Budaya India nampaknya diperkenal oleh pedagang Hindu dan Buddha, pendita dan putera raja yang mengembara di Asia Tenggara dari benua kecil India pada awal abad masihi. Sesetengah daripada mereka pun memilih untuk terus menetap di Asia Tenggara.
Maklum balas yang baik juga diterima terutama sekali dari kelompok datu-datu atau kelas pemerintah yang menjemput para brahmin ke istana mereka dan berkhidmat sebagai pendita, ahli nujum, pujangga dan penasihat diraja. Kedewataan dan ciri diraja berkait rapat dalam politi-politi tersebut yang mana adat istiadat Hindu mengesahkan kekuasaan golongan pemerintah sebagai raja di rantau tersebut. Para brahmin dan pendita dari benua kecil India memainkan peranan penting dalam menyokong kelas pemerintah dan dinasti mereka melalui upacara pertabalan diraja. Pengukuhan dinasti ini menjadi asas kepada pemusatan kerajaan yang banyak muncul di Jawa, Sumatera, Kemboja dan Burma serta rantau di sepanjang pantai tengah dan selatan Vietnam dari abad ke-4 sehingga ke-8 masihi.
Elemen seni tari, seni bina, upacara dan kebudayaan seperti Ramayana dan Mahabharata telah diterima pakai dan diberikan ciri tempatan dengan watak setempat. Sistem jati, walaupun diterima, namun tidak pernah digunakan secara sejahat dan dihadkan kepada kelompok bangsawan yang terpilih sahaja. Ramai yang tidak dapat menentukan pentarikhan bilakah proses Indianisasi di Asia Tenggara ini berlaku kerana kebanyakan struktur bangunan di tapak arkeologi dan runtuhannya adalah sama dengan yang di benua kecil India.
Negara kota seperti Srivijaya, Mataram, Majapahit, Funan dan Chenla mempunyai kesinambungan rantau, populasi yang banyak dan ekonomi yang bertahan lama yang menyaingi negara kota di benua kecil India itu sendiri. Candi Borobudur dan Candi Prambanan di Jawa serta Candi Angkor di Kemboja selain daripada memaparkan keagungan senibinanya, namun menjadi contoh pula tentang bagaimana kebudayaan tempatan mencorakkan pula gaya dan ungkapan seni pada tempat pemujaan masing-masing.
Asia Tenggara digelar sebagai Suvarnabhumi dan Suvardvipa oleh orang India purba. Rantau ini dilawati selalu oleh pedagang dari India Timur seperti Kalinga. Hubungan kebudayaan dan perdagangan antara dinasti Chola yang berkuasa dari India Selatan dengan kerajaan Hindu di Asia Tenggara menyebabkan Teluk Bengal digelar sebagai "Tasik Chola" dan serangan dinasti Chola ke atas empayar Srivijaya pada abad ke-10 masihi menjadi contoh tentang serangan ketenteraan pemerintah dari benua kecil India ke atas Asia Tenggara. Selain itu, dinasti Pala dari Bengal yang menguasai kawasan suci penganut Buddha di benua kecil India tetap mengekalkan hubungan ekonomi, kebudayaan dan keagamaan yang rapat dengan empayar Srivijaya.