Etimologi Nama Sumatra

Asal nama Sumatra kononnya berasal dari kewujudan Kerajaan Samudra yang terletak di pesisir pantai timur Aceh. Ia bermula dengan kunjungan Ibnu Batutah, pengembara yang berasal dari Maghribi. Beliau mengembara ke Sumatra pada tahun 1345 dan menyebut Samudra sebagai Shumathra. Seterusnya, Nicholaas Johannes Krom dalam "De Naam Sumatra" (1941) menyatakan bahawa sebutan Shumatra dari Ibnu Batutah ini menjadi Sumatra dan dimasukkan ke dalam peta abad ke-16 masihi yang dihasilkan oleh Portugis. Sebutan Sumatra bagi merujuk ke kawasan itu kemudian dikenali ramai hinggalah kini.

Sumber lain dari "Early Kingdoms of the Indonesian Archipelago and the Malay Peninsula" oleh Munoz, Paul dan Michel (2006) menyebut bahawa nama Sumatra ini telah dikenali orang dari abad ke-11 masihi iaitu semasa zaman Srivijaya. Buku ini memberikan rekod dari benua China bahawa seorang raja dari Srivijaya bergelar Haji Sumatrabhumi atau Raja Tanah Sumatra telah mengirim rajaduta ke sana pada tahun 1017 masihi.

Peralihan nama Samudra daripada nama sebuah kerajaan ini menjadi Sumatra iaitu nama pulau menarik perhatian ramai untuk ditelusuri. Odorico da Pordenone dalam kisah pelayarannya pada tahun 1318 masihi menyebut bahawa beliau belayar ke Timur dari Koromandel, India selama 20 hari. Kemudian, beliau sampai di Kerajaan Sumoltra. Ibnu Batutah dalam Kitab Rihlah ila-l-Mashriq atau Pengembaraan ke Timur menyatakan bahawa pada tahun 1345 masihi, beliau singgah di Kerajaan Samatrah. Pada abad berikutnya, nama negeri atau kerajaan di Aceh itu digunakan pula sebagai rujukan oleh pengembara lain bagi merujuk seluruh pulau itu.

Pada tahun 1490 masihi, Ibnu Majid menyediakan peta daerah di sekitar Samudra Hindia dan di situ tertulis pulau "Samatrah". Peta beliau ini kemudian disalin oleh Roteiro pada tahun 1498 dan muncullah nama "Camatarra". Peta buatan Amerigo Vespucci pada tahun 1501 menggunakan nama "Samatara," sedangkan peta Masser pada tahun 1506 menyebutnya sebagai "Samatra". Ruy d'Araujo pada tahun 1510 menyebut pulau itu sebagai, "Camatara," dan Alfonso d'Albuquerque pada tahun 1512 menulisnya sebagai "Camatora". Selain itu, Antonio Pigafetta pada tahun 1521 mencatit nama yang hampir tepat iaitu, "Somatra". Namun, banyak sekali catitan pengembara yang lebih celaru dan menulisnya sebagai, Samoterra, Samotra, Sumotra, dan bahkan Zamatra atau Zamatora.

Hamka dalam Sejarah Islam di Sumatera (1950) menulis bahawa catitan orang Belanda dan Inggeris seperti Jan Huygen van Linschoten dan Francis Drake pada abad ke-16 masihi, selalu konsisten dalam menulisnya sebagai Sumatra. Bentuk ejaan inilah yang digunakan sebagai ejaan baku dan kadang kala dieja dengan swarabakti dalam bahasa Indonesia menjadi Sumatera.

Rujukan lanjut boleh juga dibaca dalam National Geographic berbahasa Indonesia berjudul, "Menilisik Asal Nama 'Sumatra' dalam Catatan Penjelajah Barat dan Islam" hasil tulisan Afkar Aristotales Mukhaer pada 20 November 2021.