkan dalam banyak sastera awal penganut Buddha namun kesemuanya itu tidak konsisten. Latar belakang sosial dan kehidupan baginda juga sukar untuk dibuktikan dan tiada tarikh yang tepat untuk menandakan sebarang kejadian. 

Bukti dari sastera awal mencadangkan bahawa baginda Suddharta Gautama dilahirkan di Lumbini yang kini terletak di Nepal dan membesar di Kapilavastu, sebuah pekan di lembangan Ganges, dekat dengan sempada moden Nepal-India. Baginda kemudian menghabiskan sisa kehidupan baginda di Bihar dan Uttar Pradesh moden. Sesetengah lagenda hagiografi menyatakan bahawa ayahanda baginda adalah seorang raja bernama Suddhodhana manakala ibunda baginda pula dikenali sebagai Maya. Walau bagaimanapun, sarjana seperti Richard Gombrich menganggap bahawa hal ini adalah satu dakwaan sahaja kerana gabungan bukti mencadangkan bahawa baginda dilahirkan dalam komuniti Sakya yang ditadbir oleh majlis ganaraja atau republik oligarki yang kecil. Dalam majlis ini tiada sebarang kedudukan namun mereka mengambil berat mengenai siapa yang berada paling lama dalam majlis tersebut. Sesetengah riwayat mengenai Buddha, kehidupan baginda, ajaran dan dakwaan mengenai masyarakat yang beliau membesar di dalamnya mungkin dicipta dan digembar-gemburkan selepas kehidupan baginda sehingga menjadi sastera Buddha.

Menurut sastera awal seperti Ariyapariyesana-Sutta yang bermaksud "Perbincangan mengenai Pengembaraan Mulia," (MN 26) dan sastera yang selari dengannya dalam bahasa Cina pada MA 204, baginda Gautama tersentuh dengan dukkha atau penderitaan kehidupan dan kematian serta pengulangan yang tidak berpenghujung disebabkan oleh kelahiran demi kelahiran. Baginda lalu memulakan pengembaraan untuk mencari pembebasan dari dukkha yang kini dikenali sebagai nirvana. Sastera awal dan biografi baginda menyatakan bahawa baginda mula-mula belajar di bawah dua orang guru semadi bernama Alara Kalama (Sanskrit: Arada Kalama) dan Uddaka Ramaputta (Udraka Ramaputra). Baginda mempelajari semadi dan falsafah, terutamanya mengenai pencapaian semadi dalam "lingkungan ketiadaan" dari Alara Kalama dan semadi dalam "lingkungan bukan bayangan pandangan bukan bayangan pandangan" dari Uddaka Ramaputta.

Baginda berasa bahawa ajaran ini tidak mencukup untuk mencapai matlamat baginda lalu baginda pun mengamalkan kezuhudan melampau termasuklah berpuasa secara ketat dan menjalani pelbagai amalan mengawal pernafasan. Namun, baginda mendapati bahawa hal ini tidak membantu pencapaian matlamat baginda. Baginda kemudian pun beralih kepada amalan semadi dhyana. Baginda kemudian terkenal duduk di bawah pohon Pipal atau pohon Bodhi di Bodhgaya lalu mencapai bodhi atau "pencerahan jiwa".

Menurut pelbagai sastera awal seperti Mahasaccaka-Sutta dan Samannaphala-Sutta, semasa mencapai pencerahan, baginda Buddha mendapat pandangan mendalam mengenai pekerjaan karma serta hayat lampau baginda. Baginda juga mencapai penghujung asavas atau pencemaran jiwa, mengakhiri penderitaan dan mengakhiri kelahiran semula dalam samsara. Peristiwa ini memberikan kepastian bahawa Jalan Pertengahan adalah jalan sebenar untuk amalan kerohanian bagi mengakhiri samsara. Sebagai seorang Buddha, baginda menarik pengikut dan mengasaskan Samgha. Baginda menghabiskan siasa kehidupan baginda dengan mengajari Dharma yang disedari oleh baginda lalu mangkat, mencapai pari-nirvana pada usia 80 tahun di Kushinagar, India.

Ajaran Buddha disebarkan oleh pengikut baginda yang dalam abad terakhir milenia pertama sebelum masihi itu menjelma dalam bentuk aliran pemikiran Buddha yang setiap satunya mempunyai bakul sastera yang mengandungi tafsiran serta ajaran sebenar baginda Buddha. Hal ini masa demi masa berubah menjadi tradisi yang dikenali pada hari ini iaitu Theravada dan Mahayana.