![]() |
| Puing-puing runtuhan tinggalan Mahavihara Nalanda di Bihar yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pengajian agama Buddha aliran Mahayana dari abad ke-5 masihi hingga abad ke-12 masihi |
Pergerakan Mahayana kekal menjadi gerakan-gerakan yang kecil sehingga ia mengalami pertumbuhan pesat pada abad kelima. Sangat sedikit manuskrip yang ditemui sebelum abad kelima (pengecualian ialah dari Bamiyan). Menurut Walser, "abad kelima dan keenam kelihatan sebagai titik perubahan bagi penghasilan manuskrip Mahayana." Begitu juga, hanya pada abad ke-4 dan ke-5 masihi bukti epigrafi menunjukkan mengenai adanya sokongan popular terhadap pergerakan Mahayana, termasuk kemungkinan sokongan diraja di kerajaan Shanshan atau Piqan, Bamiyan dan Mathura.
Namun begitu, walaupun selepas abad kelima masihi, bukti epografi yang menggunakan istilah Mahayana masih agak kecil dan jelasnya lebih bersifat kebiaraan berbanding dengan awam. Pada ketika ini, para pengembara China seperti Faxian (337 - 422 masihi), Xuanzang (602 - 664) dan Yijing (635 - 713) telah melakukan perjalanan ke benua kecil India. Mereka menulis dan menggambarkan mengenai biara yang dilabelkan sebagai Mahayana serta biara di mana bhiksu Mahayana dan bukan Mahayana tinggal bersama.
Selepas abad kelima, pergerakan Buddha Mahayana dan institusinya berkembang perlahan-lahan dan menancapkan pengaruhnya. Beberapa institusi yang paling berpengaruh berkembang menjadi pusat pembelajaran biara yang besar seperti Nalanda yang ditubuhkan oleh Maharaja Gupta pada abad kelima masihi iaitu Kumaragupta I dan Vikramasila di bawah Dharmapala sekitar tahun 783 hingga 800 masihi. Pusat ini mengajar pelbagai cabang keilmuan termasuklah falsafah Mahayana. Kompleks Nalanda akhirnya menjadi pusat ajaran Buddha terbesar dan paling berpengaruh di benua kecil India berabad-abad lamanya.
Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Paul Williams, "nampaknya kurang daripada 50% bhiksu yang ditemui oleh Xuanzang (600 - 664) semasa ziarah beliau ke benua kecil India itu adalah penganut dari pergerakan Mahayana."
