Rujukan terawal mengenai kerajaan Srivijaya dikesan bertarikh abad ke-7 masihi. Seorang bhiksu dari dinasti Tang bernama Yijing menulis bahawa beliau melawat Srivijaya pada tahun 671 masihi dan berada di sana selama enam bulan.
Prasasti terawal yang diketahui mencatatkan nama Srivijaya bertarikh dari abad ke-7 masihi adalah Prasasti Kedukan Bukit yang ditemui berdekatan kota Palembang di Sumatra. Ia mencatatkan tarikh 16 Jun 682 masihi. Antara lewat abad ke-7 masihi dan awal abad ke-11 masihi, Srivijaya bangkit menjadi kuasa besar di Asia Tenggara. Ia melibatkan banyak interaksi, yang selalunya berbentuk persaingan dnegan negara yang di sekitarnya seperti Mataram, Khom dan Champa. Srivijaya sangatlah tertarik dengan perjanjian perdagangan yang menguntungkan dengan benua China. Hubungan dagangan Srivijaya dengan benua China itu berlangsung dari zaman dinasti Tang hinggalah ke zaman dinasti Song. Selain itu, ia turut mempunyai hubungan keagamaan, kebudayaan dan perdagangan dengan kerajaan Pala di Bengal. Selain itu, Srivijaya turut berdagang dengan Khalifah Islam di Asia Barat.
Srivijaya dikenali dengan meluas sebagai kerajaan maritim atau kelautan yang berkuasa di Asia Tenggara. Kajian baru menunjukkan bahawa walaupun kerajaan ini mempunyai elemen tanah dalam pemerintahan, namun ia turut melabur dalam penghasilan kapal-kapal bagi tujuan sokongan logistik serta meluaskan kekuasaannya di laluan air yang strategik di lautan seperti di Selat Melaka.
Sebagai tindak balas kepada dinamika ekonomi kelautan Asia yang sering berubah-ubah, kerajaan ini telah membangunkan strategi ketenteraan di lautan bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pusat perdagangan serantau. Strategi ini termasuklah mengawal laluan perdagangan dengan pelbagai peraturan dan menarik kapal pedagang masuk ke pelabuhan mereka mereka melalui kawalan yang ketat. Apabila ancaman semakin memuncak, kapal-kapal Srivijaya mula berubah menjadi senjata yang digunakan buat melindungi kepentingan perdagangannya selain memastikan penguasaan mereka di rantau Asia Tenggara tidak tergugat.
Kerajaan Srivijaya akhirnya mungkin bercerai berai selepas tahun 1025 masihi berikutan beberapa serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh kerajaan Chola dari Selatan India ke atas pelabuhan mereka. Selepas kejatuhan Srivijaya, ia pun telah dilupakan beberapa lamanya hinggalah pada tahun 1918 apabila seorang sejarawan dari Perancis di French School of the Far East bernama George Cœdès membuat pembuktian mengenai kewujudan kerajaan ini.