Sekitar tahun 2021 hingga 2022, ada sebuah wayang gambar berjudul "Kanthara" yang berbahasa Kannada terkenal sekali di India Selatan atau mungkin juga di seluruh India. Rajarshi Nandy menyatakan bahawa beliau sangat menyukai wayang gambar tersebut. Beliau mendapati bahawa
- Ada babak dalam wayang gambar itu yang memaparkan watak protagonisnya mendengar sesuatu dan bagaimana dewata mendekatinya. Beliau berpendapat bahawa hal itu merupakan petanda tipikal mengenai kebangkitan kundalini seseorang ke satah alam yang lebih tinggi.
- Ada sesuatu yang sebenarnya melampaui wayang gambar itu sekitar tempoh 15 hingga 20 minit sebelum ia sampai ke penghujung cerita. Beliau menyebutnya dengan istilah, "avesham" yang mana dewata itu menyerap ke dalam diri seseorang insan dan itu adalah sebahagian daripada sadhana.
Cita-cita dalam bidang kerohanian itu adalah sangat-sangat bagus. Namun, sifat tamak haruslah dihindari oleh orang yang berkecimpung di dalamnya. Hal yang biasa terjadi dalam satah alam jasadi ini ialah apabila seseorang itu ingin mendapatkan sesuatu dengan pantas. Kalau boleh dua kali ganda lebih pantas daripada biasa. Rajarshi lanjutnya mengatakan bahawa, orang itu akan menggunakan apa sahaja cara yang diketahuinya dan dia tamak untuk mendapatkannya. Menurut Rajarshi Nandy, sifat tamak dan sifat tidak jujur akan membawa bencana kepada seseorang dalam dunia kerohanian. Orang itu akan jatuh dengan lebih cepat kerana makhluk yang berurusan dengannya itu mengetahui zahir dan batinnya. Mereka tahu lebih banyak daripada ibu bapa seseorang tahu mengenainya.
Pendapat aku, Rajarshi Nandy mungkin ingin mengatakan bahawa seseorang perlu sabar dalam usahanya mendapatkan sesuatu tetapi beliau menggunakan istilah "tamak" mungkin kerana impak negatif sifat tamak lebih teruk daripada sifat tidak sabar.
