![]() |
| Tapak arkeologi Oc Eo yang dikaitkan dengan Kebudayaan Funan di Nam Linh Son, Vietnam. Gambar ihsan Sgnpkd CC BY-SA 4.0 untuk tujuan pendidikan. |
Asal Usul Funan
Sumber China mengaitkan lagenda tempatan dengan dokumen mengenai kemunculan Funan. Dalam lagenda, seorang asing bernama 混填 Hùntián mengasaskan kerajaan Funan sekitar abad 1 M di Delta Mekong di selatan Vietnam. Bukti arkeologi menunjukkan penempatan manusia yang panjang di rantau tersebut. Ia boleh dikesan sejauh abad ke-4 SM. Walaupun ia dianggap sebagai satu empayar yang bersatu oleh sejarawan China, namun menurut sesetengah sarjana moden, Funan boleh jadi juga merupakan sekelompok negara kota yang kadang kala berperang antara satu sama lain dan pada masa lainnya pula bersatu sebagai satu entiti politik.
![]() |
| Tapak arkeologi Go Cay Thi di Vietnam yang menunjukkan runtuhan Oc Eo. Ihsan gambar oleh Bùi Thụy Đào Nguyên CC BY-SA 3.0 |
Suku kaum dan asal usul lingustik rakyat di Funan masih lagi menjadi subjek perdebatan para cendekiawan dan tiada sebarang kesimpulan konkrit yang dapat dibuat dari bukti-bukti yang sedia ada. Rakyat Funan boleh jadi terdiri daripada suku kaum Cham, Khmer atau suku kaum Austronesia atau Austroasia yang lain. Berkemungkinan juga, mereka adalah nenek moyang kepada suku kaum asli yang berdiam di sebelah selatan Vietnam yang pada hari ini merujuk diri mereka sebagai bangsa "Khmer" atau "Khmer Krom." Istilah dalam bahasa Khmer iaitu "krom" membawa maksud "bawah" atau "bahagian bawah" serta sering juga digunakan bagi merujuk rantau yang kemudiannya dijajahi oleh pendatang Vietnam yang menyerapnya masuk ke dalam negara Vietnam moden.
Walaupun tiada penyelidikan konklusif untuk mendapatkan sama ada komponen etnolinguistik di Funan terdiri daripada Austronesia atau Austroasia kerana terdapat pertelingkahan pendapat dalam kalangan sarjana. Menurut kebanyakan ahli akademik Vietnam, sebagai contoh, Mac Duong, menyatakan bahawa "Penduduk yang asas di Funan adalah bangsa Austronesia dan bukannya bangsa Khmer;" kejatuhan Funan dan kemunculan Chenla dari utara pada abad ke-6 M menandakan "ketibaan bangsa Khmer di Delta Mekong." Tesis Mac Duong menerima sokongan daripada D. G. E. Hall. Penyelidikan arkeologi terkini pula memberikan pemberat kepada tanggapan bahawa Funan sebagai politi Mon-Khmer. Dalam penilaian Funan, Michael Vickery, sejarawan Amerika Syarikat mengungkapkan dirinya sendiri sebagai penyokong kepada "teori" penguasaan bangsa Khmer di Funan.
Selain itu, terdapat juga kebarangkalian bahawa Funan itu sebagai masyarakat yang pelbagai budaya termasuklah juga terdiri daripada pelbagai suku kaum dan kelompok linguistik. Pada lewat abad ke-4 dan abad ke-5 M, proses pengindiaan berlangsung dengan lebih pantas lagi menerusi dorongan daripada dinasti Pallava dari India Selatan dan juga empayar Gupta dari India Utara. Satu-satunya penulisan tempatan dari zaman Funan berkenaan dengan hal ini adalah prasasti Pallava Grantha dalam bahasa Sanskrit dari dinasti Pallava. Bahasa Sanskrit dalam paleografi tersebut semamngnya digunakan oleh golongan berpendidikan dan golongan pemerintah di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara. Prasasti ini pun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai suku kaum atau bahasa tempatan rakyat Funan.
Selain daripada itu, Rene de Berval dalam "Le Bouddhisme au Cambodge" melalui "Presence du Bouddhisme" terbitan Gallimard, Paris dalam muka surat 535 - 551 dan muka surat 537 - 538 mencadangkan bahawa Funan mungkin juga merujuk kepada Suvarnabhumi yang disebut-sebut dalam sastera India purba. Dalam kalangan suku kaum Khmer Krom di rantau Mekong bawah, terdapat kepercayaan bahawa mereka ini adalah anak cucu kepada Funan purba yang menjadi pusat bagi Suvarnabhumi atau Suvarnadvipa yang merangkumi kawasan yang luas di Asia Tenggara termasuklah pada zaman moden ini di Kemboja, Vietnam Selatan, Thailand, Laos, Myanmar, Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan lain-lain kawasan dalam Republik Indonesia.
Pada Disember 2017, Dr. Vong Sotheara dari Royal University of Phnom Penh, menemui prasasti batu zaman Angkor di wilayah Kampong Speu, daerah Baset yang memberikan bertarikh "tentatif" 633 M. Menurutnya, prasasti tersebut mungkin akan "membuktikan bahawa Suvarnabhumi itu merujuk kepada empayar Khmer." Prasasti tersebut diterjemahkan bermaksud, "Raja Isanavarman yang Agung, penuh gemilang gagah berani. Bagindalah Raja segala Raja, memerintah di seluruh Suvarnabhumi sampai ke laut, yang menjadi sempadan, sementara raja-raja di negeri sekelilingnya tunduk bakti titah perintah baginda di batu jemala masing-masing".
Teori Asal Usul dan Proses Indianisasi
Terdapat sebanyak dua teori asal usul kerajaan ini dicetuskan oleh para sarjana sebagai cadangan untuk asal usul kerajaan ini. Maksudnya di sini, sarjana pun bukannya pasti sangat mengenai asal usul kerajaan purba. Mereka cuma bermain dengan teka teki sahaja.
Kitab Dinasti Liang merekodkan lagenda tempatan bagi mendokumenkan asal usul kerajaan Funan. Menurutnya, asal usul kerajaan ini adalah dari seorang asing bernama 混塡 Huentian dalam bahasa Cina Pertengahan atau Hùntián dalam bahasa Cina Mandarin moden. Menurutnya, "Dia datang dari negara 徼 Jiào yang terletak di selatan (kemungkinannya dalam rantau Semenanjung Tanah Melayu atau rantau dalam negara kepulauan Indonesia) selepas bermimpi bahawa sakanya memberikan busur suci dan mengarahkan baginda supaya memulakan perjalanan dengan menaiki jong pedagang yang besar. Pada pagi harinya, baginda terus ke kuil, lalu menemui busur di kaki pokok yang berpenunggu itu. Baginda kemudian menaiki jong yang dihalakan oleh saka tersebut ke tanah di Fúnán. Ratu di negara itu, 柳葉 Liǔ Yè atau dalam bahasa Cina Pertengahan, Yiu Yap menjarah dan cuba menahan jong itu. Oleh itu, Huntian menembak panah dari busur suci yang menembusi kapal Liu Ye. Akibat kejadian itu, Liu Ye terkejut lalu menyerah diri dan Huntian pun memperisterikan Liu Ye. Walau bagaimanapun, Huntian tidak suka melihat Liu Ye bertelanjang lalu baginda pun melipat beberapa bahan yang dijadikan sebagai pakaian lalu diserlumkan ke badan Liu Ye dari kepalanya. Huntien pun lalu memerintah negara itu dan mewariskan takhta pula kepada anakanda baginda yang seterusnya menjadi pengasas kepada tujuh negara kota."
Kisah yang hampir sama muncul juga dalam rekod dinasti Jin atau 晉書 Jìn shū dalam bahasa Cina. Ia dikumpulkan Fáng Xuánlíng oleh pada tahun 648 M. Walau bagaimanapun rekod ini menamakan penakluk asing ini sebagai 混湏 Hùnhuì manakala permaisuri baginda masih sama namanya.
Sesetengah sarjana pula menjatikan penakluk dengan nama Hùntián dalam Kitab Liang ini dengan Kaundinya, seorang Brahmana yang mengahwini puteri nāga bernama Somā seperti yang dicatitkan dalam prasasti berbahasa Sanskrit bertarikh 658 M yang ditemui di Mỹ Sơn, Vietnam. Sesetengah sarjana lain pula menolah penjatian ini dan menggariskan bahawa perkataan Hùntián hanya ada dua suku kata, manakala perkataan Kaundinya mempunyai tiga suku kata. Mereka membahaskan bahawa sarjana China tidak akan menggunakan perkataan dua suku kata bagi mentranskripsikan perkataan tiga suku kata dari bahasa lain. Sejarawan seperti O.W. Wolters menyatakan bahawa pedagang-pedagang tempatan Asia Tenggara yang dihindukan yang memberikan pendedahan awal kepada tradisi kebudayaan Hindu kepada penduduk tempatan serta diikuti juga dengan pemerintah tempatan berbanding dengan kelompok Brahmin dari India.
Selanjutnya, lagenda Kaundinya ini selaras dengan penglipur lara Khmer moden yang menceritakan mengenai penyatuan antara seorang putera raja asing dikenali sebagai "Preah Thaong" dan permaisuri baginda, "Neang Neak". Dalam ceritera versi ini, Preah Thaong dikatakan tiba dari laut di pulau yang ditandakan dengan pokok Thlok atau nama saintifiknya parinari anamensis yang asli di Kemboja, Timur Laut Thailand dan Selatan Vietnam. Di pulau tersebut, Preah Thaong mendapati bahawa ia dihuni oleh bangsa Nāga dan bertemu dengan Neang Neak, puteri kepada raja Nāga. Ringkasnya, baginda berkahwin dengan restu dari ayahanda Neang Neak lalu baginda puteri masuk ke alam manusia. Raja Nāga menghirup air laut di sekeliling pulau itu dan mengurniakan gelaran "Kampuchea Thipdei" yang diterbitkan dari Kambujādhipati dalam bahasa Sanskrit kepada Preah Thaong. Dalam versi lain, Preah Thaong turut digambarkan berperang dengan Neang Neak sebelum mereka disatukan melalui perkahwinan.
Walaupun teori berkenaan nama Kaundinya atau Koṇḍañña dan Kondinya sebagai padanan kepada Hùntián ini tidak dipersetujui sebagai transkripsi yang sepadan namun ia masih lagi diperkirakan sebagai penting dalam sejarah Funan. Sumber-sumber dari China juga menyebut nama lain iaitu 僑陳如 Qiáochénrú. Nama ini disebut dalam Kitab Liang pada cerita yang muncul selepas cerita Hùntián.
Menurut sumber ini, Qiáochénrú merupakan salah seorang pewaris kepada raja 天竺旃檀 Tiānzhú Zhāntán atau raja Candana dari benua India, seorang raja di Funan yang menghantar seekor gajah jinak pada tahun 357 M ke benua China sebagai ufti untuk maharaja Mu dari dinasti Jin (bertakhta pada 344 - 361 M); nama persendirian: 司馬聃 Sīmǎ Dān: "Baginda [Qiáochénrú] pada asalnya ialah seorang Brahmin dari benua India. Baginda mendengar suara memberitahu baginda: 'engkau harus bertakhta di Fúnán,' lalu baginda pun berbahagia dalam hatinya. Di selatan, baginda tiba di kota 盤盤 Pánpán. Rakyat jelata Fúnán muncul di hadapan baginda; lantas seluruh kerajaan bangkit bersuka ria, menghadap di hadapan baginda, dan memilih baginda sebagai raja. Baginda merubah semua undang-undang lantas menyusunnya seperti susunan di benua India."
Dari segi penafsiran lagenda pula, Kenneth Hall (1982) dalam The "Indianization of Funan: An Economic History of Southeast Asia's First State" memaklumi bahawa butiran asas dalam lagenda China itu turut diulangi dalam sumber penglipur lara India dan juga Asia Tenggara sendiri. Sejarawan seperti Gabriel Ferrand percaya bahawa sesetengah pedagang India purba mungkin berhijrah ke rantau Asia Tenggara dan memulakan hubungan dengan penduduk tempatan serta itulah caranya lagenda ini muncul. Sesetengah sejarawan Indian juga mempertimbang lagenda ini sehingga ia menjadi sangat panjang dan berspekulasi bahawa terdapat penjajahan besar suku kaum dari Asia Selatan yang berlaku di Funan. J. C van Leur, seorang sejawaran Belanda pula menekankan bahawa pemerintah tempatanlah yang mengetahui faedah berhubungan dengan teknologi sosial yang lebih maju dan memetik beberapa tradisi India purba dengan menggalakkan penghijrahan golongan kerani Brahmin bagi membantu pentadbiran kerajaan mereka.
Menurut O.W. Wolters, terdapat juga proses saling perkongsian berlaku dalam pembangunan negara bercorak Hindu dan tiada pun kemasukan golongan Brahmin secara besar-besaran. Beliau berkata bahawa sebenarnya pedagang Asia Tenggara yang menganuti agama serta kebudayaan Hindu sendiri yang menjadi jambatan hubungan awal bagi tradisi budaya Hindu serta diikuti juga oleh pemerintah tempatan. Beliau juga menyatakan bahawa tradisi Hindu dipilih-pilih bagi menggerakkan kuasa pemerintah tempatan dan memperkukuh persekutuan politik dalam kalangan negeri-negeri dalam politi negara yang longgar pada ketika itu.



