Perhuluan Asia Tenggara sebagai Suvarnabhumi

The Golden Chersonese - butiran dari peta Asia (Asia Tenggara)
abad ke-11 masihi. Butiran ini dari salinan Ptolemy's Geography
oleh Nicolaus Germanus pada tahun 1467 yang menunjukkan Golden Chersonese
atau Semenanjung Tanah Melayu. Garisan melintang
mewakili Khatulistiwa yang telah tersilap kedudukannya jauh ke utara
akibat kiraan Tropic of Cancer menggunakan darjah Ptolemy
yang hanya lima per enam daripada daripada darjah sebenar

Satu petunjuk kepada Semenanjung Tanah Melayu datang dari Geography karya Claudius Ptolemy, yang merujuknya sebagai Golden Chersonese atau Semenanjung Keemasan, yang menggariskan lokasi tepatnya di Asia Tenggara.

Istilah Suvarnabhumi ini biasanya difikirkan sebagai merujuk kepada Semenanjung Asia Tenggara, meliputi Burma Bawah hingga Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat juga istilah emas lain dalam bahasa Sanskrit iaitu Suvarnadvipa yang merujuk kepada kepulauan atau semenanjung, yang boleh juga merujuk kepada rantau di Sumatra yang kini berada dalam sempadan geopolitik Indonesia pada zaman moden. Kedua-dua istilah ini mungkin merujuk kepada kerajaan berkuasa atau kerajaan kepulauan yang kini berada dalam Indonesia, kemungkinannya berpusat di Sumatra atau Jawa. Hal ini bertepatan dengan kawasan penghasilan emas, secara tradisinya dikenali berada di Tanah Tinggi Minangkabau di Pergunungan Barisan, Sumatra dan Hulu Borneo.

Sastera India berjudul Samaraiccakaha dari abad ke-8 masihi menjelaskan pelayaran ke Suvarnadvipa dan pembuatan dharana, bata bakar menggunakan tanah yang kaya dengan mineral emas. Rujukan ini menunjukkan bahawa Suvarnabhumi mungkin terletak di barat Ulu Asia Tenggara, khususnya Sumatra, Semenanjung Tanah Melayu, Borneo atau Jawa.

Oleh kerana lokasinya yang strategik di Selat Melaka yang sempit itu, teori ulu ini membahaskan bahawa selain daripada benar-benar menghasilkan emas, ia mungkin juga didasarkan di atas satu kerajaan yang berkuasa dan mewah (oleh itu ia dikenali sebagai Tanah Emas). Selain daripada itu, ia menjadi pusat perdagangan kelautan berdasarkan kepada penjelasan kabur-kabur oleh penziarah China semasa itu ke benua kecil India. Kerajaan yang dirujuk sebagai pusat perdagangan kelautan antara benua China dan benua India itu adalah Srivijaya. Oleh kerana sistem tulisan bahasa Cina, maka, penafsiran sumber sejarah China terpaksa didasarkan kepada keselarian bunyi ideogram bahasa China dengan persamaan fonetik yang ada dengan toponim atau nama peta dalam tamadun purba Asia Tenggara.

Selanjutnya, Hendrik Kern menyimpulkan bahawa Sumatra sebagai Suvarnadvipa. yang disebut dalam sastera Hindu purba dan pulau Chryse disebut dalam Periplus of the Erythraean Sea serta oleh Rufius Festus Avienius. Selain daripada itu, penziarah dan cendekiawan Buddha bernama 義淨 Yijing telah melawat Kerajaan Srivijaya di Sumatra pada tahun 672 masihi serta mengenalpastinya dengan Suvarnadvipa, Pulau Keemasan atau 金洲 Jin-Zhou dalam bahasa China.

Tafsiran rekod pengembaraan awal tidak selalunya mudah. Rajaduta Jawa ke benua China pada tahun 860 dan tahun 873 M merujuk Tanah Jawa sebagai tanah yang kaya dengan emas, walaupun pada hakikatnya ia langsung tidak mempunyai bijih emas. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh orang Jawa mengimport emas dari Sumatra yang berjiran dengannya, Tanah Melayu atau Borneo, yang mana emas dilombong di situ hinggalah pada abad ke-19 masihi serta di mana tapak perlombongan emas purba terletak di rantau tersebut.

Walaupun Tanah Jawa tidak mempunyai bijih emasnya sendiri, namun sastera-sastera membuat banyak rujukan mengenai kewujudan tukang emas, dan jelas daripada bukti arkeologi seperti Wonoboyo Hoard, bahawa kebudayaan ini telah memajukan teknologi penempaan emas yang canggih serta bergantung kepada import bahan logam tersebut dalam kuantiti yang besar.

Prasasti Padang Roco

Sementara itu, Prasasti Padang Roco pada tahun 1280 M menyatakan bahawa rupa Buddha Amoghapasa Lokeswara telah dibawa ke Kerajaan Dharmasraya dari Ulu Sungai Batang Hari di Jambi. Ia dipindahkan dari Bhumi Jawa ke Suvarnabhumi dan ditegakkan di bawah titah perintah Sang Hyang Kertanagara, Ratu Tanah Jawa. Prasasti ini jelas sekali mengenal Sumatra sebagai Suvarnabhumi.

Di samping itu, Butuan yang terletak di Pulau Mindanao, Selatan Filipina juga dikatakan kaya dengan khazanah yang menurut Florina H. Capistrano-Baker, seorang kurator muzium, lebih kaya daripada yang dikenali ramai di Kerajaan Srivijaya di sebelah barat. Menurutnya, "Kuantiti khazanah emas yang mengejutkan dan kualitinya yang menakjubkan yang telah ditemui di Butuan itu mencadangkan bahawa ia memainkan peranan sebagai kawasan pelabuhan yang berpenempatan. Hingga kini, ia masih lagi tidak dikenali ramai walaupun ia berperanan dalam perdagangan kelautan di Asia Tenggara pada zaman purba. Apa yang mengejutkan adalah jumlah emas yang ditemui di Butuan sebenarnya jauh lebih banyak daripada yang ditemui di Sumatra, yang berkemungkinan juga boleh menjadikannya sebagai lokasi yang lebih baik untuk Kerajaan Srivijaya." Walau bagaimanapun, kebanyakan emas di Butuan telah pun dijarah oleh penceroboh asing.