Manusia moden telah tiba di benua kecil India dari Afrika tidak lewat dari 55,000 tahun lalu. Pendudukan manusia yang lama ini awalnya dalam pelbagai bentuk seperti komuniti yang terasing yang membentuk kelompok pemburu dan pengumpul hasil hutan selanjutnya menjadikan rantau itu sebagai rantau yang beraneka ragam serta menduduki tempat kedua dalam kepelbagaian genetik manusia selepas Afrika.
Hidup berpenempatan muncul di benua kecil India di hujung barat lembangan sungai Indus sejak 9,000 tahun lalu sehingga berkembang menjadi Tamadun Lembah Indus pada milenia ke-3 SM. Menjelang 1200 SM, satu bentuk bahasa Sanskrit purba, iaitu bahasa Indo-Eropah telah meresap masuk ke India dari barat laut. Buktinya boleh ditemui dalam seloka Rigveda. Rigveda yang dipelihara melalui tradisi lisan serta dikawal rapi mencatitkan mengenai kemunculan agama Hindu di India.
Bahasa Dravidia di utara dan barat telah digantikan dengan bahasa baru. Menjelang 400 SM, tingkatan masyarakat dan sistem kasta muncul dalam masyarakat Hindu. Seterusnya, muncul pula ajaran Buddha dan Jain yang mengisytiharkan bahawa susunan masyarakat tersebut bukannya sesuatu yang diwarisi. Pengukuhan kuasa politik awal menerbitkan empayar Maurya dan Gupta yang beribu kota di Lembangan Ganges. Era bersama itu telah berkembang dengan pelbagai kreativiti namun ditandai juga dengan kejatuhan status wanita dan kemasukan dalit ke dalam sistem kepercayaan yang tersusun. Sementara itu, di India Selatan pula, Kerajaan Tengah memindahkan bahasa, tulisan dan kebudayaan bangsa Dravidia ke kerajaan-kerajaan purba di Asia Tenggara.
Pada awal era pertengahan juga, agama Kristian, Islam, Yahudi dan Zoroaster mengukuhkan kedudukannya di selatan dan pantai barat India. Tentera Muslim dari Asia Tengah secara berselang seli melanda dataran utara di India sehingga akhirnya menubuhkan Kesultanan Delhi dan memasukkan India Utara ke dalam jaringan rantau Islam zaman pertengahan.
Selanjutnya pada abad ke-15 M, empayar Vijayanagara menghasilkan kebudayaan Hindu yang bertahan lama di India Selatan. Selain itu, ajaran Sikh pun muncul sebagai reaksi kepada agama yang diinstitusikan. Empayar Mughal yang berkembang sekitar tahun 1526 juga membawa keamanan selama dua abad serta meninggalkan warisan senibina yang mengagumkan di India Utara.
Seterusnya, Syarikat Hindia Timur Inggeris memperluas pemerintahannya di benua kecil India dan menjadikan India sebagai ekonomi jajahan serta mengukuhkan kekuasaannya di situ. Pemerintahan British Crown bermula pada tahun 1858. Hak yang dijanjikan kepada penduduk India dikurniakan secara perlahan-lahan namun perubahan teknologi, idea pendidikan moden dan kehidupan awam juga turut diperkenalkan di India. Pergerakan nasionalis berpengaruh yang menjadi perintis juga muncul dengan penentangan tanpa keganasan yang menjadi faktor utama yang mengakhiri pemerintahan British di India. Pada tahun 1947, empayar British India telah dibahagikan kepada dua jajahan takluk iaitu Jajahan India yang mewakili majoriti penganut Hindu dan Jajahan Pakistan mewakili majoriti penganut Islam. Kejadian ini menyebabkan berlakunya kehilangan nyawa besar-besaran dan juga penghijrahan yang tidak dijangka di kedua-dua belah jajahan.
India telah menjadi republik persekutuan sejak tahun 1950an, diperintah melalui sistem parlimen demokrasi. Masyarakat India bersifat pluralistik, pelbagai bahasa dan pelbagai etnik. Populasi India berkembang dari 361 juta orang pada 1951 kepada hampir 1.4 bilion pada tahun 2022. Pada masa yang sama, pendapatan per kapitanya berkembang dari US$64 tahunan kepada US$2,601 dan kadar celik hurufnya dari 16.6% berkembang kepada 74%. India berkembang dari negara yang ketinggalan dari segi ekonomi pada tahun 1951, India menjadi ekonomi yang berkembang pantas dan menjadi pusat perkhidmatan teknologi maklumat dengan kelompok kelas pertengahannya juga semakin meningkat. India juga mempunyai program angkasa lepas dengan beberapa misi yang dirancang atau misi di luar bumi yang telah selesai.
Muzik, filem dan ajaran spiritual India juga memainkan peranan yang penting dalam kebudayaan global. India beransur-ansur mengurangkan kadar kemiskinannya walaupun ketika berlakunya ketidakseimbangan ekonomi dan kenaikan kos. India adalah negara bersenjata nuklear, dengan perbelanjaan ketenteraan yang menduduki tempat tertinggi di dunia. India menghadapi isu perebutan Kashmir dengan jirannya iaitu Pakistan dan China yang masih lagi belum selesai sejak pertengahan abad ke-20.
Antara cabaran sosio ekonomi yang dihadapi oleh India adalah ketidakseimbangan gender, nutrisi kanak-kanak yang buruk dan isu meningkatnya pencemaran udara. Walau bagaimanapun, India memiliki aneka ragam spesis flora dan fauna dalam tapak biodiversitinya. Hutannya sahaja membentuk sebanyak 21.7% kawasannya. Hidupan liar India juga dipandang dengan penuh toleransi dalam kebudayaan India serta habitatnya dilindungi oleh masyarakat.