Ranveer beranggapan bahawa tantra muncul dari Atharva Veda kerana secara kronologinya "mungkin" tantra bermula dari situ.
Nandy menyebut bahawa Atharva Veda memang mempunyai amalan yang hampir serupa dengan amalan tantra namun tantra pada awalnya bermula di Lembah Kashmir dan pada sesetengah keadaan di India Timur sekitar Kuil Kamakhya.
Ranveer bertanya lanjut, dalam pemahaman Barat pula tantra ini adalah amalan yang dikaitkan dengan hubungan jenis. Jadi, apakah sebenarnya definisi tantra ini mengikut pemahaman di benua kecil India? Nandy menjelaskan bahawa terdapat banyak jenis amalan dalam tantra dan pemahaman mengenai tantra itu adalah amalan berhubungan jenis adalah sesuatu yang dipetik secara di luar konteks yang sebenar. Tantra dalam pemahaman kami adalah kaedah pemujaan yang dikurniakan oleh Betara Siva kepada penganut-Nya. Jadi, kenapakah tantra ini penting dan kenapakah penganut perlu mengamalkannya? Dalam benua kecil India, terdapat kaedah upasana secara veda dan kaedah upasana secara tantra. Amalan upasana secara veda ini adalah amalan yang muncul dari kitab suci veda serta merangkumi juga purana. Sebagai contoh Ganapati Puja, dijalankan mengikut sistem veda dan kebanyakan orang mengikut kaedah ini. Sementara itu, amalan tantra ini bermula dengan Betara Siva. Betara Siva di sini bermaksud Tuhan yang menurunkan amalan tantra menerusi para rishi. Pada zaman ini, upasana akan lebih berkesan jika ia dijalankan menurut kaedah tantra.
Selain itu, dalam tantra tiada amalan yang disebut sebagai amalan putih atau amalan hitam. Dalam pandangan tantra, hanya ada amalan yang berkesan atau tidak berkesan saja. Sebanyak 99.9% amalan dalam tantra sebenarnya tidak berbahaya kepada sesiapa. Pengamal tantra yang tradisional tidak pernah memandang tantra sebagai sejenis ilmu hitam atau sebagainya. Mereka memandangnya sebagai satu kaedah upasana dewata atau mendekati dewata.
Dalam tantra itu sendiri ada tujuh acharam atau bentuk tabiat. Bentuk tabiat yang asas sekali disebut sebagai vedacara atau cara pemujaan orang awam. Setiap satu tahap acaram itu sebenarnya mengambil masa dan usaha sepanjang hayat kita. Alam semulajadi akan menjadi penentu sama ada tahap acharam dan tattva itu terjalin dalam minda serta tubuh kita.
Pengamalan tantra seterusnya dilanjutkan dengan dakshinacara yang melibatkan mantra sadhana dewata yang tertentu dan nyasa atau pasak mantra pada tubuh di mana kita menyentuh tubuh kita semasa membaca mantra sepanjang hidup kita bagi menyucikan tubuh serta membolehkan dewata mendekati kita dengan lebih pantas. Pada tahap yang tertentu, amalan tantra haruslah dirahsiakan.